Now Reading
10 Kelebihan Sedekah Yang Kita Tidak Tahu

10 Kelebihan Sedekah Yang Kita Tidak Tahu

kelebihan sedekah

Seringkali kita teragak-agak untuk bersedekah takut tak cukup sampai hujung bulan tetapi tahukah anda, terdapat kelebihan bersedekah yang kita tidak tahu.

Sedekah adalah salah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam. Percayalah semakin kita kedekut untuk bersedekah, semakin sempit rezeki kita.

Sedekah adalah apabila kita memberikan pemberian kepada orang lain dengan tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata tanpa mengharapkan balasan.

Dalam bahasa Arab, kata sedekah bermaksud kebenaran dan berasal dari kata ‘sidq’, yang bermaksud keikhlasan.

Ini menunjukkan bahawa sedekah merupakan amalan mulia  yang dapat menyucikan jiwa.

Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq’. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya)’.”

(Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Sedekah bukan hanya berkongsi rezeki, jika ia dijadikan sebagai amalan hanya yang melakukannya yang dapat rasa kenikmatan bersedekah.

Ini antara 8 kelebihan bersedekah, semoga perkongsian ini dapat melembutkan hati kita untuk kerap bersedekah.

1. Meningkatkan Keimanan Dan Mendekatkan Diri kepada Allah SWT

Jika kita bersedekah dengan niat untuk beribadah kerana Allah, sudah tentu keimanan kita juga akan bertambah terhadap-Nya.

Selain itu, dengan bersedekah juga kita dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi hamba-Nya yang ikhlas beribadah bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau riak.

2. Mendapat Ganjaran Pahala

Setiap amalan yang dituntut oleh agama dan kita dilakukan dengan ikhlas pasti akan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT. Ini termasuklah juga dengan amalan kita yang rajin bersedekah kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Tidak kira dalam bentuk apa sahaja sama ada dari segi wang, pertolongan atau apa-apa sahaja.  

Firman Allah ;

“Tidak ada kebaikan pada bisikan-bisikan mereka, kecuali dari bisikan-bisikan orang yang menyuruh manusia memberi sedekah, atau berbuat baik atau mewujudkan perdamaian di antara manusia.

Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kami akan memberinya pahala yang besar.”

(Surah an-Nissa:114)

3. Rezeki Akan Bertambah dan Mendapat Keberkatan

Apabila kita memberikan sesuatu kepada orang lain tanpa mengharapkan apa-apa balasan mengikut kemampuan, yakinlah bahawa Allah akan memberi dan menggantikannya dengan hal yang baik, bahkan lebih.

Selagi kita bertawakal dan mengikut perintah-Nya.

Sudah pasti Allah akan menambahkan rezeki dan kita mendapat keberkatan dari setiap rezeki yang kita terima. Malah, takkan pernah habis selagi mana kita bersyukur.

Rezeki bukan sahaja datang dari bentuk wang, boleh jadi kesihatan dan kebahagiaan dalam keluarga, kesenangan dalam bekerja dan sebagainya juga merupakan salah satu rezeki dari Allah.

Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas.

4. Menyembuhkan Penyakit

Banyak penemuan kajian membuktikan apabila manusia melakukan sesuatu perkara yang positif untuk orang lain, secara tidak langsung ia memberikan terapi yang positif kepada diri sendiri. Sebagai contoh, dengan bersedekah.

Salah satunya, kajian yang dilakukan oleh James House memberi kesimpulan bahawa dengan membantu orang lain dengan ikhlas dari hati  akan meningkatkan kesihatan tubuh badan dan menyembuhkan penyakit-penyakit ringan.

5. Memberi Ketenangan Hati Dan Kebahagiaan

Sebagai umat islam kita sering disarankan untuk berbuat apa-apa saja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi, termasuklah dengan bersedekah. Melalui amalan bersedekah juga dapat melahirkan perasaan tenang dan bahagia.

Apatah lagi apabila kita membelanjakan harta ke arah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan meningkatkan hormon kebahagiaan dalam otak kita.

6. Menambahkan Nikmat Bersyukur

Nikmat bersyukur adalah nikmat selepas kita dapat sesuatu kebaikan yang terdetik di hati kita. Kita menzahirkan rasa bersyukur sebagai tanda berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat.

Sebenarnya, melalui pemberian sedekah juga adalah salah satu cara untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT.

Bukankah dengan bersedekah itu mengingatkan kita bahawa apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat dan atas keizinan dari Allah SWT? Jadi, apa salahnya kita berkongsi kenikmatan yang kita ada dengan orang lain tanpa berkira.

7. Menjauhi Sifat Kedekut

Salah satu cara untuk lihat sama ad akita seorang yang pemurah atau tidak adalah melalui sedekah. Jika kita teragak-agak untuk memberikan sesuatu pemberian kepada orang lain, bermakna ada harta yang kita sayang di dunia.

Maka, sedekahlah walaupun sedikit kerana amalan ini dapat memupuk jiwa kita dan membentuk diri menjadi seorang dermawan seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Amalan zakat dan ibadah korban juga adalah salah satu cabang lain dari sedekah. Sesungguhnya jauhilah sifat kedekut kerana itulah sebab kenapa rezeki kita sempit.

8. Melatih Diri Berfikiran Positif Dan Adil

Jika diperhatikan sebenarnya individu yang sentiasa  bersedekah, mereka memiliki sikap yang adil , mengetahui batas dan tidak berani mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.

Ini akan meningkatkan sikap peka dan simpati terhadap keadaan masyarakat di sekeliling kita yang kadang kala memerlukan pertolongan dari kita.

9. Terhindar Dari Pentingkan Keduniaan Dan Materialistik

Amalan bersedekah akan menjauhkan kita dari sifat gila harta dan pentingkan keduniaan. Kita akan menjadi orang yang redha apabila harta milik kita diberikan kepada orang lain.

Bahkan, dengan bersedekah juga membuatkan kita berharap dan yakin bahawa sebaik-baik pertolongan hanya datang dari Allah. Jadi, sedekah akan menghindarkan kita dari dari nilai-nilai materialistik dan cintakan harta dunia.

10. Menjauhkan Diri Dari Sikap Sombong

Sikap sombong terjadi apabila kita tidak bersedekah. Ini terjadi kerana mereka menganggap bahawa semua harta adalah kepunyaan dia seorang. Padahal, setiap rezeki yang kita dapat sehingga hari ini, terselit rezeki orang lain juga.

Siapa tahu, hari ini kita memberikan pertolongan kepada orang lain. Esok lusa apabila kita susah, ada orang lain yang menolong kita kembali.

Jadi, dengan bersedekah kita dapat mengelakkan diri menjadi sebahagian daripada mereka yang sombong dan rugi.

Nampak sukar untuk dipraktikkan, namun lama kelamaan ia akan menjadi mudah. Ia kelihatan seperti kita memberikan rezeki kita kepada orang lain, rezeki kita pula tiada.

Namun begitu, jangan bersusah hati dan berkira kerana setiap amalan yang kita lakukan dengan ikhlas, percayalah Allah SWT tidak akan meninggalkan hambanya dalam keadaan yang hina dan rugi.

Bahkan, Allah SWT akan menggantikannya dengan pelbagai cara jika kita ikhlas dalam bersedekah.

Sumber:

https://muslimhands.org.za/latest/2020/09/10-benefits-of-giving-sadaqah-regularly

https://wazan.upm.edu.my/article/knowing_the_10_advantages_and_benefits_of_charity_sadaqah-43991?L=en

https://www.transparenthands.org/the-importance-of-charity-in-islam/

error: Content is protected !!