Now Reading
10 Perkara Perlu Anda Lakukan Sebelum Pembedahan Hernia

10 Perkara Perlu Anda Lakukan Sebelum Pembedahan Hernia

Maklumat pembedahan Hernia

Angin pasang berlaku apabila terdapat titik lemah pada otot perut yang membenarkan sebahagian usus atau tisu di sekelilingnya menembusi abdomen anda. Ini seterusnya boleh menyebabkan benjolan dan kesakitan di kawasan tersebut. Namun, ada juga sesetengah individu yang tidak merasakan apa-apa perubahan.

Lokasi Hernia boleh muncul pada beberapa tempat dalam badan anda. Ia mungkin berada di pangkal paha ataupun berhampiran pusat pada perut anda. Ada yang boleh dijumpai pada bekas luka pembedahan angin pasang yang terdahulu.

Usah bimbang kerana Hernia boleh dirawat melalui pemotongan (insicion) yang dilakukan berhampirannya. Prosedur ini dipanggil sebagai pembedahan terbuka. Pilihan lain termasuklah prosedur laparoskopi. Doktor akan menggunakan sejenis skop nipis dan bercahaya serta alatan kecil lain untuk membuat hirisan kecil pada badan anda.

Sekiranya angin pasang anda membonjol keluar, ia akan ditolak semula ke dalam dan doktor akan menjahit tisu yang sihat kembali. Kebiasaannya, sejenis bahan yang digelar ‘mesh’ digunakan untuk menutup kawasan lemah itu.

Pembedahan terbuka boleh meninggalkan bekas luka yang mengambil masa lama untuk sembuh. Manakala, pembedahan laparoskopi pula hanya menyebabkan beberapa parut kecil dan akan pudar selari dengan masa.

Seterusnya, anda mungkin perlu mengambil cuti selama 1 hingga 2 minggu dari pekerjaan bergantung kepada jenis pembedahan yang dilakukan serta keadaan kesihatan anda.

Sekiranya anda diperlukan menjalani pembedahan ini, berikut adalah beberapa perkara yang anda perlu ambil tahu dan lakukan sebelum pembedahan Hernia.

Jangan panik mengenai pembedahan Hernia

Berasa panik dan bimbang adalah perkara biasa yang dialami apabila seseorang tercedera, sakit mahupun didiagnosis dengan sesuatu penyakit Hernia juga adalah salah satu penyakit yang biasa berlaku namun ia boleh dipulihkan oleh doktor. Jadi, bertenang dan jangan terlalu khuatir. Ya, ia mungkin lebih mudah untuk dikatakan berbanding mereka yang mengalaminya sendiri, tetapi percayalah dengan rawatan yang dijalankan. Sekiranya anda masih bimbang mengenai penyakit angin pasang atau musykil dengan rawatannya, anda boleh sahaja membaca soalan-soalan yang kerap ditanya berkaitan dengan Hernia dalam artikel kami iaitu “Soalan Lazim: angin pasang” atau dapatkan maklumat lanjut daripada doktor anda.

Tentukan pilihan doktor/hospital

Langkah pertama bagi individu yang mempunyai Hernia (yang mungkin atau tidak mungkin memerlukan pembedahan) adalah memilih pakar angin pasang atau hospital yang sesuai buat diri mereka. Bertanya pada doktor atau pakar penjagaan utama anda mengenai pilihan dan cadangan yang ada. Sebelum itu, buat sedikit kajian mengenai pakar Hernia di kawasan anda dalam talian. Di samping itu, anda juga boleh berunding dengan ahli keluarga dan rakan-rakan yang pernah mengalami angin pasang. Apabila anda telah mendapat pakar bedah yang diyakini, ia akan menjadikan perjalanan pemulihan anda jauh lebih lancar. Ataupun, anda hanya perlu merujuk kepada doktor di hospital-hospital berhampiran dan mereka juga boleh memberikan cadangan mengenai rawatan dan merujuk anda kepada pakar pembedahan yang sesuai.  

Jumpa doktor anda

Selepas membuat temujanji dengan pakar bedah Hernia, anda akan dijadualkan untuk menjalani pemeriksaan sebelum pembedahan dan pertemuan dengan pasukan utama pembedahan. Ketika itu, bertanyalah soalan sebanyak mungkin kerana mereka pastinya akan mencuba menjawab kesemua soalan anda serta menetapkan pelan tindakan bagi prosedur pembedahan yang paling selamat dan berkesan. Sebelum itu, pastikan anda telah bersedia dengan maklumat seperti berikut:

Simptom:

  • Berapa lamakah anda telah mengalami ketidakselesaan ini?
  • Adakah simptom anda berubah-ubah atau bertambah buruk baru-baru ini?

Pembedahan terdahulu & maklumat perubatan:

  • Adakah anda mengambil sebarang ubat-ubatan?
  • Adakah anda mempunyai keadaan diagnosis yang lain?
  • Pernahkah anda menjalani pembedahan angin pasang sebelum ini?
  • Sekiranya anda pernah melakukan sinar-X (X-ray) atau apa-apa imbasan, pastikan anda membawanya semasa temujanji awal itu.

Soalan:

Tuliskan sebarang pertanyaan mengenai Hernia, rawatan pembedahan dan garis panduan pemulihan yang anda ingin tahu. Pasukan perubatan anda akan menjawabnya semasa perundingan awal tersebut. Berikut adalah beberapa contoh soalan yang anda boleh tanyakan kepada mereka:

  • Adakah simptom yang saya alami ini angin pasang atau penyakit lain?
  • Perlukah saya menjalani pembedahan Hernia sekarang?
  • Adakah rawatan bukan pembedahan yang boleh saya lakukan?
  • Apa yang boleh saya harapkan daripada penyembuhan dari pembedahan ini?
  • Apakah risiko bagi pembedahan angin pasang?
  • Berapa banyakkah prosedur pembedahan Hernia yang telah anda lakukan setiap tahun?

Butiran insurans

Pastikan anda telah menyediakan maklumat lengkap dan menjelaskan pembayaran kepada pihak insurans anda sebelum tarikh pembedahan. Kebanyakan syarikat insurans memerlukan rujukan daripada pakar perubatan yang merawat anda. Rujukan ini perlulah sudah disediakan sebelum anda boleh berjumpa dengan pakar angin pasang Sila semak dengan syarikat insurans sebelum tarikh temujanji anda. Melakukan ini lebih awal akan membantu mengurangkan tekanan sekiranya anda tidak pasti mengenai aspek kewangan pembedahan yang bakal anda jalani.

Kesihatan umum sebelum pembedahan

Jaga kesihatan anda pada hari/ minggu yang menghampiri tarikh pembedahan anda. Makan makanan yang sihat, kekalkan penghidratan badan, lakukan senaman ringan yang tidak menyebabkan kesakitan pada Hernia dan dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa cuba berfikiran positif mengenai diri, keadaan dan penyakit anda.

Ujian sebelum pembedahan

Individu yang mengalami keadaan perubatan lain dan berumur melebihi 65 tahun mungkin memerlukan ujian darah atau ECG (Electrocardiogram) sebelum pembedahan. Pakar bedah akan bekerjasama dengan pusat pembedahan atau hospital anda. Mereka akan menentukan sama ada anda perlu menjalani ujian berdasarkan usia, tahap kecergasan, keadaan perubatan yang sedia ada, pembedahan terdahulu, penggunaan ubat-ubatan dan sebagainya. Ujian yang paling biasa melibatkan ujian darah dan ECG. Ia biasanya dilakukan seminggu atau dua minggu sebelum tarikh pembedahan. Di samping itu, prosedur ini biasanya boleh dilakukan di pejabat doktor perubatan utama anda.

Pengambilan ubat-ubatan

Pada minggu sebelum pembedahan, anda perlu mengikuti semua arahan doktor mengenai pengambilan ubat-ubatan, termasuklah:

  • Jika anda kerap mengambil ubat cair darah atau aspirin, doktor atau pakar kardiologi anda akan menasihati anda sekiranya ia selamat untuk menghentikan ubat-ubatan ini sebelum pembedahan.
  • Jangan ambil ubat diet, suplemen herba tertentu seperti St. John Wort atau Vitamin E.
  • Sekiranya anda mempunyai masalah jantung dan mengambil ubat untuk jantung, pastikan anda berunding dengan doktor atau pakar kardiologi anda. Kebanyakan pesakit masih mengambil ubat-ubatan ini walaupun pada pagi sebelum pembedahan dijalankan.
  • Sekiranya doktor membenarkan anda mengambil sebarang ubat pada hari pembedahan, makannya dengan tegukan sedikit air sahaja. Bagi keselamatan anda, elakkan mengambil makanan pada hari pembedahan kerana ia boleh menangguhkan pembedahan anda.

Garis panduan umum sebelum pembedahan

  • Pesakit tidak boleh makan atau minum apa-apa selepas tengah malam, iaitu pada malam sebelum pembedahan. Ikuti arahan ini dengan tegas, kerana jika tidak, pembedahan anda mungkin akan ditangguhkan.
  • Mandi sebelum anda hadir pada hari pembedahan.
  • Jangan gunakan losen, minyak wangi, deodoran atau pewarna kuku sebelum pembedahan.
  • Jangan cukur pada bahagian yang akan dibedah secara sendiri. Pasukan perubatan anda akan mengurusnya kemudian.
  • Simpan barang kemas anda termasuklah sebarang anting-anting dan subang.
  • Simpan kanta sentuh sebelum anda masuk ke dalam prosedur pembedahan.

Ketahui apa yang perlu dijangkakan selepas pembedahan

Sentiasa baca semula arahan pasca pembedahan daripada pakar bedah anda. Semasa atau selepas temujanji pembedahan anda, ketahui apa yang boleh dijangkakan selepas pembedahan dalam aspek kesakitan dan ubat tahan sakit yang perlu diambil. Selain itu, ketahui juga bila anda boleh memandu semula. Biasanya, memandu pada hari sama anda menjalani pembedahan adalah sangat tidak digalakkan. Bagi individu yang ingin kembali bekerja, ini bergantung kepada jenis angin pasang yang anda alami. Pastikan anda tidak lupa untuk bertanyakan soalan-soalan penting semasa perundingan awal anda.

Persetujuan maklumat

Semasa mendaftar masuk ke hospital, anda perlu menandatangani borang persetujuan. Dengan ini, anda telah mengakui bahawa anda telah memahami prosedur; bahawa doktor telah membincangkan tentang pembedahan dan potensi risikonya; dan anda tahu ubat-ubatan apa yang akan diterima (jika ada). Jika anda mempunyai soalan tentang pembedahan, hubungi pakar bedah anda pada minggu sebelum pembedahan dijalankan kerana anda pasti akan sibuk pada hari pembedahan tersebut. Menghubungi atau menetapkan temujanji lain dengan doktor biasanya adalah lebih baik dan mudah.

SUMBER

https://www.webmd.com/men/news/20040426/hernia-surgery-men#1

https://www.healthline.com/health/hernia

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/inguinal-hernia/diagnosis-treatment/drc-20351553

https://www.medicalnewstoday.com/articles/142334

error: Content is protected !!