Now Reading
10 Tanda dan Simptom Anda Mengalami Fasa Ketosis

10 Tanda dan Simptom Anda Mengalami Fasa Ketosis

fasa ketosis

Tanda dan simptom mengalami fasa ketosis dapat dilihat dalam bentuk positif dan negatif. Namun, apakah yang sebenarnya berlaku dalam fasa ini? Diet keto adalah satu kaedah popular dan efektif dalam menghilangkan berat badan dan meningkatkan tahap kesihatan anda.

Sekiranya diet rendah karbohidrat dan tinggi kandungan lemak ini diamalkan secara betul, ia boleh meningkatkan tahap keton (ketone) dalam darah. Ini secara tidak langsung akan membekalkan sumber tenaga baharu dan memberikan kebaikan yang unik kepada sel-sel anda.

Seterusnya, bagi individu yang mengamalkan diet keto, badan mereka akan mengalami penyesuaian biologi termasuklah penurunan kadar insulin dan juga peningkatan proses pecahan lemak.

Apabila ini berlaku, hati anda mula menghasilkan keton yang banyak sebagai bekalan tenaga kepada otak anda. Proses ini dipanggil ketosis. Walau bagaimanapun, ia selalunya susah untuk mengetahui sekiranya anda berada dalam fasa ketosis ataupun tidak.

Jadi, berikut merupakan 10 tanda dan simptom biasa fasa ketosis dalam bentuk positif mahupun negatif.

1. Nafas berbau

Ramai yang melaporkan bahawa mereka mengalami masalah nafas berbau setelah mencapai tahap ketosis. Ini merupakan kesan sampingan biasa daripada diet keto. Kebanyakan individu yang mengamalkan diet ketogenik ataupun diet Atkins juga mengatakan bahawa nafas mereka berbau pelik.

Masalah ini berlaku kerana peningkatan kadar keton. Penyebab utamanya adalah aseton (acetone) iaitu sejenis keton yang keluar daripada badan melalui nafas anda.

Walaupun nafas berbau ini boleh menjadi masalah dalam kehidupan sosial, ia juga boleh menjadi petanda positif kepada diet keto anda. Ramai pengamal diet keto memberus gigi beberapa kali sehari atau mengunyah gula-gula getah tanpa gula untuk menghilangkan bau mulut ini.

2. Penurunan berat badan

Diet keto adalah diet yang berkesan bagi individu yang ingin mengurangkan berat badan. Anda mungkin akan mengalami penurunan berat badan jangka pendek atau jangka panjang apabila anda mula beralih ke diet keto.

Selain itu, berat badan hilang dengan cepat pada minggu pertama. Jadi, ini adalah berita baik buat mereka yang ingin mengurangkan berat badan dengan segera.

Walaupun ramai yang menganggap bahawa kehilangan lemak telah berlaku, penurunan awal sebenarnya melibatkan berat cecair. Tetapi, lama-kelamaan anda akan terus menghilangkan lemak badan secara konsisten selagi anda berpegang kepada diet ini.

3. Peningkatan keton dalam darah

Salah satu manfaat dalam diet keto adalah penurunan kadar gula dan peningkatan kadar keton dalam darah. Apabila anda mengamalkan diet keto, anda akan mula membakar lemak dan keton sebagai sumber tenaga utama dalam badan anda.

Selain itu, cara paling tepat untuk mengukur ketosis adalah dengan mengukur kadar keton darah menggunakan meter khas. Ia boleh mengukur kadar keton anda dengan mengira jumlah ‘beta-hydroxybutyrate (BHB)’ dalam darah. Ini adalah salah satu jenis keton utama yang hadir dalam darah anda.

Menurut beberapa pakar diet ketogenik, ketosis pemakanan ditakrifkan sebagai kadar keton dalam darah dengan julat antara 0.5 hingga 3.0 mmol/L.

Walau bagaimanapun, masalah utama yang hadir bersama ujian ini adalah ia memerlukan anda untuk mencucuk jari tangan sedikit bagi mendapatkan darah dari situ.

4. Peningkatan keton dalam nafas atau air kencing

Satu cara lain untuk mengukur kadar keton dalam badan adalah menggunakan ujian pernafasan. Ia membantu memantau aseton (acetone), iaitu satu daripada tiga keton utama yang hadir dalam darah anda ketika proses ketosis.

Ini akan memberikan anda idea berkenaan kadar keton dalam badan anda memandangkan aseton (acetone) keluar daripada badan melalui nafas apabila anda berada dalam fasa ketosis.

Penggunaan penganalisis nafas aseton (acetone) telah terbukti mampu memberikan keputusan yang hampir tepat, namun ianya masih kurang tepat jika dibandingkan dengan kaedah mengawasi darah.

Tambahan pula, satu lagi teknik bagus yang boleh dibuat adalah dengan mengukur kehadiran keton dalam air kencing anda setiap hari. Ini dilakukan dengan menggunakan jalur penunjuk khas.

Cara ini juga mengukur pengeluaran keton melalui air kencing dan boleh menjadi teknik yang cepat dan mudah untuk mengetahui kadar keton anda setiap hari.

5. Menyekat selera

Ramai individu mengatakan bahawa mereka kurang berasa lapar ketika mengamalkan diet keto. Sebab berlakunya keadaan sebegitu masih dikaji hingga kini.

Walau bagaimanapun, ada pakar yang mengatakan bahawa pengurangan rasa lapar ini mungkin berlaku kerana peningkatan pengambilan protein dan sayur-sayuran berserta perubahan yang berlaku pada hormon lapar dalam badan anda.

Selain itu, keton sendiri juga mampu memberi kesan kepada otak untuk mengurangkan selera makan anda. Kurang lapar bermakna kurang makan, dan kurang makan bermakna kuranglah peningkatan berat anda.

6. Peningkatan fokus dan tenaga

Pengamal keto kerap mendapat kekeliruan otak, keletihan dan berasa sakit apabila mula mengamalkan diet keto. Keadaan ini disebut sebagai ‘selesema rendah karbohidrat’ atau ‘selesema keto’. Walau bagaimanapun, selepas mengalamalkan keto jangka panjang, mereka pula biasanya mengalami peningkatan fokus dan tenaga.

Apabila anda memulakan diet keto, badan anda akan menyesuaikan diri untuk membakar lebih banyak lemak sebagai tenaga berbanding karbohidrat.

Jadi, apabila anda memasuki fasa ketosis, sebahagian besar otak akan membakar keton dan bukannya glukos. Ianya mengambil masa selama beberapa hari atau beberapa minggu sebelum proses ini dapat berjalan dengan lancar.

Sementara itu, keton merupakan sumber tenaga yang baik buat otak anda. Ia juga telah diuji dalam keadaan perubatan untuk merawat penyakit dan masalah berkaitan otak seperti gegaran dan hilang ingatan.

Oleh itu, ianya tidak mengejutkan apabila pengamal diet keto jangka panjang mengatakan bahawa diet keto telah membantu mereka memperbaiki penglihatan serta meningkatkan fungsi otak.

Elakkan pengambilan karbohidrat untuk membantu mengawal dan menstabilkan kadar gula dalam darah. Ini mungkin berupaya membuatkan anda lebih fokus dan meningkatkan fungsi otak pada masa yang sama.

7. Kepenatan jangka pendek

Kepenatan mungkin menjadi salah satu isu terbesar bagi individu yang baru sahaja ingin mengamalkan diet keto. Kesan sampingannya yang biasa termasuklah rasa lemah dan tiada tenaga.

Keadaan ini selalu menyebabkan ramai orang berhenti diet sebelum memasuki fasa ketosis secara penuh. Banyak kelebihan diet keto jangka panjang akan hilang apabila diet terhenti.

Selain itu, kesan sampingan ini adalah sesuatu yang semulajadi. Selepas berpuluh tahun mengamalkan diet yang tinggi dalam kandungan karbohidrat, badan anda kini dipaksa untuk menyesuaikan diri dengan sistem yang berbeza. Oleh itu, kepenatan adalah sesuatu tindakbalas yang biasa.

Seperti yang anda boleh jangka, perubahan ini tidak berlaku semalaman sahaja. Ia biasanya mengambil masa selama 7 hingga 30 hari sebelum anda memasuki fasa ketosis yang betul.

Untuk mengurangkan kepenatan sementara peralihan kepada ketosis, anda mungkin mahu mengambil supplemen elektrolit (electrolyte) tambahan. Elektrolit (electrolyte) biasanya hilang kerana pengurangan kandungan cecair badan secara mendadak serta pembuangan garam tambahan.

Sekiranya anda mengambil supplemen tambahan ini, cuba dapatkan 2,000 hingga 4,000mg sodium, 1,000mg potasium dan 300mg magnesium setiap hari.

8. Penurunan prestasi jangka pendek

Pengurangan pengambilan karbohidrat berbanding diet biasa boleh menyebabkan keletihan pada mulanya. Ini termasuklah penurunan prestasi senaman anda.

Ia selalunya berpunca daripada penurunan kadar penyimpanan glikogen otot, yang biasanya membekalkan sumber tenaga utama dan paling efisien bagi semua jenis latihan senaman dan sukan dengan intensiti tinggi.

Selepas beberapa minggu, ramai pengamal diet keto mengatakan bahawa prestasi mereka telah kembali seperti biasa. Tambahan pula, diet keto boleh memberi manfaat kepada beberapa jenis sukan dan acara yang memerlukan daya ketahanan (endurance) yang tinggi. Ia juga boleh memberikan kelebihan lain terutamanya meningkatkan kebolehan untuk membakar lebih banyak lemak semasa melakukan latihan.

Atlet yang mengamalkan diet keto telah membakar sebanyak lebih 230% lemak semasa membuat senaman berbanding atlet yang tidak mengikuti diet ini.

Walaupun diet keto mungkin tidak dapat memaksimumkan prestasi bagi atlet elit, sebaik sahaja anda dapat menyesuaikan diri dengan pembakaran lemak berdasarkan diet keto, ia membolehkan anda mempunyai bekalan yang mencukupi untuk melakukan senaman biasa dan sukan rekreasi.

9. Masalah pencernaan

Diet ketogenik secara umumnya melibatkan perubahan besar dalam pemilihan pemakanan anda.

Masalah pencernaan seperti sembelit dan cirit birit adalah kesan sampingan biasa yang dialami dalam tempoh awal diet keto.

Ada di antara masalah ini akan berkurangan selepas tempoh peralihan, namun ianya penting buat anda mengetahui makanan apa yang boleh menyebabkan masalah pencernaan ini.

Di samping itu, pastikan anda makan banyak sayur-sayuran rendah karbohidrat yang menyihatkan. Sayuran sebegini mempunyai kandungan serat yang tinggi.

Apa yang paling penting adalah jangan tersalah mengambil makanan dengan kurang kepelbagaian. Ini boleh meningkatkan risiko anda mendapat masalah pencernaan dan kekurangan nutrien.

10. Insomnia

Satu masalah utama bagi mereka yang mengamalkan diet keto adalah masalah untuk tidur terutama ketika mereka baru mula mencuba diet ini.

Ramai individu mengatakan bahawa mereka mengalami insomnia atau sering bangun pada waktu malam apabila pertama kali mengurangkan pengambilan karbohidrat secara drastik.

Walau bagaimanapun, masalah ini selalunya bertambah baik selepas beberapa minggu.

Kebanyakan pengamal diet keto jangka panjang pula mendakwa bahawa mereka boleh tidur dengan lebih baik selepas sudah terbiasa dengan diet tersebut.

Kesimpulannya,

Beberapa tanda dan simptom yang dialami boleh membantu anda mengenal pasti sama ada anda berada dalam fasa ketosis ataupun tidak.

Sekiranya anda mengikuti garis panduan diet keto secara konsisten, anda seharusnya sudah berada dalam satu bentuk fasa ketosis.

Bagi mendapatkan penilaian yang lebih tepat, sentiasa pantau kadar keton dalam darah, air kencing atau nafas anda setiap minggu.

Walaupun anda boleh kehilangan berat badan, berasa lebih sihat dan menikmati diet keto yang diamalkan, anda tidak perlulah menjadi terlalu asyik untuk mengawal kadar keton anda. Diet yang dilakukan haruslah bermanfaat dan tidak melebih-lebih buat badan anda.

SUMBER

https://www.healthline.com/nutrition/10-signs-and-symptoms-of-ketosis

https://www.medicalnewstoday.com/articles/323544

https://www.ruled.me/how-to-know-you-are-in-ketosis/

error: Content is protected !!