Now Reading
10 Tempat Menarik Di Ipoh Wajib Kunjung

10 Tempat Menarik Di Ipoh Wajib Kunjung

Tempat Menarik Di Ipoh

Banyaknya tempat menarik di Ipoh! Tidak dinafikan, ibu negara Perak itu adalah salah satu bandaraya yang wajib dikunjungi melihatkan terdapat pelbagai tarikan unik dan mungkin tidak dapat dirasai di tempat lain.

Selain dibanjiri kafe dan restoran klasik kopitiam yang menghidangkan seribu satu macam hidangan enak, banyak sebenarnya aktiviti mengujakan yang boleh dilakukan sepanjang berada di sini.

Bagi yang tidak tahu, Ipoh pernah menjadi satu-satunya destinasi pelancongan di Malaysia yang tersenarai dalam laman web pelancongan antarabangsa “Lonely Planet”sebagai sebuah destinasi pelancongan terbaik di Malaysia bagi tahun 2016.

Selain terkenal dengan penangan Kopi Putih atau White Coffee, antara sebab lain yang menjadikan bandar lama ini sebagai lokasi pilihan si ‘kaki travel’ adalah kerana kemampuannya mengekalkan serta memelihara warisan klasik seperti seni bina lama daripada terus dimamah zaman.

Ternyata, masih banyak bangunan lama yang terus kukuh berdiri sehingga kini, malah, fungsi dalaman bangunan itu sendiri bijak diatur dan dibaik pulih mengikut selera warga era kini agar masih dipandang gah oleh generasi muda.

Khas buat semua yang tertanya-tanya apakah antara tempat menarik di Ipoh, jom ikuti pengembaraannya berasama Ceria Sihat!

#1 22 Hale Street

Bangunan 22 Hale Street terbahagi kepada dua perumahan kedai lama yang kini telah dibaik pulih menjadi muzium dan kafe. Galeri warisan ini memaparkan gaya hidup masyarakat Ipoh dahulu kala yang sebenar, termasuklah pameran berupa barangan retro pelbagai.

Harga tiket tertentu bergantung kepada musim akan dikenakan kepada pengunjung namun, ia bakal membuka mata kita bagi melihat kota Ipoh dengan lebih mendalam sebagai sebuah kota unik serta memiliki sejarah yang tersendiri. Pasti berbaloi untuk dikunjungi.

Alamat: 22, Jalan Tun Sambathan, 30000 Ipoh, Perak.

#2 Tasik Cermin

Merupakan salah satu permata tersembunyi yang jarang diterokai orang ramai. Tasik cermin adalah lokasi terbaik bagi kamu yang gemarkan pengembaraan.

Untuk sampai ke Tasik Cermin, kamu harus menyusuri hutan kecil yang melalui sebuah rumah tinggal di dalam hutan sebelum sampai di kawasan bukit batu kapur yang indah.

Perjalan tersebut akan mengambil sekitar 5 – 10 minit sebelum dapat melihat gua yang menjadi terowong untuk pengunjung sampai ke lokasi Tasik Cermin sebenar.

Alamat: Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, 31350 Ipoh, Perak.

#3 Wife Lane / Concubine Lane / Second Concubine Lane

Dalam Bahasa Cina, nama Concubine Lane dikenali sebagai “Yai Lai Hong” bermaksud “Lorong Perempuan-Perempuan Simpanan”. Ini kerana, dahulunya lorong rumah kedai ini menjadi pusat candu, aktiviti perjudian serta rumah pelacuran oleh masyarakat sekitarnya.

Biarpun begitu, kini lorong-lorong ‘gelap’ ini telah bertukar wajah buat para pengunjung kerana dipenuhi kedai-kedai cerderahati serta kafe hipster. Dinding-dinding lorong rumah kedai juga dihiasi mural menarik yang menjadi lubuk buat yang gemar bergambar!

Bila dah sampai ke lorong Concubine Lane ini, jangan lupa singgah mencuci mata di kedai buku BookXcess Kong Heng Ipoh serta Ipoh Heritage Barber untuk melihat hiasan dalamannya yang memukau ala retro!

Alamat: Panglima Ln, 30000 Ipoh, Perak.

#4 Taman Rekreasi Gunung Lang

Memiliki keindahan yang tersendiri, kawasan yang terkenal dengan air terjun buatan manusia ini turut menawarkan aktiviti cruise bot persiaran buat pengunjung yang mahu melihat-lihat kawasan tasik dan landskap indah bukit batu kapur yang tersergam megah di sekitarnya.

Bagi yang membawa anak kecil, jangan ketinggalan untuk menjegah sebentar di Zoo Mini serta taman permainan yang turut disediakan untuk orang awam. Masuk adalah percuma!

Alamat: Taman Rekreasi Gunung Lang Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh, Perak.

#5 Restoran New Hollywood

Meskipun kedai makan ini dibuka kepada awam sebagai sebuah restoran, apa yang menarik adalah ia menyediakan banyak gerai makanan pelbagai yang menjual di bawah satu bumbung.

Menu istimewa yang ditawarkan di sini adalah termasuk aneka cakoi, nasi ayam, mi kicap serta roti telur goyang. Memang syok kalau datang bersama dengan keluarga dan sahabat-handai untuk sama-sama menjamu selera di sini. Usah risau kerana semuanya halal belaka.

Namun, Restoran New Hollywood ini sering dipenuhi pengunjung. Sebaiknya jika kamu tak suka beratur dan menunggu lama, datanglah pada hari bukan hari minggu. Ia dibuka setiap hari dari seawal jam 7.00am – 4.00pm.

Alamat: 38, Lorong Cecil Rae, Taman Canning, 31400 Ipoh, Perak.

#6 Kong Heng Square

Jika kamu meminati fotografi, kamu wajib ke sini kerana terdapat pelbagai latar foto menarik yang mampu membuatkan hasil fotografi kamu sangat bernilai! Ini termasuklah bangunan kedai lama, pepohon kayu ara gergasi yang memberi aura sofistikated serta kedai dan kafe cantik.

Perkarangan bazar pasar lambak yang menjual segala macam barangan kraf adalah terletak di sebelah belakang kafe Plan B. Para pengunjung secara mudah boleh berjalan kaki ke sini daripada Concubine Lane yang tidak jauh dari lokasi Kong Heng Square.

Oh ya, orang kata ais kepal di sini sedap tau? Bolehlah cuba!

Alamat: Kong Heng Square, 30000 Ipoh, Perak.

#7 Sunway Lost World of Tambun

Bukan sekadar taman tema klise yang menawarkan pelbagai permainan ride untuk pengunjung cilik, orang dewasa juga berpeluang berseronok sakan di Sunway Lost World of Tambun!

Di sini ada tarikan menarik seperti kolam air panas Hotsprings & Spa, tapak perkemahan “Glamping”, Petting Zoo serta anjuran aktiviti lasak seperti Flying Fox, mendaki gunung hingga ke Gua Datuk dan banyak lagi.

Alamat: 1, Persiaran Lagun Sunway, Sunway City, 31150 Ipoh, Perak.

#8 Kek Lok Tong Cave Temple & Zen Gardens

Daripada luar ia kelihatan seperti bukit batu kapur biasa namun sebaik melangkah masuk ke bahagian gua yang terletak di kaki bukit penempatan kuil Buddha unik ini, suhu persekitarannya jauh lebih sejuk dan mendamaikan biarpun matahari terik menyinar terang di luar.

Terdapat juga taman indah di bahagian belakang kuil berlatarkan nuansa kehijauan alam semula jadi. Memang sesuai dijadikan kawasan untuk berjalan santai sambil menghirup udara segar.

Alamat: Persiaran Sepakat 3, Taman Endah Jaya, 31350 Ipoh, Perak.

#9 Time Tunnel Ipoh

Ingin mengimbau memori lampau? Ayuh kembali ke zaman sekitar era 40an dan 50an apabila dapat melangkahkan kaki ke muzium unik Time Tunnel Ipoh ini.

Kamu boleh bergambar sehingga puas dengan pelbagai koleksi barangan dan perabot antik yang ada tersimpan di dalam bangunan kedai dua tingkat ini. Syok habis!

Alamat: Jalan Panglima, 30000 Ipoh, Perak.

#10 Ladang Limau Bali GoChin Tambun

Ipoh memang terkenal sebagai pusat penanaman Limau Bali di Malaysia. Jadi, tak hairanlah kalau ada tarikan pelancong yang berupa Ladang Limau sebegini wujud di tengah-tengah bandar Ipoh.

Selain dapat mempelajari pelbagai ilmu dan informasi berguna tentang Limau Bali, pengunjung turut diberi peluang untuk merasai teh yang diperbuat daripada buah gergasi ini -dikatakan berfungsi menyah toksin dari tubuh.

Sebelum pulang, mungkin boleh singgah ke sini dahulu untuk membeli ole-ole berupa Limau Bali serta segala macam produk makanan dan minuman yang diperbuat menggunakan Limau Bali.

Alamat: 158258A, Jalan Ampang Tambun, 31400 Ipoh, Perak.

Penulis sedia maklum yang sekarang ini sedang musim PKPB. Tiada sesiapa dibenarkan untuk merentas daerah tanpa sebarang sebab yang kukuh dan munasabah.

Namun begitu, kamu boleh sahaja simpan senarai tempat menarik di Ipoh ini untuk rujukan masa hadapan.

Berdoa sahajalah agar negara kita akan semakin sembuh daripada terus terpalit dengan krisis Virus Covid-19 ini.

Sebaik sahaja kita semua dibenarkan merentas daerah dan keluar daripada negeri masing-masing nanti, bolehlah ktia melancong ke Ipoh berpandukan cadangan yang Ceria Sihat kongsikan ini okay?

Jaga diri semuanya!

SUMBER

https://www.travelswithsun.com/things-to-do-in-ipoh

error: Content is protected !!