Now Reading
11 Penyakit Berjangkit Antara Spesies Yang Berbahaya

11 Penyakit Berjangkit Antara Spesies Yang Berbahaya

Penyakit berjangkit antara spesies yang berbahaya

Penyakit berjangkit antara spesies yang berbahayaboleh berevolusi dengan cepat dan menjangkiti spesies yang lain. Sebagai contoh, Coronavirus baru, SARS-CoV-2 (yang menyebabkan COVID-19) adalah perumah bagi penyakit berbahaya dan berjangkit yang berasal daripada haiwan ke manusia malah, mungkin daripada manusia ke haiwan juga.

Jangkitan antara spesies ini boleh berasal dari ladang atau pasar, di mana terdapat keadaan yang menggalakkan penggabungan pelbagai patogen, sehingga ia bertukar gen untuk menjangkiti perumah yang asing. Ataupun, proses transmisi itu boleh berlaku daripada aktiviti yang normal seperti membiarkan monyet persembahan memanjat kepala anda. Kemudian, 2 variasi mikrob boleh berkumpul dalam usus anda, dan berevolusi menjadikan anda perumah yang berjangkit.

Penyakit berjangkit antara spesies ini dipindahkan daripada haiwan ke manusia digelar sebagai zoonoses. Secara umum, terdapat lebih dari tiga dozen penyakit yang boleh didapati secara langsung melalui sentuhan dan lebih dari empat dozen akibat gigitan. Namun begitu, parasit yang membawa penyakit tidak cerewet mengenai pemilihan perumahnya. Bukan itu sahaja, penyakit manusia juga boleh melenyapkan populasi haiwan, selalunya melalui aktiviti yang bermanfaat seperti eko-pelancongan.

– Novel Coronavirus

Novel Coronavirus yang menyebabkan penyakit COVID-19 telah dikenalpasti buat pertama kali pada penghujung bulan Disember 2019 di Wuhan, China, di mana pihak berkuasa mengesyaki sumbernya dikaitkan dengan pasar makanan laut di situ. Ia adalah penyakit berjangkit antara spesies. Analisis genetik virus tersebut mencadangkan asal usulnya daripada kelawar. Walau bagaimanapun, tiada kelawar yang dijual di pasar makanan laut itu, jadi saintis berfikir bahawa haiwan yang membawa virus ini masih belum dikenal pasti saat ini.

Menurut sesetengah kajian yang telah dijalankan, haiwan perantara tersebut mungkin adalah dari spesies tenggiling, iaitu sejenis mamalia memakan semut yang terancam. Bagaimanapun, virus yang dijumpai dalam sampel yang diambil daripada tenggiling yang diseludup secara haram itu tidak begitu sepadan dengan virus SARS-CoV-2 untuk membuktikan tenggiling sebagai sumber penyakit COVID-19.

Selain itu, kajian lain menunjukkan ular, yang dijual di pasar makanan laut itu, sebagai penyebab berkemungkinan COVID-19. Namun begitu, pihak pakar mengkritik analisis yang digunakan sebagai konklusi kajian tersebut, dengan mengatakan bahawa ia masih tidak diketahui sama ada Coronavirus boleh menjangkiti ular atau tidak.

– Pandemik Influenza

Pada tahun 1918, pandemik influenza iaitu penyakit berjangkit antara spesies telah menyerang seluruh dunia selama beberapa bulan dan membunuh seramai 50 juta manusia. Jumlah tersebut melebihi semua kadar kematian akibat penyakit dalam masa yang singkat, yang pernah direkodkan dalam sejarah . Virus influenza H1N1 yang menjangkiti lebih daripada 1/3 populasi dunia berasal daripada burung. Ia mula dikenalpasti di Amerika Syarikat oleh seorang pegawai tentera pada musim bunga tahun 1918. Sejak itu, virus tersebut telah membunuh seramai 675,000 rakyat Amerika.

Berbeza dari rantaian selesema lain yang membunuh terutamanya golongan tua dan golongan yang mempunyai sistem imun terjejas, rantaian H1N1 pada tahun 1918 tersebut menjejaskan golongan muda dengan ketara, manakala golongan tua didapati memiliki imuniti sejak virus H1NI yang lepas. Dalam setahun, jangka hayat purata di Amerika Syarikat menurun sebanyak 12 tahun.

Satu lagi virus H1N1, iaitu (H1N1)pdm09, muncul pada awal tahun 2009 dan berlangsung selama setahun. Di Malaysia, bilangan kes yang dilaporkan mencecah sebanyak 5,876 pada masa itu. Di seluruh dunia pula, virus itu telah membunuh seramai 151,700 hingga 575,400 orang. Virus tersebut didapati berasal dari sekumpulan babi, yang mempunyai percampuran virus-virus influenza, yang berlaku secara normal bagi spesies babi Amerika Utara dan Eurasian.

– Plag Bubonik

Tiada yang boleh mengatasi Kematian Hitam (turut digelar plag bubonik) akibat impak yang diberinya ke seluruh dunia sebagai penyakit berjangkit antara spesies sehingga telah menjatuhkan tamadun-tamadun. Pada waktu itu, mayat-mayat kelihatan bergelimpangan di serata jalan dari Eropah ke Mesir dan merentasi Asia. Seramai 75 juta orang meninggal dunia, walhal pada saat itu terdapat hanya sekurang-kurangnya 360 juta manusia di muka bumi. Kematian tiba dalam kiraan hari dan ia sangat menyakitkan.

Plag adalah penyakit bakteria yang berpunca dari Yersinia pestis. Ia dibawa oleh tikus, dan kadangkala kucing, dan menjangkiti manusia melalui kuman daripada kutu yang dijangkiti (selalunya kutu tikus). Penyakit itu menjadi paling berbahaya apabila disebarkan melalui manusia, seperti kes yang berlaku pada tahun 1300an. Simptomnya termasuklah demam, seram sejuk, kelemahan dan noda limfa yang bengkak dan sakit. Sehingga hari ini, jika tidak dirawat, penyakit tersebut boleh membawa maut.

Plag pada abad ke-14 itu terjadi selepas bakteria luar biasa telah menjadi dorman berabad lamanya di padang pasir Gobi di Asia. Selepas ‘terjaga’ pada tahun 1320an, ia berhijrah melalui laluan dagangan dari China, merentasi Asia dan ke Itali pada 1347 hinggalah ke Rusia.

– Penyakit berasal dari gigitan

Segelintir penyakit zoonotik berpunca dari gigitan haiwan. Terutamanya, nyamuk seperti penyakit Malaria yang disebabkan oleh parasit dan boleh merebak kepada manusia melalui gigitan daripada nyamuk yang dijangkiti. Penyakit berjangkit antara spesies ini telah menjangkiti seramai 228 juta manusia di seluruh dunia pada tahun 2018. Manakala, sebanyak 405,000 kes kematian pada tahun itu.

Demam denggi bawaan nyamuk Aedes pula menjangkiti seramai 400 juta manusia setiap tahun dengan sekurang-kurangnya 100 juta daripada mereka jatuh sakit akibaat penyakit itu dan 22,000 orang meninggal dunia.

– Penyakit daripada haiwan peliharaan dan tikus

Penyakit berjangkit antara spesies yang berhubung dengan haiwan peliharaan seperti Rabies telah meragut nyawa seramai 55,000 orang di seluruh dunia pada setiap tahun. Kebanyakan kes berlaku di Asia atau Afrika dan majoriti kes kematian berlaku akibat gigitan haiwan peliharaan atau haiwan liar yang dijangkiti.

Walau bagaimanapun, anda tidak semestinya digigit untuk dijangkiti penyakit bawaan haiwan. Sebagai contoh, Hantavirus yang dibawa oleh kebanyakan tikus disebarkan ke manusia melalui partikel yang dikeluarkan melalui air kencing, najis dan air liurnya, dan menjadi aerosol yang boleh dihidu.

– HIV/AIDS

HIV yang boleh menyebabkan AIDS telah dijejaki daripada sejenis Cimpanzi di Afrika Tengah. Versi monyet penyakit ini, iaitu simian immunodeficiency virus, atau SIV, disebarkan kepada manusia menjadi penyakit berjangkit antara spesies apabila mereka memburu haiwan ini bagi mendapatkan dagingnya. Dari itu, manusia terdedah kepada darahnya yang telah dijangkiti virus tersebut dan bermutasi menjadi HIV. Kajian telah menemui virus ini berlaku seawal tahun 1800.

HIV merosakkan sistem imun, memberi peluang kepada penyakit berbahaya lain atau kanser. Sebagai contoh, Tuberkulosis telah membunuh 1/4 daripada berjuta manusia yang mempunyai HIV setiap tahun.

– Mengawal fikiran

Sejenis parasit yang diberi nama Toxoplasma gondii boleh menjangkiti otak seramai 2 billion manusia di seluruh dunia. Sesetengah kajian mencadangkan parasit itu mungkin menyumbang kepada Skizofrenia.

Bagaimanapun, perumah utamanya adalah kucing rumah, di mana virus tersebut membiak secara seksual di dalam usus kucing. Ia boleh menjangkiti manusia melalui sentuhan dengan najis kucing. Malah, parasit itu turut ditemui dalam haiwan-haiwan mamalia lain.

– Cysticercosis

Manusia boleh mendapat cysticercosis apabila menelan air atau makanan yang mengandungi telur cacing pita yang digelar Taenia solium. Seterusnya, larva ini merayap ke dalam otot dan tisu otak di mana ia membentuk sista.

Selain itu, manusia juga boleh mendapat parasit ini sekiranya mereka makan babi mentah atau yang kurang masak yang mengandungi sista dan kemudiannya melekat pada dinding usus kecil. Selepas dua bulan, sista itu akan membesar menjadi cacing pita dewasa.

Penyakit berjangkit antara spesies ini berlaku apabila sista memasuki otak, ia digelar sebagai neurocysticercosis. Simptomnya termasuklah sakit kepala, sawan, kekeliruan, otak membengkak, kesukaran menstabilkan badan, dan strok atau kematian.

– Ebola

Penyakit virus Ebola iaitu penyakit berjangkit antara spesies yang disebabkan dari salah satu daripada lima rantaian virus Ebola adalah ancaman menyeluruh bagi haiwan seperti gorila dan monyet di Asia Tengah. Penyakit itu mungkin menjangkiti manusia melalui kelawar atau haiwan primat yang dijangkiti. Ia mula dikenalpasti pada tahun 1976 berhampiran Sungai Ebola di Congo. Manusia boleh dijangkiti 4 rantaian virus tersebut melalui sentuhan dengan darah atau cecair badan yang dijangkiti daripada haiwan yang membawa virus itu. Individu itu kemudiannya boleh menjangkiti manusia lain melalui hubungan rapat atau sentuhan.

– Penyakit Lyme

Tiada siapa yang suka apabila menjumpai kutu yang menghisap darah di badan mereka. Tetapi, apa yang lebih teruk adalah sesetengah kutu membawa virus penyakit berjangkit antara spesies sewaktu ia sedang menghisap darah! Kutu berkaki hitam boleh menyebarkan bakteria yang menyebabkan penyakit Lyme kepada manusia. Kebiasannya, penyakit itu berpunca dariu Borellia burgdorferi atau kadangkala B. mayonii.

Simptom yang ditunjukkan termasuklah demam, keletihan, sakit kepala, dan ruam kulit yang berbentuk seperti cincin dan digelar sebagai erythema migrans.

– Manusia menjangkiti monyet dan gorila

Manusia juga boleh menghantar patogen kepada monyet dan gorila. Sebagai contoh, para saintis telah membuat spekulasi bahawa Cimpanzi di Taman Kebangsaan Gombe Stream di Tanzania telah mendapat penyakit polio daripada manusia.

Dalam kes lain, gorila dan monyet di Afrika Barat telah dibunuh oleh penularan anthrax (yang berpunca dari Bacillus anthracis) iaitu penyakit berjangkit antara spesies, yang mungkin berasal daripada lembu ternakan manusia.

Pada tahun 2009, pendedahan terhadap manusia mungkin telah membawa kepada penularan jangkitan penyakit pernafasan manusia metapneumovirus dalam kalangan Cimpazi yang ditangkap di Zoo Taman Lincoln, Chicago. Waktu itu, seekor cimpanzi jantan berumur 9 tahun telah mati akibat jangkitan tersebut.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/infectious-diseases/symptoms-causes/syc-20351173

https://health.ri.gov/diseases/infectious/

https://www.who.int/topics/infectious_diseases/en/

error: Content is protected !!