Sebenarnya, terdapat banyak fakta kencing manis dan juga mitosnya. Mari kita bongkarkan satu persatu maklumat mengenai kencing manis.Oleh itu, melalui artikel ini, kami akan kongsikan fakta mengenai kencing manis bagi memperjelas kembali pengetahuan anda daripada terus diselubungi mitos-mitos palsu tentang penyakit ini.
1. Fakta Kencing Manis – Pengambilan Gula Secara Berlebihan
Ini tidak semestinya menjadi punca kepada penyakit kencing manis. Diabetes adalah sejenis penyakit kronik yang diakibatkan oleh paras glukosa darah yang tinggi dan berpunca daripada kegagalan tubuh menghasilkan insulin atau ketidakupayaan untuk bertindak balas. Fungsi utama insulin adalah mengurangkan paras glukosa darah dalam badan anda apabila ia mencecah terlalu tinggi.
Makan makanan manis tidak semestinya menyebabkan penyakit ini tetapi, jika anda mengamalkan diet yang dengan kadar gula dan lemak yang tinggi sehingga boleh menyumbang kepada obesiti, ini justeru boleh meningkatkan risiko anda menghidap kencing manis jenis 2.
2. Penyakit diabetes boleh dirawat
Penyakit kencing manis adalah penyakit kronik yang masih belum mempunyai penawar. Namun begitu, simptomnya boleh dikawal bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang berbahaya.
3. Pesakit diabetes yang menjalani rawatan insulin adalah lebih parah berbanding pesakit yang mengambil ubat-ubatan oral
Bagi pesakit yang menghidap kencing manis jenis 1, mereka tidak dapat menghasilkan insulin kerana mengalami gangguan imun yang menjejaskan pankreas. Pankreas adalah organ tubuh yang menghasilkan insulin. Ubat-ubatan oral yang diambil hanya bertujuan untuk merangsang pengeluaran insulin, jadi ia tidak memberi kesan kepada keadaan mereka. Oleh itu, mereka memerlukan suntikan insulin secara berkala untuk mengawal tahap glukosa darah mereka.
Manakala, bagi pesakit diabetes jenis 2 pula, rawatan awal boleh hanya melibatkan pengambilan ubat oral atau juga suntikan insulin. Sesetengah pesakit mungkin memerlukan gabungan kedua-dua rawatan untuk mengawal tahap glukosa mereka secara optimum.
Jadi, tiada perbandingan ketara sekiranya anda perlu menjalani rawatan insulin mahupun sekadar mengambil ubat-ubatan oral kerana kedua-duanya ditentukan berdasarkan tahap keparahan penyakit kencing manis anda.
4. Amputasi tidak boleh dielakkan bagi pesakit diabetes
Apabila penyakit ini tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan saluran darah menjadi rosak. Ini seterusnua mendorong kepada komplikasi yang lebih besar seperti ulser kaki dan amputasi. Selain itu, pesakit kencing manis juga mungkin akan mengalami kerosakan saraf, kegagalan buah pinggang, penyakit jantung, strok serta menjadi buta.
Namun begitu, komplikasi tersebut boleh dielakkan sekiranya pesakit menguruskan penyakit mereka dengan betul. Oleh itu, ianya adalah penting bagi pesakit diabetes untuk menjalani pemeriksaan kaki, mata dan buah pinggang secara berkala bagi memantau dan mengelakkan komplikasi yang tidak diingini.
5. Pesakit kencing manis haruslah menghindari pengambilan karbohidrat
Karbohidrat yang dipecah menjadi glukosa bagi menyumbangkan tenaga kepada badan boleh meningkatkan kadar glukosa dalam darah.
Namun demikian, pelbagai makanan mengandungi karbohidrat termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan, yang juga mengandungi sumber nutrien penting bagi tubuh badan. Oleh itu, anda tidak boleh mengelakkan karbohidrat secara langsung dengan mudah. Sebaiknya, rujuk pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat mengenai diet yang sesuai untuk anda sebagai pesakit diabetes.
6. Pesakit kencing manis boleh makan snek atau gula-gula yang tidak mengganggu penyakit diabetes atau yang tidak mengandungi gula tambahan
Sebagai pesakit kencing manis, anda masih dibenarkan mengambil snek atau gula-gula sebegini sebagai alternatif kepada makanan ringan biasa. Ia perlulah mengandungi tahap gula yang rendah atau digantikan dengan gula tiruan sahaja.
Namun begitu, makanan ringan selalunya rendah dengan nutrien dan mengandungi kandungan lemak yang tinggi. Jadi, sewaktu memilih makanan ringan yang baik untuk keadaan anda, periksa dahulu kandungannya dan ambillah secara ala kadar sahaja.
7.Pesakit diabetes tidak boleh makan ubi kentang
Kentang mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi . Walau bagaimanapun, anda masih boleh menikmatinya dalam kadar yang sederhana. Malah, anda boleh sahaja makan makanan lain berasaskan karbohidrat yang lain seperti roti, pasta dan nasi, asalkan ia diambil dalam kuantiti bersederhana.
8. Pesakit kencing manis mesti amalkan diet yang khusus
Tiada diet yang khas bagi pesakit diabetes. Ada sesetengah pesakit menghitung jumlah karbohidrat yang diambil, manakala yang lain tidak. Sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan, salah satu matlamat utama anda sepatutnya melibatkan pengurangan berat badan anda dan terdapat banyak cara boleh merealisasikannya.
Sekiranya anda tidak pasti mengenai diet yang sesuai dengan keadaan anda, doktor atau pakar pemakanan boleh membantu anda memilih pelan diet yang betul.
9. Pesakit kencing manis adalah pemandu yang berbahaya
Mitos ini adalah berasaskan generalisasi yang tidak tepat. Bahaya utama yang boleh berlaku bagi seorang pesakit diabetes adalah jika mereka memandu apabila diserang hipoglisemia.
Namun, jangan khuatir kerana hipoglisemia adalah satu keadaan yang boleh dicegah. Ramai pesakit kencing manis memerlukan penjagaan hipoglisemia bagi mengelakkan keadaan tersebut berlaku sewaktu memandu.
Kajian telah menunjukkan bahawa hanya 0.2% pemandu yang telibat dalam kemalangan jalanraya mengalami hipoglisemia. Namun, sehingga kini, mitos bahawa pesakit kencing manis adalah pemandu yang berbahaya masih lagi diwar-warkan.
10. Pesakit diabetes tidak boleh terlibat dalam sukan
Ini adalah mitos yang salah. Pesakit kencing manis sangat digalakkan untuk melibatkan diri dalam senaman bagi mengekalkan gaya hidup sihat. Selain itu, atlet-atlet profesional yang mengalami kencing manis juga telah membuktikan keputusan yang sebaliknya tentang mitos ini.
Namun, seperti pesakit lain, beberapa faktor harus dipertimbangkan dahulu sebelum menyertai sebarang sukan. Dalam kebanyakan kes, tiada sebab yang boleh menghalang mereka daripada terlibat dalam sukan kecuali jika itu yang disarankan oleh doktor.
11. Pesakit kencing manis tidak boleh melakukan banyak kerja
Menghidapi penyakit diabetes tidak menghalang anda daripada bekerja kerana banyak penambahbaikan telah dilakukan dalam rawatan kencing manis. Jadi, mitos ini tidak boleh diguna pakai pada zaman pekerjaan hari ini.
Hanya perkhidmatan ketenteraan sahaja yang membataskan pesakit diabetes untuk berkhidmat dalam beberapa jawatan tertentu. Namun, kebanyakan jawatan lain masih boleh dipegang oleh pesakit kencing manis seperti individu normal.
Selain itu, bagi pesakit diabetes yang tidak dapat bekerja sepenuhnya kerana faktor seperti pergerakan dan penglihatan yang terhad, mereka mungkin berhak mendapat manfaat tertentu dalam bidang pekerjaan.
12. Pesakit kencing manis mudah jatuh sakit
Seperti individu yang sihat, pesakit diabetes tidak mudah untuk mengalami demam atau penyakit lain seperti yang dikatakan. Namun begitu, sekiranya mereka jatuh sakit (seperti demam, selesema), ia boleh mengakibatkan pengurusan tahap glukosa menjadi lebih sukar. Malah, keparahan penyakit atau jangkitan yang dialami akan meningkat apabila tahap glukosa mereka gagal dikawal.
13. Penyakit kencing manis boleh berjangkit
Maklumat ini adalah sejenis mitos yang klasik. Faktanya, penyakit diabetes tidak boleh menjangkiti dan dijangkiti. Ia dikategorikan sebagai penyakit tidak berjangkit kerana tidak boleh disebarkan melalui bersin, sentuhan darah dan lain-lain.
Sebaliknya, satu-satunya cara penyakit kencing manis boleh disebarkan adalah sekiranya ia diwarisi daripada ibu bapa yang menghidap diabetes kepada anak-anak mereka.
SUMBER
https://www.webmd.com/diabetes/features/diabetes-food-myths-facts