Contoh Cover letter adalah perkara yang penting bagi seseorang mencari pekerjaan buat pertama kali. Setiap orang pasti akan mencari pekerjaan apabila telah sampai masanya. Lazimnya, hal ini berlaku apabila kita telah tamat pengajian dan ingin menambah pengalaman untuk mencari pekerjaan.
Masih ramai yang tidak tahu, bagi seseorang yang baru sahaja masuk bidang pekerjaan, anda perlukan contoh cover letter yang terbaik bagi membuka mata bakal majikan terhadap diri anda.
Terdapat pelbagai cara untuk mencari jawatan kosong, antaranya melihat iklan di akhbar atau melayari mana-mana laman web pekerjaan, seperti JobsMalaysia, Job Street dan Indeed. Namun, jika cover letter tidak menonjol seperti pesaing anda, bagaimana pula? Jadi kami akan kongsikan tips untuk menulis cover letter yang terbaik.
Apa itu Cover Letter?
Surat permohonan kerja atau lebih dikenali sebagai cover letter adalah kunci yang akan memberi gambaran positif mengenai diri kita kepada majikan.
Surat permohonan kerja perlulah bersesuaian dengan jawatan dan syarikat yang dipohon, bagi meningkatkan lagi peluang anda untuk disenarai pendekkan dan dipanggil untuk sesi temu duga.
Elakkan menghantar surat permohonan kerja dan resume yang umum dan menghantar surat permohonan jawatan dan resume yang sama bagi semua jawatan.
Cover letter adalah bagaimana cara anda memasarkan diri anda kepada bakal majikan. Melalui cover letter juga majikan dapat melihat personaliti anda, serta menilai dan mempertimbangkan anda kepada pengurusan tertinggi sama ada anda layak atau tidak untuk diterima bekerja di situ.
Cover letter tidak kisah untuk ditulis dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, apa yang penting ketika membuat permohonan kerja adalah budi bahasa kerana itu apa yang melambangkan diri kita.
Tips Untuk Menulis Surat
- Gunakan ayat pembuka yang dapat menarik perhatian majikan
Ayat pembuka ini sangat penting bagi menarik perhatian majikan untuk teruskan membaca surat anda. Elakkan guna perkataan yang cliche, sebaliknya cuba untuk kaitkan diri anda dengan syarikat tersebut. Sebagai contoh, kongsikan sedikit tentang kenapa anda menyukai syarikat mereka atau bagaimana anda mengenali dan pandangan anda tentang syarikat tersebut.
- Rangka Cover letter menggunakan 2W 1H (Who, Why, How)
Who? – Perkenalkan diri dan latar belakang belakang anda secara ringkat dan padat.
Why? – Beritahu tujuan surat permohonan kerja tersebut dihantar dan anda juga perlu yakinkan majikan kenapa mereka perlu mengambil anda bekerja di syarikat mereka.
How? – Jangan lupa untuk memberi maklumat seperti no. telefon atau alamat emel untuk memudahkan majikan menghubungi anda.
- Baca dahulu surat anda sebelum tekan hantar
Selepas selesai menulis surat anda, pastikan anda membacanya dahulu. Pastikan tiada typo, ayat yang digunakan adalah profesional dan segala maklumat dan butiran ditulis dengan tepat.
Apakah Kandungan yang perlu ada dalam Cover Letter?
Kandungan cover letter mestilah mencerminkan kemahiran berkomunikasi, menulis, tahap kepentingan dalam kedudukan, pengetahuan anda tentang syarikat dan kaitan kemahiran anda dengan jawatan yang dipohon.
Kandungan yang perlu ada dalam cover letter:
- Alamat, butiran diri anda, dan alamat penerima
- Tarikh surat ditulis
- Panggilan yang betul seperti Encik, Tuan, Cik dan Puan
- Tujuan surat ditulis, termasuk butiran jawatan yang ditawarkan
- Tunjukkan minat anda terhadap jawatan yang ada
- Tunjukkan yang anda bersungguh-sungguh ambil tahu tentang syarikat itu
Perkara yang tidak perlu dibuat:
- Jangan hanya buat ringkas kemahiran anda tanpa bukti sokongan kemahiran
- Ayat yang diambil secara langsung dari laman web syarikat itu
Contoh Cover Letter #1
Jawatan boleh diubah mengikut jawatan yang anda pohon
Muhammad Aiman bin Amin
No 99, Jalan Melur 3,
40300 Shah Alam, Selangor.
iniemailsaya@gmail.com
011 2347868
24 April 2021
Kepada:
Pengurus Sumber Manusia,
Majlis Perbandaran Kuala Lumpur
Tuan,
PERMOHONAN KERJA SEBAGAI KERANI
Merujuk perkara di atas, saya ingin memohon untuk jawatan kosong tersebut. Saya dimaklumkan mengenai jawatan kosong tersebut melalui iklan akhbar Utusan bertarikh 20 April 2021. Berserta ini, saya lampirkan resume saya untuk rujukan pihak Tuan.
Untuk makluman Tuan, saya pernah bekerja sebagai kerani di syarikat pengangkutan bas selama empat tahun. Kemudian, saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat hartanah dj Kuala Lumpur selama 3 tahun. Tambahan pula, saya merupakan graduan diploma bidang pengurusan pejabat dari UiTM.
Saya telah mengikuti perkembangan syarikat Tuan sejak setahun yang lalu dan saya dapat lihat bahawa syarikat Tuan banyak memberikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat. Saya berkebolehan untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Arab dengan lancar, jadi saya pasti kebolehan saya ini dapat membantu saya untuk menjalankan kerja dengan lancar. Selain itu, saya juga merupakan seorang yang cepat belajar dan mudah bekerja di dalam pasukan.
Saya berharap agar permohonan saya diberi pertimbangan sewajarnya. Saya juga berharap pihak Tuan dapat menghubungi saya untuk ditemuduga. Segala pertimbangan pihak Tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Yang benar,
————————————
( Tandatangan anda )
Contoh Cover Letter #2
Siti Zaleha binti Yaacob
No 3, Jalan Hang Tuah,
Kampung Pahlawan,
51300 Kemaman, Terengganu.
iniemailfatimah@gmail.com
012 3459876
24 April 2021
Kepada:
Pengurus Sumber Manusia,
Maju Palm Oil Sdn. Bhd.
Tuan,
PERMOHONAN KERJA SEBAGAI EKSEKUTIF AKAUN
Merujuk perkara di atas, saya ingin memohon untuk jawatan kosong tersebut. Saya dimaklumkan mengenai jawatan kosong tersebut melalui iklan akhbar Utusan bertarikh 20 April 2021. Berserta ini, saya lampirkan resume saya untuk rujukan pihak Tuan.
Saya akan menceritakan sedikit berkaitan pengalaman saya bekerja sebelum ini. Saya pernah memegang jawatan Kerani Kanan Akaun di syarikat Heng Seong Manufacturing Sdn. Bhd. Kemudian saya telah dinaikkan pangkat pada tahun 2007 berdasarkan prestasi kerja yang sangat cemerlang. Saya juga memegang Diploma dalam jurusan perakaunan dari Kolej Komuniti Jempol.
Saya telah mengikuti perkembangan syarikat tuan sejak dua tahun lalu dan mendapati perkembangan yang pesat sehingga mampu mengeksport produk Tuan hingga ke luar negara. Kebolehan saya berbahasa Inggeris dan German tentunya dapat membantu saya dan syarikat untuk menjalankan kerja dengan lebih lancar. Selain itu, saya juga merupakan seorang yang cepat belajar dan mudah bekerja di dalam pasukan.
Saya berharap agar permohonan saya diberi pertimbangan sewajarnya. Saya juga berharap pihak tuan dapat menghubungi saya untuk ditemuduga. Segala pertimbangan pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Yang benar,
—————————————
(Nama dan Tandatangan)
Contoh Cover Letter #3
Pengarah, Sumber Manusia
Jabatan Kesihatan Daerah
Daerah Kuala Berang
25600, Kuala Berang, Terengganu.
20 Ogos 2018
Tuan/Puan,
PERMOHONAN JAWATAN SEBAGAI PEMBANTU PERIBADI/SETIAUSAHA
Perkara di atas dirujuk.
Saya dengan sukacitanya ingin mengemukakan permohonan jawatan sebagai Pembantu Peribadi/Setiausaha di organisasi tuan/puan.
- Untuk pengetahuan tuan/puan, saya mempunyai Ijazah dalam bidang Kesetiausahaan dari Universiti Teknologi MARA Malaysia, UiTM, Shah Alam. Saya telah menamatkan pelajaran saya pada bulan Julai 2018.
- Buat masa sekarang, saya bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Kuching Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang berkecimpung dalam bidang pembuatan dan juga hartanah. Kerja yang saya pegang sekarang adalah kerja sementara kerana saya dalam proses untuk mencari jawatan tetap. Disini turut dilampirkan resume saya untuk rujukan pihak tuan.
Saya berharap permohonan saya akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari pihak tuan.
Keprihatinan Tuan terhadap perkara ini amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Yang benar.
……………………………..
<NAMA PEMOHON>
Format Cover Letter
- Jika anda seorang fresh graduate, cukup untuk anda terangkan siapa diri anda, dan dari institusi mana anda menamatkan pengajian.
- Jika ada pengalaman, ianya memberikan sedikit kelebihan kepada anda dan yang paling penting, cara untuk menghubungi anda.
- Pastikan cover letter yang ditulis adalah ringkas dan padat.
- Penting untuk anda maklumkan kepada bakal majikan daripada mana anda mengetahui berkaitan jawatan kosong tersebut.
- Pastikan anda menggunakan ayat dan perkataan yang betul jika menulis cover letter dalam Bahasa Inggeris.
- Jika anda tidak begitu yakin dengan penulisan Bahasa Inggeris anda boleh sahaja menulis dalam Bahasa Melayu
SUMBER:
https://therohani.com/contoh-cover-letter-terbaik-bahasa-melayu/
https://novoresume.com/career-blog/cover-letter-examples
https://www.portalmalaysia.com/contoh-cover-letter/
https://glints.com/id/lowongan/cara-membuat-cover-letter/#.YLjiZagzbIU