Pengalaman mengandung akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa seorang wanita. Semasa seorang wanita hamil, pelbagai perubahan emosi dan fisiologi berlaku di dalam badan wanita itu.
Keadaan ini boleh menyebabkan wanita hamil mengalami perubahan yang agak drastik dan tidak dijangka.
Pada kenyataannya, sebilangan wanita hamil akan mengalami pengalaman kehamilan yang mencabar selama lebih kurang 9 bulan. Sebilangan wanita mengalami alahan yang teruk, ada yang sering mengantuk, dan ada yang mengalami masalah jangkitan, yang membuatkan bakal ibu-ibu risau.
Semua ibu mengandung mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam perjalanan kehamilan mereka. Setiap pengalaman yang dilalui oleh wanita ini membuktikan bahawa wanita mampu menghadapi apa-apa halangan semasa hamil bagi seorang anak di dalam kandungan.
Tempoh kehamilan adalah tempoh di mana kebanyakan ibu mengandung menikmati proses tersebut kerana terdapat pelbagai pengalaman yang tidak boleh didapati ketika tidak hamil. Walaupun tempoh membawa kandungan adalah sementara, tetapi kenangannya tersemat sampai bila-bila.
Ringkasnya, proses kehamilan itu sendiri memberi keseronokan dan kepuasan kepada ibu mengandung sehingga sekiranya diberi peluang untuk mengandung lagi, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang! Berikut adalah 3 pengalaman mengandung yang para ibu pasti tidak dapat lupakan.
1. Merasakan pergerakan bayi di dalam rahim
Ibu-ibu pasti tidak mampu melupakan saat pertama kali mereka merasai sebarang pergerakan di dalam rahim mereka. Walaupun ibu-ibu maklum bahawa pergerakan bayi seperti perbuatan menendang hanya boleh dirasai setelah usia kandungan masuk 16 hingga 25 minggu, tetapi pasti sahaja bakal ibu merasa seronok dengan fenomena tersebut.
Mungkin kadang-kadang flip seorang bayi boleh disalah ertikan hanyalah angin dari dalam perut, namun lama-kelamaan firasat ibu akan segera mengetahui bahawa bayi tersebut sedang membuat dirinya selesa di dalam kandungan.
Bahkan kawasan yang ditendang bayi juga boleh diketahui oleh para ibu kerana mereka yang pertama merasakan gaya aktif si kecil mereka. Pasti pengalaman ini akan dirindui oleh para ibu di luar sana.
2. Mengidam
Pada waktu mengandunglah hanya ibu-ibu boleh merasakan perasaan mengidam yang agak melampau bagi sesetengah orang, tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Hal ini kerana mengidam dikaitkan dengan bawaan anak dalam kandungan dan sinonimnya perlu dipenuhi oleh sang suami.
Walaupun ada yang mengidam benda yang pelik-pelik, namun ibu-ibu sedar hakikatnya bahawa hanya pada tempoh mengandung sahaja mereka boleh makan secara sembarangan. Terutamanya buat para ibu yang mahu diet dan menjaga badan selepas bersalin.
Tidak kurang juga ada yang mengehadkan pemakanan mereka sepanjang tempoh berpantang bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini terjadi pada tubuh badan mereka.
Sewaktu mengidam juga, ibu mengandung akan menerima layanan istimewa daripada insan tersayang! Sebut sahaja apa yang di idamkan, pasti akan cuba dipenuhi oleh semua pihak, sama ada ahli keluarga belah suami atau belah isteri tanpa sebarang bantahan.
Layanan terhadap bakal ibu ini berlipat kali ganda seperti layanan terhadap permaisuri!
3. Wajah memancarkan seri ibu mengandung
Perkara ini hanya boleh dialami oleh ibu mengandung dan sudah pasti ianya sesuatu yang akan dirindui. Seri ibu mengandung menurut American Pregnancy Association, ianya merupakan perubahan secara psikologikal yang dipengaruhi oleh perubahan hormon terhadap ibu mengandung.
Penghasilan darah yang mencapai sehingga 50% penambahan juga merupakan antara sebab mengapa seri mengandung tersebut lebih ketara. Seri ibu mengandung ini merupakan satu fenomena yang pasti dirindui para ibu.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pengalaman mengandung merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Para ibu pasti akan merindukan pengalaman yang mereka alami ketika mengandung semasa mereka sudah melahirkan kelak. Ia adalah pengalaman berharga yang tidak dapat dirasai oleh semua orang dan merupakan pengalaman yang tidak dapat dijual beli.
SUMBER
https://my.theasianparent.com/8-perkara-tentang-mengandung-yang-akan-anda-rindui