Now Reading
3 petua COVID-19 untuk melindungi individu berumur lebih 60 tahun daripada Coronavirus

3 petua COVID-19 untuk melindungi individu berumur lebih 60 tahun daripada Coronavirus

petua lindungi individu 60 tahun ke atas daripada coronavirus

Petua COVID-19 yang perlu diketahui bagi melindungi individu berumur 60 tahun ke atas adalah golongan yang berisiko tinggi bagi COVID-19. Pengacara terkenal di Amerika Syarikat bagi rancangan ‘The Dr Oz Show’, iaitu Dr Oz muncul pada rancangan ‘TODAY’ untuk membincangkan faktor-faktor risiko yang perlu diketahui berkenaan jangkitan coronavirus kepada individu berumur lebih 60 tahun.

Hal ini amat membimbangkan memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa dua kumpulan umur masyarakat yang paling tinggi bagi kes positif COVID-19 adalah mereka dalam golongan umur 26 hingga 30 tahun serta 56 hingga 60 tahun. Bagi golongan yang lebih muda, ia berkemungkinan terjadi kepada pelajar atau mereka yang baru pulang dari luar negara sebelum wabak ini mula merebak dengan luas. Namun, bagi golongan yang lebih berumur, mereka boleh dijangkiti dengan lebih mudah seperti pergi beli barang di kedai, berjumpa dengan rakan dan lain-lain lagi.

Berdasarkan data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Cina menunjukkan bahawa kadar kematian meningkat dua kali ganda bagi setiap dekad selepas umur   60 tahun, iaitu melonjak dari hampir 4% bagi mereka yang berusia 60-an hinggalah  hampir 15% di kalangan individu berusia 80-an.

Jadi, apakah petua COVID-19 yang dicadangkan oleh Dr Oz yang boleh dipraktikkan oleh semua pihak termasuklah kita sebagai rakyat Malaysia?

1. Pertimbangkan faktor risiko anda

Faktor risiko nombor satu dan yang paling menarik adalah penyakit kardiovaskular, iaitu khususnya pengerasan arteri, jantung, atau otak anda. Di samping itu, mereka yang mempunyai hipertensi, diabetes mahupun kanser juga mempunyai risiko tinggi untuk menjangkiti coronavirus dengan lebih mudah.

Malah, golongan yang berisiko ini juga termasuklah sesiapa yang sememangnya mempunyai penyakit kritikal tetapi masih merokok. Tahukah anda bahawa perokok juga lebih berisiko akan penyakit COVID-19 berbanding individu lain? Tidak kiralah jika umur anda masih muda ataupun sudah tua, merokok sememangnya berbahaya serta bukan sahaja meningkatkan risiko anda akan COVID-19 sahaja tetapi banyak lagi penyakit lain.

Jadi, ini adalah alasan yang baik untuk berhenti merokok mahupun menghisap ‘vape’ seperti trend sekarang kerana sekurang-kurangnya anda masih boleh melindungi diri sendiri agar paru-paru anda dapat berfungsi lebih baik. Ini sememangnya adalah petua COVID-19 yang baik dan berguna buat semua orang.

2. Elakkan tempat yang sesak dan ambil langkah berjaga-jaga jika perlu keluar dari rumah

Walaupun golongan muda masih boleh berasa selesa jika harus keluar dari rumah untuk ke tempat kerja (terutama bagi mereka yang berada dalam sektor yang diperlukan untuk bekerja) ataupun untuk membeli barang, lain pula ceritanya bagi golongan yang sudah berumur 60 tahun ke atas. Sebolehnya, golongan ini harus mengelakkan perjalanan apa pun jika boleh serta tempat-tempat sesak kerana kita tidak tahu apa dan siapa yang akan kita temui ketika itu.  

Peraturan “jarak lengan” atau ‘arm-length’ adalah sangat berguna pada ketika ini. Jika anda berada dalam tempat yang sesak, seperti ketika membeli barangan rumah di pasaraya mahupun berada di tempat-tempat awam atas tujuan tertentu seperti di klinik mahupun di bank, pastikan anda berada sejauh jarak satu lengan daripada orang di sebelah anda.  Ini adalah penting bagi mengurangkan risiko penyebaran coronavirus yang tidak diduga. Anda tidak tahu siapa yang berada di situ, mungkin sahaja ada yang telah menjangkiti virus itu tetapi tidak mengetahuinya. Jadi, jangan ambil risiko dan ikuti arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Selain itu, peraturan ini bukan sahaja boleh diguna pakai bagi golongan berisiko seperti mereka berumur 60 tahun ke atas sahaja, tetapi ia adalah nasihat bagi semua individu.

Jika anda sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak COVID-19 ini, anda pasti tahu bahawa golongan kanak-kanak kelihatan agak selamat dan kurang dijangkiti. Malah, kadar kematian di kalangan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun adalah sifar buat ketika ini.

Memandangkan perintah Kawalan Pergerakan diteruskan sehingga 14 April 2020, bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan tinggal bersama datuk dan nenek, pastikan anda tidak membiarkan anak kecil anda bermain terlalu dekat dengan mereka. Ini hanyalah langkah keselamatan paling mudah untuk mengurangkan risiko coronavirus kepada golongan kanak-kanak.

3. Berhati-hati dengan gejala COVID-19

Gejala utama yang hampir dialami oleh semua pesakit positif COVID-19 adalah demam. Kira-kira tiga suku daripada individu terlibat menjadi penat, sementara yang lain juga mengalami batuk kering, masalah gastrousus, seperti cirit-birit, dan loya. Memandangkan golongan individu berumur 60 tahun ke atas mungkin mempunyai sistem imun yang lebih lemah berbanding individu muda, ambillah langkah sewajarnya jika anda jatuh sakit.

Di samping itu, tanpa mengira umur, bangsa, jantina dan aspek-aspek lain, perkara paling penting yang boleh dilakukan semua orang adalah mencuci tangan seberapa kerap yang anda boleh. Selain itu, amalkan ‘social distancing’ jika anda terpaksa keluar atas urusan mustahak. Kekalkan kebersihan yang baik di rumah juga sepanjang masa.

Jika anda mengalami gejala-gejala yang berkenaan dan anda baru pulang dari luar negara mahupun mempunyai hubungan rapat dengan pesakit COVID-19, maklumkan hal itu kepada pusat perubatan terdekat dahulu. Elakkan pergi ke hospital kerana anda mungkin boleh menyebarkan virus itu jika anda memang ternyata sudah dijangkiti. Kuarantinkan diri di rumah dahulu selama 2 minggu dan ikuti arahan yang telah ditetapkan.

SUMBER

https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/coronavirus/coronavirus-caregiving-for-the-elderly

https://www.dw.com/en/risk-factor-age-how-to-protect-the-elderly-from-covid-19/av-53787745

https://www.dw.com/en/risk-factor-age-how-to-protect-the-elderly-from-covid-19/av-53787745

error: Content is protected !!