Agar agar roti atau dikenali juga sebagai puding roti ialah pencuci mulut yang sangat lazat dinikmati terutamanya ketika cuaca panas.
Agar agar roti juga mempunyai pelbagai variasi. Ada yang disajikan dengan susu cair dan ada juga yang disertakan dengan sos kastard.
Rasanya pula manis dan sangat menyegarkan apabila lalu di tekak. Kalau anda teringin pencuci mulut ini, tak perlu susah – susah hati. Mari saya kongsikan 3 resepi agar agar roti yang sedap dan mudah. Guna dua tiga keping roti lebih atas meja pun dah boleh buat tau!
Agar Agar Roti Marble
Bahan – bahan A:
- 1 paket ( 10 gram) serbuk agar
- 125 ml air
- 2 sudu besar (28 gram) mentega
- 90 gram coklat ( dicairkan)
- 2 jenis pewarna (mengikut citarasa)
Bahan – bahan B:
- 4 keping roti putih (dibuang bahagian tepi)
- 190 ml susu sejat
- 2 telur saiz medium
- 100 gram susu pekat
- 1 sudu teh esen vanila
- 100 gram gula kastor / gula pasir
Cara – cara penyediaan:
- Kisar semua bahan – bahan B sehingga halus. Tapis dan ketepikan.
- Campurkan serbuk agar – agar dan air kemudian renehkan dalam mangkuk tahan haba.
- Tapis agar – agar tadi dan masak semula dengan bahan – bahan B yang telah dikisar tadi.
- Tutup api. Asingkan adunan kepada 3 bahagian (dalam resepi ini 1 bahagian mewakili 10 senduk adunan, bergantung kepada saiz senduk yang anda gunakan).
- Masukkan coklat yang telah dicairkan bersama – sama satu bahagian adunan ke dalam satu mangkuk dan kacau. Kemudian, tuang dalam loyang dengan segera.
- Untuk dua bahagian lagi, masukkan pewarna mengikut citarasa anda.
- Tuang setiap warna dalam loyang bermula dari tengah. Warnanya akan mula menyebar.
- Gunakan lidi sate untuk membuat corak marble.
- Sejukkan di dalam peti sejuk selama 4 jam sebelum dihidangkan.
Tips:
- Pastikan proses mencampur coklat yang dicairkan dengan adunan dan menuangnya ke dalam loyang dilakukan dengan cepat kerana adunan cepat set.
- Jika anda ingin agar – agar roti anda lebih manis, tambahkan lagi 20 gram gula.
Agar Agar Roti Coklat
Bahan – bahan:
- 4 keping roti
- 2 biji telur
- 1/2 cawan susu pekat
- 170 ml susu sejat
- 3 1/2 cawan air
- 8 gram serbuk agar – agar
- 1/2 cawan gula (boleh dikurangkan jika mahu, resepi ini hanya menggunakan 1/4 cawan sahaja)
- 2 sudu besar mentega (dicairkan)
- 2 sudu besar serbuk koko
Cara – cara penyediaan:
- Didihkan 3 cawan air, serbuk agar – agar dan gula dalam periuk.
- Kisar roti, telur, susu pekat, susu cair dan 1/2 cawan air sehingga halus.
- Kemudian tuang adunan yang dikisar ke dalam periuk di langkah 1.
- Masukkan mentega dan kacau sehingga adunan mendidih kemudian tutup api/ Tutup api terlebih dahulu kemudian masukkan mentega dan kacau sehingga larut.
- Asingkan 1/2 daripada adunan dan campurkan dengan serbuk koko.
- Tuangkan kedua – dua adunan secara berselang seli sehingga adunan habis. Anda perlu menuang dengan cepat kerana adunan set dengan cepat.
- Setelah selesai, sejukkan dalam peti sejuk.
Agar Agar Roti Zebra dengan Sos
Bahan – bahan Agar Agar Roti:
- 2 paket serbuk agar – agar laici
- 150 gram gula
- 800 ml susu
- 800 ml air
- 200 gram roti (roti kosong atau roti putih)
- 3 helai daun pandan (disimpulkan)
- 3 sudu teh esen vanila
- 3 sudu besar pes coklat
Bahan – bahan sos:
- 400 ml susu
- 4 sudu besar gula atau secukup rasa
- 1 sudu teh esen vanila
- 1 sudu besar tepung jagung/ tepung ubi kayu (campurkan dengan 50 ml air sehingga sebati)
Cara – cara penyediaan agar – agar roti:
- Menggunakan pengisar, kisar roti dengan sedikit air sehingga halus.
- Tuang kisaran dalam periuk atau kuali yang besar. Kemudian masukkan gula, susu, lebihan air, daun pandan dan esen vanila.
- Renehkan sambil kacau adunan dengan menggunakan sudip kayu
(teruskan mengacau semasa proses memasak supaya tiada ketulan di bahagian bawah periuk). - Tutup api dan keluarkan daun pandan.
- Asingkan separuh adunan ke dalam mangkuk bersaiz sederhana dan ketepikan.
- Campurkan pes coklat ke dalam lebihan adunan dalam periuk dan hidupkan semula api.
- Masak adunan dengan api kecil sehingga sebati kemudian tutup api.
- Untuk menghasilkan corak zebra, gunakan sudu besar kemudian ambik 1 sudu adunan putih dan letak di tengah loyang.
- Kemudian letak pula 1 sudu adunan coklat di atas adunan putih tadi. Ulang sehingga adunan habis.
- Setelah itu, sejukkan di dalam peti sejuk semalaman.
Cara – cara penyediaan sos:
- Masukkan susu, gula dan vanila esen ke dalam periuk.
- Kacau sehingga gula larut dan renehkan.
- Masukkan campuran tepung jagung dn kacau selalu sehingga adunan menjadi pekat.
- Pindahkan sos ke dalam mangkuk dan tutup.
- Setelah sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk semalaman.
- Sajikan agar – agar roti yang telah disejukkan dengan sos kastard sejuk.
Kalau nak tukar angin sekali – sekala cara menikmati roti, bolehlah cuba resepi agar – agar ini. Tak salah sesekali berkreatif betul tak? Selain mencuba menu baharu, dapat juga melatih seni kreativiti dalam membentuk corak agar – agar ini. Siapa tahu ada yang berkenan, boleh dijadikan rezeki meniaga bukan? Semoga perkongsian kali ini bermanfaat buat anda!
Sumber:
https://malaysiandelicacies.blogspot.com/2020/01/agar-agar-bread-pudding.html?m=1
http://blessedhomemaker.blogspot.com/2012/03/bread-pudding.html?m=1
https://cookpad.com/my/recipes/11078297-puding-roti-marble
http://izahdaut.blogspot.com/2015/03/puding-agar-agar-roti-marble.html
https://www.wanisukarno.com/2021/01/aneka-resepi-puding-sedap-dan-mudah-untuk-di-cuba.html