Apam polkadot memang beraneka warna dan teksturnya pula sangat lembut, gebu, dan enak jika dijadikan hidangan minum petang.
Rupanya pula yang comel molek pasti membuatkan sesiapa pun tertarik untuk menikmatinya. Kali ini saya sajikan 3 resepi apam polkadot yang sedap dan tentunya mudah untuk dibuat.
Apam polkadot ini mudah sahaja proses pembuatannya, namun jika tidak kena gayanya, teksturnya akan menjadi lembik selepas dimasak. Oleh itu, resipi kali ini saya sediakan lengkap dengan pakej tips untuk memastikan apam polkadot anda sedap dan kekal gebu.
Apam Polkadot Coklat
Bahan-bahan:
- 4 biji telur
- 230 gram gula kastor
- 2 sudu teh ovalet
- 280 gram tepung superfine
- 1 sudu besar tepung jagung
- 1 1/2 sudu teh serbuk double action
- 1 sudu teh esen vanila
- 150 ml susu sejat cair (anda juga boleh mengkombinasikannya dengan susu segar)
- Pewarna (pilihan warna adalah mengikut citarasa anda)
- Inti – Coklat disc/coin ( Cadangan jenama: Caravella Milk Chocolate)
Cara – cara penyediaan:
- Pukul telur, gula dan ovalet sehingga betul – betul kembang. Pukul anggaran 50 minit pada kelajuan nombor 3. Ini untuk memastikan tekstur apam menjadi lembut dan gebu.
- Gabungkan ketiga – tiga bahan kering (tepung superfine, tepung jagung dan serbuk penaik) dan ayakkannya.
- Setelah adunan telur betul – betul kembang, masukkan campuran tepung dan susu secara berselang seli.
- Kemudian masukkan pula esen vanila.
- Asingkan adunan kepada tiga atau empat bahagian dan masukkan pewarna yang disukai.Gunakan beg piping untuk memudahkan kerja – kerja mempaip adunan. Dalam resepi ini beg piping hanya digunakan untuk mempaip adunan yang dijadikan polka dot sahaja.
- Masukkan satu suduh teh adunan ke dalam cawan kertas.
- Letakkan coklat di bahagian tengah dan paipkan lagi adunan di atasnya
- Potong hujung beg piping untuk membuat lubang kecil. Perlahan – lahan paipkan polka dot. Paipkan kombinasi warna mengikut kesukaan anda.
- Panaskan pengukus sehingga air mendidih. Kemudian, perlahankan api dan masukkan cawan kertas ke dalam pengukus. Kukus selama 10 minit.
- Hidangkan setelah siap kukus.
Tips:
- Balut penutup pengukus dengan tuala untuk mengelakkan wap air jatuh ke atas apam.
- Ovalet ialah penstabil makanan yang digunakan untuk membuat kek span. Ia membantu telur agar kembang dengan cepat. Oleh sebab ia berasid, ia membantu telur yang dipukul agar tetap stabil dan tidak kehilangan teksturnya yang berongga dan gebu. Ia menjadikan apam polkadot lebih lembut dan halus.
- Adunan yang betul – betul kembang akan menjadi putih dan tidak jatuh jika diterbalikkan.
- Ambil masa dan jangan tergopoh – gapah ketika mempaip polka dot.
- Pastikan sentiasa pukul adunan terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam cawan kertas.
- Apam akan kembang setelah dimasak, jadi jangan tuang adunan sehingga penuh ke dalam cawan kertas.
- Dengan penambahan inti ke dalam apam dapat menghasilkan apam yang lebih sedap dan membantu membentuk saiz apam menjadi kecil.
- Letakkan cawan kertas ke dalam cawan yang bersaiz kecil untuk mendapatkan bentuk yang cantik.
Apam Polkadot Cinta
Bahan – bahan:
- 3 biji telur ( Gred A )
- 275 gram tepung gandum
- 220 gram gula halus
- 150 gram susu segar/ susu sejat/santan
- 3 sudu teh serbuk penaik
- 1 sudu teh ovalet
- Inti ( beri biru / strawberi / kiwi / mangga)
- Pewarna (mengikut citarasa anda)
Cara – cara penyediaaan:
- Campurkan kesemua bahan – bahan di atas (kecuali inti dan pewarna) dan pukul sehingga kembang dengan kelajuan maksimum.
- Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan masukkan pewarna. Kemudian,gaul adunan dan pewarna sehingga sebati.
- Masukkan adunan ke dalam beg piping untuk memudahkan kerja – kerja mempaip adunan di samping memastikan kerja yang lebih bersih dan kemas.
- Paip adunan ke dalam cawan kertas. Pastikan anda paip hanya suku cawan terlebih dahulu, kemudian letakkan inti di tengah. Setelah itu, litupi inti dengan paipkan lagi adunan ke atasnya.
- Sebelum mengukus, paipkan corak polka dot ke atas apam dengan menggunakan kombinasi warna kesukaan anda.
- Kukus selama 10 – 15 minit sahaja bergantung kepada saiz cawan kertas anda.
Tips:
- Jangan kukus terlalu lama kerana ia akan menyebabkan tekstur apam menjadi kenyal.
- Cucuk apam menggunakan lidi, jika tiada sisa pada lidi tersebut maka apam tersebut telah masak.
- Pukul adunan sehingga betul – betul kembang atau menjadi putih.
Apam Dot Dot Tanpa Ovalet
Sesetengah daripada anda mungkin tidak gemar untuk menggunakan bahan aditif dan pewarna tiruan dalam makanan. Namun, tak perlu rungsing mengidam- idamkan si kecil pemanis mulut ini. Anda masih boleh menikmati apam polkadot dengan sentuhan yang lebih alami dengan menggunakan resepi di bawah.
Bahan – bahan:
- 3 biji telur
- 150 gram gula
- 150 ml susu
- 300 gram tepung
- 3 sudu teh serbuk penaik
- 3 sudu besar serbuk koko
- 12 sudu teh jem kesukaan anda
Cara – cara penyediaan:
- Panaskan pengukus terlebih dahulu. Pukul telur dan gula dengan kelajuan tinggi sehingga saiz adunan berganda, ringan dan gebu.
- Masukkan susu, tepung dan serbuk penaik. Kemudian, gaul sebati.
- Bahagikan adunan kepada dua bahagian dan campurkan serbuk koko ke dalam salah satu bahagian.
- Masukkan adunan putih dan adunan coklat ke dalam dua beg piping. Masukkan cawan kertas ke dalam mana – mana bekas kecil. (Contoh: gelas/ foil/ acuan silikon /mangkuk kecil)
- Masukkan adunan hanya ke paras suku cawan kertas. Kemudian masukkan inti jem dan paipkan lagi adunan ke atasnya.
- Setelah itu, paipkan corak polka dot dengan menggunakan adunan yang berbeza warna.
- Sebelum mengukus pastikan air telah mendidih. Kemudian, kukus apam dengan api yang sederhana – rendah selama 10 – 15 minit.
- Setelah masak, sejukkan di atas rak penyejuk.
Tips:
- Pastikan bekas yang digunakan tahan haba untuk memastikan ia tidak basah atau retak ketika proses mengukus)
- Pastikan keseluruhan adunan hanyalah separas 3/4 cawan kertas sahaja.
Selain dijadikan hidangan minum petang dan snek, apam polkadot juga sesuai untuk dijadikan sebagai hantaran atau hadiah. Hal ini disebabkan, bentuknya yang kecil molek serta beraneka warna dan perisa menghasilkan nilai aestetik yang sesuai dijadikan hadiah.
Oleh itu, apa tunggu lagi? Silalah cuba resepi apam polkadot ini!
Sumber
https://malaysiandelicacies.blogspot.com/2013/04/apam-polkadot.html?m=1
https://qhaizeyqa.wordpress.com/2013/09/01/apam-polkadot-eyqa/
https://larecetadelafelicidad.com/en/2012/10/steam-cupcakes-apam-dot-dot.html
http://gallerymamamimi.blogspot.com/2012/06/rahsia-apam-polkadot-gebusss.html?m=1
https://mas-dapurmas.blogspot.com/2013/03/apam-polkadot-coklat-dan-tips2.html