Now Reading
3 Resepi Kek Belacan dan Panduan Penting Penyediannya

3 Resepi Kek Belacan dan Panduan Penting Penyediannya

kek belacan

Kenapa nama dia kek belacan? Jangan risau, tiada belacan digunakan semasa membuat kek ini. Akan tetapi, warna dan teksturnya seakan-akan belacan.

Dari situlah kek ini mendapat namanya. Rasanya lebih kurang dengan kek-kek yang lain. Diperbuat daripada gula, susu pekat dan serbuk koko. Kek belacan ini tidak berongga tau dan gebu macam tepung kek biasa. Tambahan lagi, kek belacan ini lebih padat dan lembut dari segi tekstur.

Walaupun senarai bahan-bahannya agak panjang, tetapi prosedurnya agak senang. Kalau anda tidak begitu suka makan kek, mungkin anda boleh cuba kek ini kerana ia mempunyai satu rasa yang sedikit berlainan, dan dijamin sedap.

Inilah resepi-resepi bagaimana ingin membuat kek belacan. Selamat mencuba.

KEK BELACAN ORIGINAL

kek belacan original

Bahan-bahan:

  • 10 biji telur
  • 400g mentega
  • 1 tin susu pekat manis (kurangkan kuantiti kalau nak kurang manis)
  • 1 tin kecil seri kaya
  • 2 sudu besar serbuk koko
  • 1 & 1/2 cawan gula (kurangkan kuantiti kalau nak kurang manis)
  • 2 & 1/2 cawan tepung gandum (diayak)
  • 1 cawn Horlicks
  • 1 botol kecil gula hitam (lebih kurang 4 senduk nasi)
  • 2 sudu besar ovalette
  • Sedikit esen vanila

Cara penyediaan:

  1. Pukul mentega dan gula bersama sehingga putih dan masukkan telur satu persatu sehingga kembang.
  2. Masukkan seri kaya dan susu pekat manis diikuti dengan esen vanila dan ovalette. Pukul rata.
  3. Kemudian, masukkan gula hitam, Horlicks, serbuk koko dan juga tepung gandum. Kacau rata.
  4. Tuang adunan ke dalam loyang dan anda boleh samada bakar atau kukus adunan ini. Rasa kek belacan kukus lebih sedap.
  5. Kukus selama 3 ke 4 jam untuk dapatkan kek yang cantik.
  6. Untuk cara bakar pula, bakar selama 1 jam atau bergantung kepada ketuhar di rumah anda.

KEK BELACAN MILO

kek belacan milo

Bahan-bahan:

  • 160z mentega
  • 10 biji telur
  • 1 tin sederhana susu pekat
  • 1 & 1/2 cawan gula halus
  • 1 tin kecil seri kaya
  • 500g milo
  • 4 sudu besar gula hitam
  • 2 cawan tepung gandum

Cara penyediaan:

  1. Pukul gula dan mentega bersama-sama sehingga kembang.
  2. Masukkan kesemua telur satu demi satu sambil mengacau setiap kali telur dimasukkan.
  3. Tuang susu pekat, seri kaya, milo dan gula hitam.
  4. Kemudian, masukkan pula tepung yang sudah diayak sedikit demi sedikit. Gaul rata kesemua bahan atau anda boleh gunakan pengadun berdiri.
  5. Kukus selama 3 ke 4 jam atau sehingga kek masak sempurna.
  6. Resepi ini menggunakan loyang 9” x 9”.

KEK LAPIS CHEESE

kek belacan lapis cheese

Bahan-bahan A lapis belacan:

  • 250g mentega
  • 1/4 cawan gula halus
  • 4 biji telur
  • 3 sudu besar susu pekat
  • 100g tepung gandum
  • 200g Horlicks
  • 50g milo
  • 100g coklat masakan (dicairkan)
  • 1 sudu besar gula hitam
  • Sedikit esen vanila

Bahan-bahan B – lapis lumut:

  • 250 mentega
  • 1/2 cawan gula halus
  • 5 biji telur
  • 2 sudu besar susu pekat
  • 100g tepung gandum
  • 200g Horlicks
  • Sedikit pes pandan
  • Pewarna makanan hijau
  • Esen vanila

Bahan-bahan C – lapis cheese:

  • 250g cream cheese
  • 2 sudu besar mentega
  • 1/2 cawan gula halus
  • 1 biji telur

Cara penyediaan:

  1. Lapisan kek belacan: pertama sekali, anda perlu sediakan bahagian paling bawah iaitu lapis belacan. Pukul mentega bersama dengan gula sehingga ia kembang.
  2. Kemudian, masukkan telur satu persatu. Gaul rata.
  3. Seterusnya, masukkan tepung yang sduah diayak. Gaul rata lagi.
  4. Anda dah boleh masukkan susu pekat, Horlicks dan juga milo. Jangan lupa gaul rata bahan-bahan ni okay.
  5. Akhir sekali, masukkan coklat masakan yang and cairkan tadi, gula hitam dan esen vanila.
  6. Kacau rata adunan pertama ini.
  7. Tuang adunan ke dalam loyang. Bakar lapisan pertama ni pada suhu 150°C selama 10 ke 15 minit. Masa membakar ini bergantung kepada jenis ketuhar anda juga tau.
  8. Sementara lapisan belacan sedang dibakar tu, anda dah boleh sediakan bahagian tengah, lapis lumut.
  9. Lapisan kek lumut: macam awal tadi, pukul mentega dan gula bersama-sama sehingga kembang. Bila dah kembang tu, pecahkan telur ke dalam campuran gula satu demi satu. Kacau rata.
  10. Bezanya pada kali ini, kita kena tambah pes pandan, pewarna makanan hijau dan esen vanila.
  11. Pukul sehingga adunan kembang dan sebati. Bila lapisan bawah tadi sudah masak, tuangkan adunan lapis lumut ini diatasnya. Bakar semula selama 10 ke 15 minit.
  12. Dua lapisan sudah siap, masa untuk siapkan lapisan terakhir pula. Juga dikenali sebagai topping.
  13. Topping cream cheese: yang ini, kena pukul mentega bersama dengan cream cheese.
  14. Kemudian, baru masukkan gula dan telur. Pukul sehingga kesemua bahan tadi kembang dan cantik.
  15. Macam kedua-dua lapisan yang anda buat tadi, tuangkan adunan cream cheese ini di bahagian atas sekai. Kemudian, bakar pada suhu yang sama, waktu yang sama.
  16. Bila sudah siap, sejukkan sepenuhnya di dalam loyang sebelum mula menghidang.

Penting untuk biarkan kek belacan sejuk di dalam loyang sepenuhnya sebelum anda keluarkan ia untuk dapatkan hasil kek yang cantik dan tidak mendap.

Sangat seronok membuat kek belacan ini sebenarnya. Berbanding dengan makanan dibakar yang lain yang sudah biasa anda buat di dapur, anda harus masukkan kek belacan ini dalam senarai membakar anda yang seterusnya.

Buat mereka yang masih baru lagi dalam dunia membakar kek ini, resepi yang mudah dan senang difahami sangatlah membantu permudahkan proses membakar. Daripada penyediaan bahan sehinggalah proses menghidang. Anda akan dapat kek yang lembut dan sedap untuk dimakan.

Sources:

https://dailymakan.com/resepi-kek-belacan-perisa-milo/25219/

https://resepibonda.my/resepi-kek-belacan/

https://kongsiresepi.my/kek/buat-kek-lapis-belacan-lumut-cheese-tak-sangka-mudah-dan-rasa-serious-sedap.html

https://bidadari.my/resepi-kek-belacan/

error: Content is protected !!