Carian lempeng pisang di laman sesawang makin popular akhir-akhir ini. Hal ini mungkin kerana lempeng pisang antara makanan berkhasiat yang ringan dan ringkas untuk disediakan namun kaya dengan rasa lemak pisang.
Lempeng pisang juga merupakan satu lagi resepi yang menggunakan buah-buahan segar sebagai salah satu bahan utama dalam penyediaan. Menarik sangat, kan?
Anda boleh makan lempeng pisang ini dengan coklat cair, parutan kelapa atau makan begitu sahaja. Penyediaannya tidak lama, biasanya mengambil masa 7 minit sahaja bagi satu lempeng untuk dihidang.
Kalori bagi makanan ringan ini hanya 153 kalori bergantung kepada ramuan yang anda gunakan. Bagi orang yang sedang diet, anda boleh mengurangkan sukatan gula atau tidak menggunakan minyak bagi mengurangkan kalori dalam makanan.
Jangan buang masa, mari kita lihat dan cuba 3 resepi lempeng pisang yang cukup sedap seperti kami kongsikan di bawah. Jom lihat resepi-resepinya!
LEMPENG PISANG DENGAN KELAPA PARUT
Bahan-bahan:
- Pisang berangan (4 biji)
- Tepung gandum (1 1/2 cawan)
- Gula (3 sudu besar)
- Garam (sedikit)
- Parut putih (1 cawan)
- Sedikit minyak masak
Kaedah penyediaan:
- Potong pisang dan gaul bersama gula dan garam.
- Kemudian lenyekkan pisang tadi dengan garfu hingga lembut.
- Gaul bersama kelapa dan tepung gandum.
- Panaskan kuali leper dan letakkan sedikit minyak. Tuangkan adunan secara membulat dan tunggu hingga garing baru terbalikkan sebelah lagi.
- Tutup api setelah siap dan sedia untuk dihidang.
LEMPENG PISANG BAKAR ALA KAMPUNG
Bahan-bahan:
- 6 biji pisang berangan
- 1/2 cawan kelapa parut
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- Daun pisang secukupnya
Kaedah penyediaan:
- Lenyekkan pisang dalam mangkuk dan masukkan tepung sedikit demi sedikit.
- Gaul rata dan gaulkan dengan kelapa parut hingga sebati.
- Panaskan kuali leper yang telah dialaskan oleh daun pisang.
- Kemudian letakkan adunan atas daun pisang itu. Tutup atas dengan sehelai daun pisang lagi.
- Pastikan masak garing kedua-dua belah lempeng.
- Tutup api. Sedia dihidang bersama gula perang.
LEMPENG PISANG CHEESE
Bahan-bahan:
- Pisang emas secukupnya
- Sedikit tepung gandum
- Sedikit gula
- Sedikit garam
- Cream cheese
- Air secukupnya
Kaedah penyediaan:
- Adunkan semua bahan hingga sebati.
- Panaskan kuali dan tuang adunan secara membulat.
- Masak hingga keperangan.
- Siap untuk dihidang.
Lempeng pisang sememangnya resepi yang mudah untuk dipelajari. Jadi bagi anak gadis yang baru berjinak di dapur marilah mencuba resepi ringkas dan enak ini.
Makanan ini tidak terhad berbentuk bulat sahaja. Anda boleh menjadi lebih kreatif dengan membuat pelbagai bentuk. Dengan membuat sendiri di rumah anda boleh mengawal sukatan gula dan bahan-bahan yang lain mengikut cita rasa. Selamat mencuba!
Sumber:
1) https://cookpad.com/my/recipes/14136186-lempeng-pisang-kelapa
3) http://fazianbatrisyia.blogspot.com/2014/02/lempeng-pisang-berkejusedap-tau.html