Now Reading
3 Resepi Puding Trifle Yang Mudah dan Sedap

3 Resepi Puding Trifle Yang Mudah dan Sedap

puding trifle

Puding trifle sangat lah mudah untuk dicuba dirumah masa yang diambil untuk menyediakannya juga tidak lama. Sangat sesuai untuk suri rumah yang inginkan menu hidangan yang lazat dan pantas. Rupanya yang berwarna-warni, lapisan demi lapisan pastinya menarik perhatian untuk mencubanya. Rasanya juga sedap dengan gigitan buah di setiap kunyahan.

Kini, terdapat pelbagai resepi puding trifle yang boleh didapati di atas talian. Puding trifle merupakan pencuci mulut yang sangat ringkas dan mudah penyediaannya

Jadi, jom kita lihat 3 resepi puding triffle dalam perkongsian kami kali ini.

RESEPI 1 – PUDING TRIFLE SIMPLE

Bahan-bahan:

  • Kek gulung (boleh gunakan perisa yang anda gemari, pandan /coklat). Jangan potong terlalu tebal.
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin buah-buahan dlm tin (boleh gunakan buahan-buahan segar seperti strawberry, kiwi, mangga)
  • 1 kotak jelly crystal powder (boleh gunakan brand nona)
  • 3 sudu besar tepung kastard
  • 4-5 sudu besar gula

Cara Membuatnya:

  1. Susun kek gulung tadi dalam bekas. Pastikan tiada ruang-ruang. Kalau ada ruang potong lebihan kek dan tamping pada tempat yang berlubang. Seterusnya, tekan-tekan sikit kasi mampat.
  2. Asingkan buah-buahan dalam tin dari airnya. Ambil air buah-buahan tadi dan renjis-renjis di atas kek supaya lembap sedikit.    
  3. Masukkan 1 tin susu cair tadi. Pastu sukat air dalam tin susu tadi. Guna 1 tin air juga. Pastu masukkan gula dan tepung kastard. Guna hand whisk, kacau-kacau hingga semua sebati dan tepung kastard tidak berketul. Pastu baru masakkan atas api yang kecil. Teruskan kacau sehingga ada letupan-letupan kecil. Tutup api.
  4. Kemudian tuang kastard tadi atas kek gulung dan ratakan. Agak-agak kastard dah hampir nak keras, baru susun buah-buahan atas kastard itu. Pastikan tekan-tekan sikit buah-buahan itu supaya nanti bila tuang jelly, buah tidak timbul.
  5. Setelah siap ketepikan semua dan masak jelly. (Boleh tengok cara-cara memasak pada kotak jelly) sebab lain jenama lain sukatan air dia.
  6. Bila jelly sudah masak, tuang jelly ke atas kastard buah-buahan tadi. Tuang dengan perlahan. Lagi elok klau sendukkan sedikit demi sedikit. Apabila sudah siap, simpan di dalam peti sejuk dahulu sebelum dihidang.

RESEPI 2 – PUDING TRIFLE BERKUAH

Bahan-bahan:

  • Kek gulung Swiss Roll secukupnya – dipotong dua
  • 1 tin buah Coktail – ditapis (airnya disimpan, jangan dibuang)
  • 1 kotak Jeli Strawberi Nona
  • 2 tin susu cair
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • 1-2 sudu gula pasir
  • Keju cheddar parut – (ikut suka berapa banyak, mengikut citarasa anda)

Cara Membuatnya:

  1. Aturkan kek gulung swiss roll didalam bekas dan renjis dengan air tapisan buah-buahan coktail itu tadi ke atas kek. Agak-agak kek lembap sedikit. Ketepikan.
  2. Kemudian masak bahan untuk puding. Campurkan susu cair, tepung kastard dan gula pasir. Kacau sehingga rata supaya tidak berketul-ketul.
  3. Panaskan adunan susu tadi diatas api sederhana panas. Kacau sehingga mendidih atau kelihatan pekat sedikit tetapi adunan susu puding ini tidak akan pekat macam puding biasa.
  4. Tutup api dan tuang adunan susu puding keatas potongan kek yang telah direnjis dengan air tapisan buah-buahan cocktail tadi.
  5. Taburkan parutan keju cheddar secukupnya dan lepas itu lapiskan dengan buahan koktail tadi. Ketepikan.
  6. Kemudian masak jelly strawberry (boleh tengok cara-cara memasak pada kotak jelly). Bila Jelly tersebut sudah masak, biarkan sekejap lebih kurang lima minit. Selepas 5 minit barulah tuang Jelly itu ditepi acuan sehingga menutupi keseluruhan buah-buahan koktail tersebut. Tuang sedikit demi sedikit.
  7. Sejukkan didalam peti ais. Bila sejuk hidangkan.

RESEPI 3 – PUDING TRIFLE BANDUNG OREO

Bahan-bahan:

  • 1 pek biskut Oreo (dipatah 4/setiap kepingan)
  • 1 gulung kek (swiss roll perisa coklat marble)
  • 1 liter air (untuk masak agar-agar)
  • 1 pek puding perisa bandung
  • 450 ml air (untuk masak puding)
  • 1 pek agar-agar warna merah
  • 5 sudu gula (untuk masak agar-agar)
  • 3 sudu besar tepung kastad (pilihan jika ingin membuat topping)
  • 1 cawan air (jika masak tepung kastad)
  • 3 sudu gula (untuk masak tepung kastad)

Cara Membuatnya:

  1. Sediakan bahan-bahan yang diperlukan. Tepung kastad (pilihan).
  2. Potongkan kek marble setebal lebih kurang 1cm.
  3. Susun kek swiss roll di dalam bekas. Boleh gunakan acuan puding.
  4. Masakkan serbuk agar-agar bersama air dan gula sehingga mendidih. Kemudian sejukkan seketika. Selepas itu, tuangkan di atas kek marble yang telah disusun awal tadi. Biarkan seketika sehingga agar-agar keras.
  5. Setelah itu sambil tunggu agar-agar keras, patahkan biskut oreo. Kemudian letakkan diatas lapisan agar-agar yang telah keras tadi.
  6. Kemudian masakkan pula serbuk puding perisa bandung sehingga mendidih. Sejukkan seketika dan tuangkan ke acuan puding. Seterusnya sejukkan di dalam peti ais seketika.
  7. Jika ingin membuat topping, boleh masakkan tepung kastad bersama air dan gula sehingga likat, kemudian masukkan dalam piping bag & pipingkan di atas puding sebagai topping.
  8. Sedia untuk dihidang.

Resepi yang kami kongsikan ini sangat mudah. Jika dihidangkan kepada anak-anak, pastinya akan membuka selera lebih-lebih lagi pada cuaca panas. Selamat mencuba!

SUMBER

https://www.resepisenang.com/2017/07/resepi-puding-trifle-sedap-dan-senang.html

http://sharizenkitchen.blogspot.com/2015/09/puding-trifle-berkuah.html

https://cookpad.com/my/recipes/10783495-puding-trifle-bandung-oreo?ref=search&search_term=triffle

error: Content is protected !!