Now Reading
3 Resepi Serawa Durian Yang Enak Dan Lazat

3 Resepi Serawa Durian Yang Enak Dan Lazat

serawa durian

Serawa durian adalah hidangan pencuci mulut yang manis berasaskan durian. Selalunya, serawa durian sangat mudah didapati lebih-lebih lagi pada musim durian di negara kita. Bagi orang berdarah Bugis, serawa durian dipanggil sebagai felofok durian.

Serawa durian sangat sesuai disajikan bersama pulut kukus, roti putih atau juga roti jala. Serawa durian juga sesuai dihidangkan sebagai juadah minum petang seisi keluarga. Bagi penggemar durian, pencuci mulut ini sangat menjadi kegemaran mereka.

Untuk perkongsian resepi kali ini, kami bawakan 3 resipi serawa durian dalam pelbagai variasi untuk dicuba oleh anda sendiri. Apa tunggu lagi, jom kita lihat resepi-resepi yang pasti menambat selera anda.

RESEPI 1 – SERAWA DURIAN BERSAMA PULUT

Bahan-bahan yang diperlukan:

Bahan-bahan serawa durian:

  • 10-15 ulas isi durian, bersama biji
  • 1 mangkuk santan cair
  • 2 helai daun pandan, carik dan simpul
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 1 ketul kecil gula melaka
  • garam secukup rasa
  • 1 mangkuk santan pekat
  • sedikit air, jika perlu

Bahan-bahan pulut kukus:

  • 500 gram pulut
  • 1 cawan santan cair
  • 1/2 sudu kecil garam

Cara-cara penyediaan:

Cara-cara penyediaan untuk serawa durian:

  1. Masukkan ulas durian bersama bijinya, santan cair dan daun pandan di dalam periuk. Masak sehingga isi durian hancur dan menjadi kuah yang pekat sebati.
  2. Masukkan gula pasir, gula melaka dan garam.
  3. Teruskan didih di atas api yang perlahan dan kacau sebati kemudian masukkan pula santan pekat.
  4. Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu pekat.
  5. Angkat dan hidangkan bersama pulut kukus.

Cara-cara penyediaan untuk pulut kukus:

  1. Rendam pulut selama beberapa jam (anggaran 2-3 jam).
  2. Panaskan kukusan dan kukus pulut selama 15-20 minit. Angkat pulut dari kukusan dan masukkan ke dalam mangkuk.
  3. Bancuh santan cair bersama garam.
  4. Tuangkan santan cair kedalam pulut yang panas tadi dan tutup dengan kain. Rehatkan seketika supaya pulut menyerap kuah santan.

TIPS:

  • Jika pulut masih keras selepas anda gaul bersama santan cair, masukkan kembali ke dalam kukusan selama 5 minit, kemudian angkat dan sejukkan.

RESEPI 2 – SERAWA DURIAN PEKAT LIKAT

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 biji durian sederhana
  • Setengah biji kelapa parut
  • Secubit garam
  • 1 setengah sudu gula
  • 2 helai daun pandan

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan sedikit air dalam kelapa. Perah kelapa yang diparut. Perah dulu kelapa sampai keluar santan. Kemudian tapis.
  2. Masukkan durian, santan dan daun pandan dalam periuk. Buka api sederhana dan kacau.
  3. Masukkan secubit garam untuk naikkan lemak dan gula untuk manis.
  4. Terus kacau sampai masak. Isi durian akan lerai dengan sendirinya. Tapi ingat, jangan tinggalkan serawa anda atas api yang menyala.
  5. Setelah serawa masak, hidangkan dan makan bersama roti jala atau roti putih.

RESEPI 3 – SERAWA DURIAN KETAGIH

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 6 ulas durian
  • Santan pekat secukup rasa.
  • 1 sudu besar gula/ gula perang.
  • 1 sudu kecil garam
  • 3 helai daun pandan disimpul rapi
  • 1 cawan air (nak lebih pekat, kurangkan air)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan gula ke dalam air bersama 1 helai daun pandan yang disimpul.
  2. Kemudian, tapis dan masukkan campuran ini ke dalam periuk di atas api kecil.
  3. Masukkan santan pekat, gula, dan secubit garam.
  4. Masukkan baki daun pandan dan 6 ulas durian. Tak perlu asing bijinya.
  5. Kacau perlahan-lahan sehingga mendidih. Pastikan santan tidak berketul dan tidak pecah minyak.
  6. Kacau sehingga isi durian tertanggal daripada biji.
  7. Agak-agak kuah dah pekat mengikut citarasa, angkat dan hidangkan. Jika terlalu pekat, tambahkan air.

Macam mana, menarik bukan resepi serawa durian yang kami kongsikan ni? Teksturnya yang pekat dan likat serta dengan rasanya yang unik membuatkan seakan-akan ketagih teruk untuk tidak mahu berhenti makan. Memang sedap kalau dihidangkan untuk makan petang kan. Jadi, jangan lupa cuba ya!

Sumber:

1) https://resepichenom.com/resepi/serawa-durian-dan-pulut-kukus/show

2) https://www.rasa.my/serawa-durian-pekat-buat-malam-ni-makan-esoknya/

3) https://ohsempoi.com/resipi-serawa-durian-yang-ringkas-dan-sedap/

4) http://nusantaraberarenatimur.blogspot.com/2012/11/durianohhhdurian.html

error: Content is protected !!