Now Reading
3 Sebab Kenapa Seseorang Menjadi Vegan

3 Sebab Kenapa Seseorang Menjadi Vegan

vegan

Banyak alasan mengapa seseorang boleh beralih kepada gaya hidup vegan. Ia bergantung pada pengalaman hidup, minat dan pandangan.

Semua individu (termasuk yang bukan vegan) merasakan bahawa mereka mengetahui sebab individu yang beralih kepada diet vegan atau bagaimana rupa seorang vegan. Tambahan lagi, kita semua terdiri daripada pelbagai kumpulan dan mempunyai sebab tersendiri mengapa ada yang membuat keputusan untuk beralih kepada diet vegan. Berikut adalah 5 sebab umum mengapa individu menjadi vegan:

1. Menjadi vegan bagi kebaikan haiwan

Mencegah eksplotasi haiwan bukan satu-satunya sebab untuk menjadi vegan, namun kebanyakan individu menjadikan alasan ini sebagai faktor utama yang mendorong mereka ke arah gaya hidup baharu ini. Mempunyai perkaitan emosi dengan haiwan boleh menjadi sebahagian daripada faktor ini, manakala ada juga yang percaya bahawa semua makhluk yang hidup seharusnya mempunyai hak bagi kehidupan dan kebebasan.

Jadi, mengelakkan penggunaan produk haiwan adalah salah satu cara yang paling mudah untuk mengatasi isu kekejaman dan eksploitasi terhadap haiwan di mana-mana sahaja.

2. Bagi kebaikan persekitaran/ alam sekitar

Dengan melakukan aktiviti seperti mengitar semula sampah di rumah mahupun berbasikal ke tempat kerja, anda sebenarnya telah mula menjalani kehidupan ke arah persekitaran yang lebihhijau.Salah satu cara yang paling berkesan bagi seseorang untuk mengurangkan jejak karbon mereka adalah dengan mengelakkan semua peroduk haiwan.

Mengapa daging dan produk tenusu tidak baik buat persekitaran?

Pengeluaran daging dan produk haiwan lain meletakkan beban berat terhadap alam sekitar. Ini termasuklah dari segi tanaman dan air yang diperlukan untuk memberi makan kepada haiwan dan juga proses pengangkutan dan proses lain yang terlibat dalam penternakan. Selain itu, kuantiti makanan bijirin bagi tujuan memberi makan kepada haiwan ternakan untuk menghasilkan daging adalah penyumbang penting kepada masalah penebangan hutan, kehilangan habitat dan kepupusan spesies haiwan tertentu.

Sebaliknya, jumlah tanaman dan air yang jauh lebih rendah diperlukan bagi mengekalkan diet vegan. Ini menyebabkan ramai individu mula beralih kepada diet ini kerana ia mudah, menyeronokkan dan merupakan cara paling berkesan bagi mengurangkan impak manusia pada persekitaran.

3. Bagi kebaikan golongan manusia

Sama seperti veganisme yang menjadi pilihan jangka panjang untuk membantu planet kita, kehidupan berasaskan tumbuhan juga adalah satu cara yang berkesan bagi kebanyakan manusia. Diet vegan ini hanya memerlukan satu pertiga daripada tanah yang digunakan untuk menyokong diet berasaskan daging dan produk tenusu. Dengan peningkatan krisis terhadap sumber makanan dan air akibat pelbagai masalah alam sekitar dan sosio-ekonomi, tiada masa tertentu yang ditetapkan untuk mengamalkan cara hidup yang lebih baik.

Mengelakkan produk haiwan bukan sekadar satu cara yang paling mudah untuk mengurangkan krisis makanan dan sumber-sumber lain, malah ia juga merupakan cara paling mudah untuk menentang sistem makanan yang tidak cekap yang telah menjejaskan ramai penduduk miskin di seluruh dunia.

Untuk kesihatan diri

Diet vegan yang dirancang mengikut garis panduan pemakanan yang sihat mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh badan anda. Jadi, diet ini sesuai untuk diamalkan oleh individu daripada setiap peringkat umur. Beberapa kajian berkaitan diet ini juga telah dikatakan boleh memberi kesan positif seperti mengurangkan tekanan darah dan kolesterol, kadar penyakit jantung, kencing manis jenis 2 dan beberapa jenis kanser.

Selain itu, menjadi vegan juga adalah peluang baik bagi mendapatkan pengetahuan yang lebih tentang pemakanan, cara memasak dan cara memperbaiki diet sedia ada. Mendapatkan nutrien daripada makanan berasaskan tumbuhan membolehkan lebih banyak ruang untuk memasukkan makanan sihat seperti bijirin penuh, buah-buahan, kekacang, bijian dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat yang baik dalam diet anda.

Mengapa menjadi vegetarian atau vegan tidak mencukupi?

Penderitaan yang berlaku akibat dari industri tenusu dan telur mungkin kurang diwar-warkan termasuklah nasib haiwan ternakan di kilang. Pengeluaran produk tenusu menyebabkan kematian banyak anak lembu jantan yang tidak berguna dalam pertanian tenusu. Lembu yang tidak matang juga disembelih sekiranya produksi susu mereka tidak cukup mengikut spesifikasi kilang tertentu.

Di samping itu, dalam industri telur, ‘etika’ telur atau telur ‘bebas’ juga melibatkan pembunuhan ayam yang tidak matang secara ‘sia-sia’.

Daging mengikut ‘etika’

Pasti ramai yang mempercayai bahawa daging yang dimakan itu disediakan menurut ‘etika’ yang betul, walhal makanan itu datang daripada sumber haiwan yang perah hidup bahagia dan tidak mengalami sebarang kesulitan sebelum disembelih. Namun, kebenaran yang menyedihkan ini mengatakan sebaliknya. Semua makhluk hidup termasuklah haiwan (walaupun dilabel sebagai ‘bebas’ atau ‘organik’) takut dengan kematian seperti anda semua. Tidak kiralah bagaimana ia dilayan ketika hidup, ia semua mengalami ketakutan yang sama ketika melalui proses sembelihan.

Daging mengikut logik

Ramai individu berpaling pada veganisme kerana gabungan faktor di atas. Mereka beralih kepada gaya hidup baharu ini sebagai satu langkah yang boleh diambil untuk menentang sistem eksploitasi makhluk hidup yang dilembagakan. Golongan ini juga melakukan sesuatu yang positif buat kesihatan, alam sekitar dan hidup dalam cara yang mencerminkan etika masing-masing.

Veganisme dilihat sebagai pilihan yang logik kerana ia memberi kesan yang baik buat diri sendiri, haiwan serta planet. Sekiranya anda menghormati kehidupan, anda tidak perlu secara langsung atau tidak langsung menyumbang pada eksploitasi terhadap kehidupan makhluk hidup yang lain. Sekiranya anda menghargai alam semula jadi, anda seharusnya tidak menyokong industri yang membuat kemusnahan pada dunia ini. Begitu juga sekiranya anda menghargai kewujudan sendiri, anda pasti tidak mahu mengambil produk yang boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan anda.

Ianya adalah sangat mudah bagi memahami logik di sebalik gaya pemakanan vegan ini. Anda tidak memerlukan teori yang panjang, alasan yang rumit mahupun fakta saintifik yang banyak bagi membantu anda melihat veganisme sebagai satu jalan penyelesaian yang boleh membantu planet kita.

Kesimpulan

Ada segelintir masyarakat yang memilih diet berasaskan tumbuhan kerana faktor-faktor seperti di atas dan ada juga yang mengamalkan diet ini hanya kerana mereka tidak suka makanan haiwan dan produk tenusu yang berprotein. Bahkan, ada juga yang memilih gaya pemakanan ini kerana mempunyai alahan terhadap produk-produk sebegini seperti intoleransi laktosa.

Pada akhirnya, anda tidak semestinya memerlukan alasan mengapa anda memilih burger berasaskan tumbuhan berbanding burger biasa. Ia juga tidak mengapa sekiranya anda tidak mahu menerangkan tentang pilihan makanan anda terhadap orang lain jika anda berasa tidak selesa kerana itu adalah pilihan anda sendiri.

SUMBER

https://www.vegansociety.com/go-vegan/why-go-vegan

https://sentientmedia.org/veganism/

https://nutriciously.com/why-go-vegan

error: Content is protected !!