Anda pasti biasa dengar tentang kanser payudara pembunuh nombor 1 golongan ini. Mitos kanser payudara tidak terlepas dari bualan masyarakat.
Mendengarnya sahaja sudah menakutkan, inikan pula mengalaminya sendiri. Namun, kadangkala mitos tentang kanser payudara ini menambahkan lagi ketakutan kita walaupun ia tidak dapat dibuktikan dengan teknologi sains sehingga kini.
Jika anda adalah pengguna laman sosial yang tegar seperti Twitter dan Facebook, pastinya anda sudah terbiasa melihat perbincangan mengenai mitos-mitos penyakit sebegini termasuklah isu kanser payudara.
Jadi, mari kita ketahui beberapa mitos kanser payudara yang masih dipercayai oleh segelintir masyarakat hari ini.
4 Mitos Kanser Payudara
- Memakai bra boleh menyebabkan kanser payudara
Ada pihak yang mengatakan bahawa memakai bra terutamanya bra berwayar boleh menyebabkan kanser payudara. Ia dikatakan boleh menghalang aliran cecair limfa daripada mengalir dengan baik dan justeru menyebabkan cecair terkumpul dalam tisu.
Namun, sehingga kini masih tiada bukti yang boleh mengesahkan perkaitan antara pemakaian bra dan kanser payudara. Ia dipakai untuk memudahkan kita dalam urusan harian. Jika anda berasa bahawa tidak memakainya lebih memudahkan, lakukan sahaja tanpa perlu mengaitkannya dengan mitos orang terdahulu. Anda lebih mengetahui apa yang selesa buat badan anda berbanding orang lain.
- Berubat cara kampung (tradisional) adalah lebih baik
Kadangkala, ada pihak yang tidak mahu mendapatkan rawatan hospital kerana merasakan bahawa rawatan itu akan lebih memudaratkan penyakitnya. Namun, adakah benar rawatan cara kampung itu secara pasti boleh memulihkan keadaan anda?
Ianya tidak salah jika anda mahu mencuba perubatan lain namun janganlah menidakkan rawatan perubatan yang sudah diamalkan sejak bertahun-tahun dahulu. Saban hari, semakin banyak penemuan baharu dibuat berdasarkan kajian pakar perubatan yang mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun. Jadi, pilihlah mana yang terbaik buat anda.
- Memakai deodoran boleh meningkatkan risiko kanser payudara
Memandangkan deodoran dipakai berdekatan dengan kawasan payudara, ada pihak yang menyangka bahawa bahan kandungannya boleh menyebabkan kanser. Walaupun ia mungkin mempunyai sedikit perkaitan berdasarkan kajian-kajian terdahulu, namun menurut laman web ‘National Cancer Institute’, satu kajian pada tahun 2002 menunjukkan bahawa tiada peningkatan risiko kanser payudara pada wanita yang mengamalkan penggunaan deodoran ini. Ini dilakukan berdasarkan temu bual bersama 813 pesakit kanser payudara serta 793 wanita yang tidak mempunyai sebarang sejarah akan kanser ini.
Bahan yang terkandung dalam deodoran hanya menyekat kalenjar peluh dan bukannya nodus limfa seperti yang dikatakan. Walaupun nodus limfa kita mengeluarkan bahan toksin, ia tidak dikeluarkan dengan cara berpeluh. Kebanyakan bahan karsinogen (carcinogen) dikeluarkan melalui hati dan buah pinggang. Anda juga perlu memahami bahawa kanser payudara bermula dari payudara dan merebak ke nodus limfa, bukan sebaliknya seperti yang dinyatakan dalam mitos ini.
- Setiap benjolan pada payudara adalah kanser
Bukan semua benjolan itu adalah kanser kerana ia boleh sahaja menjadi ‘cyst’ atau tumor yang tidak melibatkan kanser. Sekiranya anda berasa seperti ketulan pada payudara, elakkan membuat spekulasi sendiri sehinggalah anda melakukan pemeriksaan lanjut di hospital. Ianya memang betul bahawa benjolan atau ketulan pada payudara adalah tanda-tanda pertama kanser payudara, namun semuanya tidak dapat dibuktikan jika anda berdiam diri sahaja.
Kadangkala, ada juga individu yang tidak menyedari kehadiran benjolan tersebut kerana tanda-tanda kanser mungkin berbeza bagi setiap orang. Walaupun membuat pemeriksaan sendiri secara berkala adalah baik, namun apa salahnya jika anda mendapatkan pemeriksaan yang lebih tepat dengan bantuan pakar perubatan? Inilah gunanya teknologi yang semakin canggih sekarang, iaitu bagi membantu memudahkan urusan manusia.
- Golongan lelaki tidak berisiko mendapat kanser payudara
Ia tidak dinafikan bahawa golongan wanita memang lebih berisiko mendapat penyakit kanser payudara sejak dahulu lagi. Namun, itu tidak bermakna bahawa individu lelaki bebas daripada risiko ini serta merta. Walaupun kes ini jarang berlaku, namun ia masih boleh berlaku.
Masyarakat selalu mengatakan bahawa ianya mustahil buat individu lelaki mendapat kanser payudara hanya kerana mereka tidak memiliki payudara seperti wanita, namun itu tidak tepat. Golongan lelaki masih mempunyai tisu payudara dalam badan mereka. Ini bererti, mereka masih lagi berisiko mendapat kanser payudara walaupun ia hanyalah peratusan yang sangat kecil.
JADI,
Jadi, dapatkan pemeriksaan dengan segera tanpa mengira jantina kerana kanser ini tidak memilih mangsanya begitu sahaja. Tindakan awal yang anda ambil mungkin boleh mengubah keputusan akhir bagi keadaan anda. Ambil berat tentang anggota badan anda sendiri kerana anda lebih arif tentangnya berbanding orang lain.
Selain itu, jika anda tegas tidak mahu menggunakan perubatan hospital, dapatkan pandangan kedua daripada orang lebih pakar dan elakkan membuat keputusan begitu sahaja. Kumpul maklumat berdasarkan risiko baik dan buruknya terlebih dahulu agar anda tidak tersilap langkah.
Hentikan mitos kanser penyakit dan banyakkan membaca tentang penyakit ini dan juga cara mencegah dari penyakit tersebut.
SUMBER
- https://www.breastcancer.org/symptoms/understand_bc/myths-facts
- https://theaidasue.com/2016/02/kesihatan-10-mitos-kanser-payudara-yang-perlu-anda-tahu/
- https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/myths/antiperspirants-fact-sheet
- https://www.cancerwa.asn.au/resources/cancermyths/deodorants-breast-myth/