Now Reading
5 Motivasi Pesakit Kencing Manis Yang Baik

5 Motivasi Pesakit Kencing Manis Yang Baik

Motivasi pesakit kencing manis

Tidak dapat dinafikan, penyakit kencing manis sudah menjadi lambakan di negara kita. Motivasi pesakit kencing manis amat diperlukan.

Penyakit kencing manis sememangnya memerlukan perhatian yang banyak. Anda harus sentiasa mengawal tekanan darah, bersenam dan juga mengambil ubat-ubatan yang disyorkan.

Selain itu, anda juga perlu berjumpa dengan doktor secara berkala dan menjalani ujian darah, di samping menjalani kehidupan harian yang normal.

Tetapi, walaupun anda mengalami cabaran-cabaran seperti itu, terdapat banyak sebab mengapa anda perlu mengawal penyakit diabetes anda! Berikut merupakan beberapa tip bagi meningkatkan motivasi pesakit kencing manis agar anda tidak berasa keseorangan menentang penyakit ini.

Antara Motivasi Pesakit Kencing Manis Adalah:

Fikirkan mengenai perkara yang membuatkan anda berasa gembira.

motivasi pesakit kencing manis

Malah, fikirkan juga apa yang boleh berlaku sekiranya anda berjaya menguruskan penyakit kencing manis anda dengan betul. Anda dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Misalnya, meluangkan masa bersama keluarga dan rakan, menunggang basikal atau bercuti ke destinasi yang anda mahukan. Namun, sekiranya anda tidak mengawal paras gula dalam darah anda, perkara-perkara gembira ini sukar dan tidak boleh lagi dilakukan. Selalunya, apabila jumlah glukosa tidak terkawal, anda akan berasa tidak selesa seperti pening kepala, lesu, cepat marah dan tidak boleh berfikir dengan baik. Ia juga menyebabkan anda menjadi seorang yang negatif. Keadaan itu boleh memberi kesan buruk pada diri anda dan juga yang tersayang. 

Ingatlah bahawa paras gula darah hanyalah angka yang digunakan sebagai maklumat dan bukannya gred pencapaian. 

Anda pasti pernah mengalami saat di mana paras gula dalam darah anda mencecah 282 mg/dl atau 43 mg/dl. Situasi seperti ini boleh menyebabkan anda berasa seperti mendapatkan gred rendah dalam peperiksaan. Ia boleh menjatuhkan motivasi anda kerana tidak mendapat keputusan yang cemerlang sedangkan anda telah berusaha keras untuk mengawal keadaan kencing manis anda. Daripada menyalahkan diri sendiri, adalah lebih baik jika anda menukar gaya pemikiran anda dengan berorientasikan penyelesaian dan proaktif.

Sebagai contoh, selepas menjalani pemeriksaan dan ujian darah di klinik, fikir seperti ini “Paras gula dalam darah saya adalah 185 mg/dl. Jadi, saya perlu berjalan kaki untuk pulang ke rumah,” atau “Paras gula saya adalah 43 mg/dl? Ini adalah terlalu rendah, jadi saya perlu makan sesuatu.”. Apabila paras glukosa anda mencapai sasaran, beri ganjaran pada diri anda. Namun, sekiranya paras glukosa anda tidak mencapai sasaran, salahkan penyakit kencing manis, bukannya diri anda dan berjanji dengan diri sendiri untuk melakukan usaha yang lebih baik esok.

Fikirkan bagaimana individu di sekeliling boleh membantu anda.

Ini terutamanya melibatkan orang tersayang seperti pasangan, keluarga atau rakan-rakan anda. Mereka boleh memberi motivasi kepada anda dalam banyak cara termasuklah: memberi semangat, meraikan kejayaan anda, bersenam bersama-sama, membantu anda membuat pemilihan makanan yang sihat, menjadi pendengar yang baik terhadap masalah anda dan mengingatkan anda untuk mengambil ubat dan membuat ujian gula dalam darah secara berkala.

Walaupun jalinan hubungan seperti ini boleh membantu, mereka juga boleh menjadi ‘polis diabetes’ anda, dengan sentiasa bertanya dan mengambil tahu keadaan serta aktiviti yang anda lakukan (Adakah anda makan makanan sihat hari ini? Berapakah tahap gula darah anda?). Kadangkala, ia juga boleh membuat anda berasa ‘rimas’. Namun begitu, kekalkan fikiran terbuka dan amalkan komunikasi yang terbuka dengan mereka. Anda juga mungkin boleh memberi mereka pemahaman yang jelas mengenai gaya hidup seorang pesakit kencing manis.

Lakukan perkara yang boleh membantu menguruskan penyakit diabetes anda dan kongsikannya dengan orang lain! 

Melakukan aktiviti seperti berbasikal kerana tujuan amal, cabaran 30 hari diet sihat, mengukur paras glukosa selepas setiap hidangan, atau berjalan selama 20 minit sebelum sarapan boleh meningkatkan motivasi anda. Anda juga akan mula menyedari bahawa cara ini memudahkan anda untuk mencapai matlamat sekiranya anda berkongsi mengenainya bersama orang lain. Tidak kiralah sama ada pasangan, keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Pamerkan matlamat anda di cermin bilik tidur anda, atau tandakannya pada kalendar anda. Pendekatan ini adalah berasaskan teori psikologi ‘prinsip konsistensi’ dan manusia dipengaruhi dengannya secara semulajadi. Apabila anda membuat pilihan atau menetapkan pendirian, anda akan menghadapi tekanan peribadi untuk bertindak secara konsisten mengikut pendirian anda. Oleh itu, anda boleh menggunakan prinsip ini secara positif dengan melakukan sesuatu yang memberi manfaat dalam menguruskan penyakit anda.

Pupuk motivasi intrinsik dalam diri. 

Seorang penulis yang bernama Dan Pink telah menulis sebuah buku hebat mengenai motivasi yang digelar ‘Drive’. Dalam bukunya, beliau menyatakan bahawa ganjaran luaran seperti duit bukanlah jenis ganjaran yang bagus. Dalam kes seperti ini, memupuk motivasi intrinsik merupakan kunci utama, iaitu mempunyai autonomi, kemahiran dan tujuan. Prinsip ini adalah penting untuk mengurus penyakit kencing manis anda. Sebagai contoh, sekiranya anda adalah seorang ibu atau bapa, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk memberi anak anda autonomi atau kebebasan dalam mengurus penyakit mereka.

Sebaliknya, jika anda adalah seorang dewasa yang menghidap kencing manis, anda boleh meningkatkan kemahiran anda dengan meraikan kejayaan kecil dan terus bertambah baik secara konsisten. Ini termasuklah menguji paras gula dalam darah lebih kerap dari minggu sebelumnya atau memakan lebih banyak buah dan sayur-sayuran dari semalam. Bagi menggalakkan matlamat pula, anda harus ingat akan semua individu yang ada dalam hidup anda dan bagaimana mereka boleh mendapat manfaat dari penjagaan penyakit kencing manis anda yang baik.

Ingatlah betapa bertuahnya anda.

Bayangkan tempat-tempat di mana penyakit kencing manis jenis 1 disamakan seperti hukuman mati, oleh kerana tempat tinggal mereka mengalami kekurangan bekalan perubatan. Ataupun, jika seseorang hidup selama bertahun lamanya dengan penyakit diabetes jenis 2 tetapi mereka tidak tahu mereka memilikinya. Sedih bukan? Sesungguhnya anda adalah seorang yang bertuah kerana mendapat akses kepada perubatan seperti insulin, dapat memilih makanan sihat malah memiliki kawan dan keluarga untuk menyokong anda. Jadi, bersyukurlah kerana tidak semua pesakit mendapat kelebihan sebegini.

SUMBER

https://www.webmd.com/diabetes/qa/how-can-i-motivate-myself-to-exercise-if-i-have-diabetes

https://www.healthline.com/health/type-2-diabetes/living-better-with-type-2-diabetes/long-term-goals-everyone-with-type-2-diabetes-should-make

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetes/in-depth/diabetes-management/art-20047963

https://www.medicalnewstoday.com/articles/326284

error: Content is protected !!