Now Reading
5 Teknik Mengambil Gambar Hiasan Dalam Rumah

5 Teknik Mengambil Gambar Hiasan Dalam Rumah

gambar

Sesetengah orang pasti memikirkan mengapa perlunya mengambil gambar rumah? Hakikatnya, terdapat banyak permintaan untuk fotografi di harta tanah. Lebih-lebih lagi masa sekarang ini ramai orang atau agensi-agesi yang ingin menjual dan membeli rumah.

Mengambil gambar mungkin kedengaran agak mudah, tetapi ia sebenarnya memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mengahsilkan gambar yang sempurna dan menarik perhatian. Jika anda mahir dalam menangkap gambar, anda pasti akan mendapat keuntungan yang agak besar.

1. Mengambil gambar pada waktu siang

Untuk mendapatkan gambar yang cantik, anda perlu mengambilnya pada waktu siang kerana waktu siang mempunyai cahaya matahari sebagai sumber cahaya terbaik.

Sebelum mengambil gambar, anda perlu memastikan bahawa sudut ruang yang hendak diambil gambar tidak membelakangi tingkap atau pintu gelangsar agar gambar yang diambil tidak menjadi gelap.

Sebagai tambahan, anda boleh menghidupkan semua lampu siling yang ada di ruang tersebut sebagai cahaya tambahan.

2. Menyusun atur perabot

Gambar ruangan yang hendak diambil akan menjadi lebih menarik dan selesa jika anda menyusun atur terlebih dahulu perabot-perabot yang terdapat di ruangan tersebut. Anda juga boleh mengalihkan perabot lain yang tidak diinginkan berada dalam gambar untuk sementara waktu.

Sebagai contoh, jika meja makan berada di tengah ruang dapur, anda boleh mengalihkannya sebentar untuk gambar yang pertama, kemudian meletakkannya semula apabila gambar diambil dari arah lain. Selain itu, anda juga boleh menggunakan teknik mix and match perabot yang ada agar lebih kreatif.

3. Mengambil gambar dari paras mata

Teknik mengambil gambar secara flat lay dan fish eye sememangnya banyak digunakan oleh pengguna media sosial, namun teknik ini tidak sesuai digunakan untuk mengambil gambar hiasan dalaman rumah.

Anda perlu memastikan bahawa gambar yang diambil itu diambil pada paras mata agar anda boleh mendapatkan hasil gambar interior design rumah yang berkualiti.

Selain itu, anda juga boleh mencuba untuk mengambil gambar dari sisi untuk mendapatkan hasil gambar yang lebih artistik. Cara ini juga akan menjadikan ruangan kelihatan lebih luas.

4. Memadankan dengan hiasan dan aksesori

Hasil gambar akan kelihatan lebih menarik jika ruangan rumah tersebut ditambahkan hiasan ataupun askeseori yang sesuai. Sebagai contoh, anda boleh meletakkan cermin besar dengan bingkai unik pada dinding yang kosong ataupun gambar pemandangan.

Selain itu, di tepi sofa anda boleh menambahkan pasu besar dengan ranting kayu atau bunga plastik yang cantik. Ini adalah cara menghias rumah dengan cara ringkas tetapi menarik. Sebagai tambahan, anda juga boleh mempamerkan barang hiasan yang tidak mudah pecah di rak pelbagai guna.

5. Sediakan objek utama dan props mengikut tema

Sebelum mula menangkap gambar, pastikan anda telah sediakan objek utama dan props mengikut tema yang anda pilih. Bagi memastikan gambar anda tidak terlalu padat atau semak, anda tidak memerlukan terlalu banyak props dan hanya memilih yang berkaitan sahaja.

Pastikan kesemua barang dan objek utama sesuai dan menepati tema apabila digabungkan bersama. Sebagai contoh, jika anda ingin mengambil gambar bilik tidur, anda boleh memilih tema bilik tidur yang selesa dan nyaman.

Jadikan katil sebagai objek utama, manakala bantal, guling, dan cadar menjadi props. Dengan pilihan empat atau lima warna sahaja seperti gambar di bawah sudah cukup untuk menjadikan gambar tersebut kelihatan cantik dan menarik.

Kesimpulan

Gambar yang cantik dan menarik sangat penting dalam mempengaruhi orang ramai agar memandang produk kita. Jika gambar yang diambil tidak menarik, orang ramai pastinya akan berpaling daripada kita walaupun hakikatnya produk yang ditawarkan sangat baik.

Oleh itu, kemahiran sangatlah penting untuk menangkap hasil gambar yang menarik. Anda boleh mencuba mengambil gambar rumah anda dengan beberapa tips yang telah dikongsikan. Selamat mencuba!

Sumber:

https://siraplimau.com/tips-ambil-gambar-kaedah-flat-lay/

https://www.enyabdullah.com/2017/10/5-teknik-ambil-gambar-hiasan-dalaman.html

error: Content is protected !!