Limau nipis adalah buah sitrus yang masam, bulat dan berwarna hijau terang. Ia adalah sumber tenaga pemakanan yang tinggi dengan kandungan vitamin C, antioksidan dan nutrien lain.
Selain itu, ia boleh menambah nikmat pada resipi anda dan menjadi hiasan yang menawan bagi minuman anda. Walaupun ia tidak begitu biasa digunakan dalam resipi tradisional di Malaysia, anda mungkin sering menemuinya di resipi atau restoran yang menyajikan makanan Barat.
Seterusnya, limau nipis biasanya tidak mendapat sebegitu banyak perhatian berbanding dengan saudara mereka, lemon. Lemon dan limau bipis adalah jenis buah sitrus yang sama dengan profil pemakanan dan faedah kesihatan yang sangat serupa.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan di antara kedua-duanya. Limau nipis adalah kecil, bulat dan berwarna hijau, sementara lemon biasanya adalah lebih besar, berbentuk bujur dan berwarna kuning cerah.
Sekarang, mari kita bincangkan lebih lanjut mengenai kelebihan limau nipis seperti di bawah.
1. Menjadi sumber antioksidan yang baik
Antioksidan adalah sebatian penting yang melindungi sel terhadap molekul yang disebut sebagai radikal bebas. Jumlah radikal bebas yang tinggi dapat merosakkan sel anda, dan kerosakan ini dikaitkan dengan keadaan kronik seperti penyakit jantung, diabetes dan banyak jenis kanser.
Limau nipis kaya dengan sebatian aktif yang berfungsi sebagai antioksidan dalam tubuh anda, termasuklah flavonoid, limonoid, kaempferol, quercetin dan asid askorbik.
2. Bagus untuk kulit
Kandungan vitamin C dalam limau nipis bukan sahaja boleh melawan penaykit selesema malah ia juga membantu penghasilan kolagen, iaitu protein yang menjadikan kulit, rambut dan kuku anda kuat.
Anda memerlukan kolagen untuk meningkatkan keanjalan kulit dan melicinkan kedutan. Inilah sebabnya mengapa ahli dermatologi menyukai kandungan vitamin C kerana kesan positifnya terhadap pengeluaran kolagen, yang membantu mencegah kulit berkerut dan sering berkurangan gara-gara pendedahan kepada cahaya matahari dan pencemaran.
3. Bermanfaat bagi sistem pencernaan
Karbohidrat dalam limau nipis kebanyakan terhasil dari serat larut dalam bentuk pektin. Serat larut diketahui boleh melambatkan proses pencernaan, yang menjaga kadar gula darah dalam tahap stabil, dan menghalang pertumbuhan tumor kanser usus besar.
Seperti buah sitrus lain, limau nipis juga mengandungi nutrien dalam kulitnya dan minyak yang disebut d-limonene, boleh melegakan gejala gangguan pencernaan dan GERD.
4. Boleh meningkatkan imuniti badan
Limau nipis kaya dengan vitamin C, nutrien yang dapat membantu meningkatkan sistem imun anda. Dalam kajian tabung uji, vitamin C dilihat membantu meningkatkan pengeluaran sel darah putih, yang membantu melindungi tubuh daripada jangkitan dan penyakit.
Dalam kajian manusia pula, pengambilan vitamin C membantu memendekkan tempoh dan keparahan apabila berlakunya selesema.
Malah, kandungan vitamin C juga dapat membantu menyembuhkan luka lebih cepat dengan mengurangkan keradangan dan merangsang pengeluaran kolagen (penting bagi membantu menyembuhkan luka).
5. Memberi perlindungan terhadap pembentukan batu karang
Penyelidikan mengesahkan bahawa asid sitrik dalam buah-buahan seperti limau nipis, lemon, melon dan oren dapat mencegah pembentukan batu karang.
Menurut maklumat oleh National Institutes of Health, pesakit dengan kadar sitrat kencing yang rendah harus disyorkan untuk meningkatkan pengambilan makanan kaya dengan kandungan asid sitrik, seperti lemon dan jus limau.
6. Melawan penyakit bawaan makanan
Satu kajian pada tahun 2017 mendapati bahawa sitrus, jika diambil secara sendiri atau bersama antibiotik, membantu melindungi tubuh daripada Helicobacter pylori, sejenis bakteria yang menyebabkan ulser perut dan kanser, serta keracunan Salmonella.
Selain itu, kajian lain pula mendapati bahawa menambahkan perahan limau nipis ke makanan dan kuah dapat membunuh bakteria Vibrio cholerae, yang menyebabkan penyakit cholera (penyakit yang menyebabkan gejala cirit-birit yang serius).
SUMBER
https://www.healthline.com/nutrition/limes
https://www.swansonvitamins.com/blog/lindsey/9-health-benefits-of-limes-and-lime-water
https://universityhealthnews.com/daily/nutrition/8-amazing-benefits-of-lime