Anda rasa anda mungkin hamil tetapi anda tak tahu apa petanda kehamilan pada peringkat awal? Jangan risau, mari baca artikel ini, kami akan ulas mengenai tanda hamil.
Biasanya, sebagai seorang wanita, anda pastinya bimbang setiap kali terlepas tempoh haid kerana ini mungkin bermakna bahawa anda telah hamil. Namun, betapa benarkah perkara itu? Sebenarnya satu-satunya cara untuk mengetahuinya dengan pasti adalah dengan membuat ujian kehamilan menggunakan kit yang boleh dibeli di farmasi ataupun ujian secara terus di klinik atau hospital.
Walau bagaimanapun, terdapat banyakpetanda kehamilan pada peringkat awal yang mungkin boleh memberikan anda sedikit petanda yang menunjukkan bahawa anda ternyata memang sedang hamil. Namun, tidak semua golongan ibu mengalami tanda-tanda yang sama ketika hamil, dan tahap keparahannya juga mungkin berbeza-beza. Malah, seorang wanita tidak semestinya mengalami simptom yang sama pada kehamilan berikutnya.
Bagi sesetengah wanita, simptom awal kehamilan muncul dalam beberapa minggu pertama selepas kehamilan (conception) seperti:
1. Tompokan darah dan kekejangan
Selepas tempoh subur, telur yang disenyawakan akan melekat pada dinding rahim. Perkara inilah yang boleh menyebabkan salah satu petanda awal kehamilan, iaitu tompokan darah serta kadangkala, kekejangan. Keadaan ini dipanggil sebagai pendarahan implan dan berlaku dalam tempoh enam hingga 12 hari selepas telur disenyawakan. Biasanya, pendarahan ini disalah anggap sebagai haid yang ringan.
Berikut adalah beberapa tanda-tanda pendarahan implan:
- Warna – tompokan ini mungkin berwarna merah jambu, merah atau coklat.
- Pendarahan – pendarahan biasanya dibandingkan dengan tempoh haid yang ringan. Ia selalunya hanya digelar sebagai tompokan apabila terdapat darah yang dilap menggunakan jari mahupun tisu atau kain.
- Sakit – kesakitan mungkin berbentuk ringan, sederhana atau serius. Kebiasaanya, simptom ini hadir sekali dengan tompokan darah dan kekejangan yang berlaku.
- Tempoh – pendarahan implan mungkin berlaku kurang dari tiga hari dan tidak memerlukan sebarang rawatan.
2. Terlepas tempoh haid adalah tanda hamil yang mungkin berlaku
Sekiranya anda berada dalam umur yang subur untuk mengandung dan tarikh permulaan kitaran haid anda yang sepatutnya telah berlalu selama seminggu atau lebih, anda mungkin hamil. Walau bagaimanapun, simptom ini mungkin agak mengelirukan terutamanya bagi mereka yang mengalami tempoh atau kitaran haid yang tidak teratur.
Anda mungkin akan terlepas tempoh haid selepas empat minggu dari tempoh kehamilan. Sekiranya anda mempunyai tempoh haid yang tidak teratur, lakukan ujian kehamilan untuk mengesahkan keadaan ini.
Kebanyakan kit kehamilan yang boleh dilakukan di rumah boleh mengesan hormon hCG seawal lapan hari selepas berlalunya tempoh haid pada bulan itu. Ujian kehamilan sebegini boleh mengesan kadar hCG dalam air kencing anda dan akan menunjukkan keputusan sama ada anda hamil atau tidak. Jika anda ingin mendapatkan kepastian yang lebih lanjut, lakukan ujian di klinik atau hospital yang berdekatan.
3. Keletihan
Keletihan adalah satu lagi tanda hamil pada peringkat awal. Semasa tempoh awal kehamilan, kadar hormon progesteron akan meningkat dengan mendadak. Jika kadar hormon ini terlalu tinggi, ia menyebabkan anda mudah mengantuk dan selalu berasa ingin tidur. Pada masa yang sama, paras gula serta tekanan darah yang rendah dan peningkatan penghasilan darah boleh bergabung untuk mengurangkan tenaga anda semasa kehamilan.
Seorang wanita boleh mula berasa lelah dalam tempoh seminggu kehamilan. Jadi, jika keletihan ini berpunca dari kehamilan, anda harus mendapatkan rehat yang mencukupi dengan kerap. Makan makanan yang kaya dengan protein dan zat besi untuk mengembalikan tenaga anda dan mengimbangi rasa penat tersebut.
4. Payudara yang sensitif dan bengkak mungkin petanda kehamilan
Payudara anda juga merupakan salah satu bahagian badan yang boleh menunujukkan tanda awal kehamilan. Seawal tempoh dua minggu kehamilan, perubahan hormon yang terjadi dalam badan boleh membuatkan payudara anda menjadi sensitif atau sakit. Malah, ia juga boleh menjadi lebih berat dan terasa lebih penuh daripada kebiasaannya.
Namun, perkara lain juga boleh menyebabkan perubahan pada payudara. Sekiranya ia merupakan tanda awal kehamilan, ianya penting untuk anda ketahui bahawa badan anda mungkin akan mengambil masa selama beberapa minggu sebelum dapat menyesuaikan diri dengan perubahan hormon yang berlaku. Setelah itu, kesakitan payudara yang anda alami itu biasanya akan hilang dan sembuh dengan sendiri.
5. Rasa loya
Berasa mual pada waktu pagi atau selalu dikenali sebagai ‘morning sickness’ sebenarnya boleh menyerang pada bila-bila masa tidak kisah siang atau malam. Ia juga merupakan simptom biasa yang terjadi semasa seseorang wanita itu baru hamil. Bagi sesetengah wanita, keadaan ini mula berlaku seawal dua minggu selepas tempoh kehamilan.
Ia juga dikatakan berlaku kerana tahap estrogen yang semakin meningkat. Keadaan ini menyebabkan perut untuk mengosong dengan lebih perlahan. Malah, wanita hamil juga selalunya mempunyai deria bau dan rasa yang lebih sensitif terutamanya pada perkara seperti masakan, makanan, minyak wangi atau asap rokok. Keadaan-keadaan sebegini selalunya boleh mencetuskan rasa tidak selesa dan membuatkan wanita hamil berasa ingin muntah pada satu-satu masa.
Di samping itu, keadaan ini juga biasanya boleh berlangsung sepanjang kehamilan. Namun, mujurlah kebanyakan wanita mengatakan bahawa ia akan mula berkurangan apabila kehamilan mencecah minggu ke-13 atau ke-14.
6. Perubahan emosi secara mendadak petanda kehamilan yang jelas
Hormon yang turun naik dalam badan anda sewaktu tempoh awal kehamilan boleh membuatkan emosi anda menjadi tidak stabil dan anda mungkin mudah menangis. Perubahan penting dalam tahap hormon ini boleh menjejaskan tahap ‘neurotransmitter’ yang merupakan bahan kimia yang menguruskan emosi anda. Malah, ia biasanya berlaku pada trimester pertama kehamilan. Kebanyakan wanita yang hamil pada tempoh ini mengatakan bahawa emosi mereka seperti tidak dapat diduga dan mereka akan sangat terkesan walaupun dengan hal-hal yang remeh.
Sama seperti simptom tidak spesifik yang lain, perubahan emosi ini boleh berlaku disebabkan faktor lain selain kehamilan. Namun, jika perubahan emosi semasa hamil anda sering berlaku dengan dahsyat, pastikan anda memaklumkan hal itu kepada doktor atau pakar perubatan agar mereka boleh mengesyorkan tindakan atau rawatan yang tepat untuk menangani masalah tersebut. Ia tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja kerana bimbang akan mendorong kepada masalah lain seperti kebimbangan atau kemurungan.
SUMBER
https://www.webmd.com/baby/guide/pregnancy-am-i-pregnant#1
https://www.healthline.com/health/pregnancy/early-symptoms-timeline
https://www.medicalnewstoday.com/articles/pregnancy-symptoms-week-1