Now Reading
6 Warna Keputihan dan Maksudnya

6 Warna Keputihan dan Maksudnya

6 Warna Keputihan dan Maksudnya

Keputihan adalah cecair yang dikeluarkan dari kelenjar kecil di dalam faraj dan serviks. Keputihan keluar dari faraj pada setiap hari untuk menghilangkan sel-sel lama dan sebarang kotoran. Tujuannya adalah untuk memastikan faraj dan saluran pembiakan sentiasa bersih dan sihat.

Jumlah Keputihan yang keluar berubah secara signifikan daripada seorang wanita ke wanita yang lain. Selain itu, warna, konsistensi, dan jumlah keputihan juga mungkin berbeza dari hari ke hari bergantung kepada kitaran haid mereka:

  • Hari 1-5. Pada permulaan kitaran, keputihan biasanya berwarna merah atau sedikit berdarah, kerana badan mengeluarkan lapisan uterus.

  • Hari 6-14. Dalam tempoh ini, anda mungkin menyedari pengeluaran cecair yang lebih sedikit daripada biasa. Apabila telur telah mula berkembang dan matang, mukus serviks akan menjadi keruh dan berwarna putih atau kuning. Ia mungkin terasa sedikit melekit.

  • Hari 14-25. Beberapa hari sebelum ovulasi, lendir akan menjadi nipis dan licin, sama dengan konsistensi putih telur. Selepas ovulasi, lendir akan kembali menjadi keruh dengan warna putih atau kuning dan mungkin melekit.

  • Hari 25-28. Lendir serviks akan berkurangan dan anda akan jarang melihatnya sebelum tempoh kitaran haid yang baru.

Merah

Cecair yang berwarna merah boleh mempunyai tona yang berbeza-beza dari cerah ke warna merah gelap. Cecair ini biasanya adalah hasil daripada pendarahan sewaktu haid. Pendarahan haid berlaku secara purata sekitar setiap 28 hari. Walau bagaimanapun, kitaran haid yang normal adalah antara 21 dan 35 hari. Tempoh pendarahan haid ini biasanya berlangsung selama 3-5 hari.

Wanita yang mengalami pendarahan antara tempoh menstruasi hendaklah berjumpa doktor. Terdapat banyak punca pendarahan ‘inter-menstrual’ dan kadangkala ia menandakan keadaan yang serius. 

Manakala, wanita yang telah Menopaus dan tidak mengalami haid selama sekurang-kurangnya 1 tahun pula, perlu berjumpa doktor jika mereka mengalami pendarahan dari faraj secara tiba-tiba. Ia boleh menjadi simptom Kanser Endometrium.

Putih

Keputihan yang berwarna putih boleh terdiri antara warna krim atau kuning cerah. Jika anda tidak mempunyai simptom lain, cecair yang berwarna putih berkemungkinan besar adalah tanda pelincir yang sihat.

Walau bagaimanapun, jika pelepasan putih mempunyai konsistensi seperti keju kotej atau disertai dengan bau yang kuat, ia boleh menunjukkan tanda jangkitan. Anda  perlu berjumpa dengan doktor untuk merawatnya.

Keputihan berwarna putih yang tebal dan berbau kuat biasanya dikaitkan dengan jangkitan yis, yang juga boleh menyebabkan gatal-gatal atau kerengsaan pada bahagian faraj.

Kuning kehijauan

Jika cecair keputihan berwarna sedikit kuning, ia mungkin tidak menunjukkan sebarang masalah kerana warna ini dikaitkan dengan perubahan diet atau makanan tambahan yang diambil.

Namun begitu, cecair yang berwarna kuning gelap, kuning kehijauan, atau hijau biasanya menandakan jangkitan bakteria atau jangkitan seksual. Berjumpalah dengan doktor segera jika pelepasan faraj anda mempunyai tekstur yang tebal, bergumpal, atau mempunyai bau yang busuk.

Merah jambu

Cecair Keputihan boleh juga datang dalam warna merah jambu cerah atau gelap. Ia biasanya mengandungi sedikit darah.

Cecair berwarna merah jambu paling kerap berlaku dan dikesan sebelum tempoh haid. Walau bagaimanapun, ia juga boleh menjadi tanda pendarahan implantasi pada kehamilan awal.

Sesetengah wanita yang mengalami sedikit ‘spotting’ (tompokan cecair pada seluar) selepas ovulasi, juga boleh mengeluarkan cecair berwarna merah jambu.

Selain itu, cecair juga boleh menjadi merah jambu selepas hubungan seksual, sekiranya hubungan seksua; tersebut menyebabkan koyakan kecil atau kerengsaan di dalam faraj atau serviks.

Warna jelas

Cecair Keputihan yang paling biasa adalah jelas atau berwarna putih. Ia mungkin mempunyai tekstur licin atau seperti putih telur. Seseorang wanita mungkin mengalami pelepasan cecair yang lebih jelas dan licin sebelum ovulasi, semasa rangsangan seksual, dan semasa kehamilan.

Kelabu

Cecair yang berwarna kelabu menandakan keadaan faraj yang tidak sihat. Bahkan, ia boleh menjadi simptom jangkitan bakteria umum yang disebut sebagai bakteria vaginosis (BV).

BV juga menyebabkan simptom lain pada faraj, termasuklah:

  • Gatal-gatal
  • Kerengsaan
  • Bau yang kuat
  • Kemerahan di sekitar vulva atau pembukaan faraj

Sekiranya anda mengalami Keputihan yang berwarna kelabu, anda perlu segera berjumpa dengan doktor. Doktor biasanya akan menetapkan antibiotik untuk merawat BV.

Bila anda perlu berjumpa doktor?

Seeloknya, anda perlu bincangkan sebarang perubahan dalam Keputihan anda dengan doktor. Terutamanya jika Keputihan mempunyai bau atau penampilan yang luar biasa. Anda juga harus mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami simptom pada faraj seperti:

  • Gatal-gatal
  • Sakit atau ketidakselesaan
  • Keputihan yang berbuih atau seperti keju kotej
  • Pendarahan antara tempoh haid atau selepas menopaus
  • Pendarahan selepas seks yang kerap
  • Keputihan yang berwarna kelabu, hijau, atau kuning
  • Keputihan mempunyai bau yang kuat
  • Sensasi terbakar ketika membuang air kecil

Untuk mendiagnosis simptom anda, doktor akan melakukan pemeriksaan pelvik terhadap anda. Beliau juga mungkin perlu mengambil contoh cecair Keputihan untuk diuji di makmal.

Sumber

https://www.healthline.com/symptom/vaginal-discharge

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322232

https://www.webmd.com/women/guide/vaginal-discharge-whats-abnormal#1

https://www.mayoclinic.org/symptoms/vaginal-discharge/basics/definition/sym-20050825

error: Content is protected !!