Jika anda adalah penggemar susu, pastinya anda tertarik untuk mencuba pelbagai perisa susu yang ada di pasaran sebelum anda memilih rasa yang sesuai dengan tekak anda. Jadi, apa kata anda cuba susu kurma yang semakin diminati ramai kerana rasanya yang manis dan sangat berkhasiat?
Sekiranya anda belum mencubanya, jom ketahui beberapa fakta menarik tentang susu ini dahulu.
1. Sumber tenaga yang baik
Bagi umat Islam, buah kurma pastinya menjadi satu makanan yang “wajib” terutama ketika sahur dan juga berbuka puasa. Dengan khasiat kurma yang sudah diketahui ramai seperti mengekalkan kadar tenaga yang baik buat badan, justeru itu, susu kurma juga mengandungi kelebihan yang sama. Gabungan susu dan kurma digalakkan terutama bagi mereka yang selalu mengalami masalah gastrik ketika berpuasa mahupun hari-hari lain.
2. Disyorkan buat ibu mengandung
Memandangkan buah kurma dikatakan boleh mengatasi masalah kekurangan darah yang kerap dialami oleh ibu mengandung dan membuatkan mereka cepat berasa lelah dan penat. Justeru itu, susu kurma adalah pilihan yang baik untuk mengatasi masalah tersebut. Malah, khasiat susu iaitu mengandungi kadar kalsium tinggi serta membantu dalam pembentukan tulang sangatlah diperlukan bagi perkembangan bayi yang sihat. Jadi, bagi ibu mengandung yang mahukan sesuatu yang mudah diambil pada bila-bila masa, susu ini adalah pilihan terbaik kerana hadir dalam bentuk cecair yang mudah untuk ditelan.
3. Kaya dengan serat
Pengambilan serat yang mencukupi adalah amat penting bagi membantu proses pencernaan dalam badan kita. Namun, ada segelintir individu yang tidak mendapatkan kadar serat mencukupi kerana tidak menggemari makanan berserat terutamanya sayur-sayuran, jadi susu kurma adalah alternatif yang baik buat golongan sebegini. Kurma sememangnya adalah sumber serat yang baik dan sesuai diambil terutamanya pada waktu sarapan pagi kerana ia jarang memberikan kesan sampingan lain kepada badan. Malah, ia juga dapat mengatasi masalah sembelit dan mencegah keadaan lain seperti cirit-birit atau sakit perut.
4. Bantu badan kekal terhidrat
Jika anda kekurangan cecair dalam badan, cubalah ambil susu kurma memandangkan ia rendah dalam kandungan garam. Jadi, ia membantu mengelakkan badan anda menjadi dehidrasi kerana pengambilan makanan bergaram terutamanya makanan segera. Di samping itu, jika anda sudah biasa minum air kosong untuk kekal sihat, apa kata tukarkannya kepada susu ini sekali sekala untuk mendapatkan manfaatnya yang lebih banyak berbanding air kosong biasa sahaja?
5. Sumber vitamin buat kulit
Walaupun anda boleh mendapatkan vitamin dengan mudah daripada pelbagai sumber seperti buah-buahan, sayur-sayuran mahupun suplemen makanan yang banyak dijual di pasaran, jom lakukan kelainan dan cuba amalkan pengambilan susu kurma pula? Dengan kandungan vitamin C dan vitamin D, ia sememangnya baik dan berfungsi sebagai antioksida untuk melindungi kulit daripada radiasi. Tambahan pula, ia boleh mencegah masalah kulit seperti psoriasis dan kulit kering. Jadi, lepas ini, anda boleh menjaga kulit dengan lebih baik tanpa perlu mengeluarkan duit yang banyak untuk membeli suplemen atau produk kecantikan yang lebih mahal.
6. Bantu cegah kanser
Dengan kandungan antioksida dalam susu kurma, ini menjadikan ia sebagai satu sumber baik untuk mencegah kanser. Namun, susu kurma yang anda ambil haruslah daripada sumber semula jadi yang tidak mengandungi bahan asing yang mungkin mengurangkan atau menghilangkan kandungan berkhasiat daripada buah kurma dan susu itu sendiri. Di samping itu, ia juga kaya dengan nutrisi lain seperti magnesium, kalsium dan juga phosphorus yang boleh memberikan manfaat sama.
7. Tingkatkan kehidupan seksual
Buah kurma kaya dengan kandungan asid amino yang dikatakan boleh membantu dalam hubungan seksual anda. Malah, gabungan susu dan kurma kaya akan kandungan flavonoid yang boleh meningkatkan jumlah sperma dan kesihatannya secara keseluruhan. Justeru itu, ia digalakkan untuk diambil terutama bagi mereka yang mungkin mempunyai masalah seksual seperti jumlah sperma yang sikit, sperma tidak aktif dan sebagainya. Namun, ketahui bahawa ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik buat masalah tersebut kerana ia hanya membantu dari segi kandungan nutrisi yang ada sahaja. Dapatkan nasihat daripada pakar sekiranya masalah anda adalah lebih serius daripada ini.
SUMBER
https://siraplimau.com/cara-buat-jus-kurma-susu-puasa/
https://www.maskulin.com.my/4-khasiat-air-susu-kurma-buat-anda-jejaka-tampan-cara-menyediakannya/
https://herinspirasi.com/dapur-with-love/kebaikan-minum-susu-kurma-yang-perlu-anda-tahu/3/
Tak hanya bantu atasi sembelit, 8 manfaat susu kurma ini tak boleh diabaikan