Air Terjun Kota Tinggi ialah tempat yang wajib anda lawati jika berkunjung ke Kota Tinggi, Johor.
Kawasan ini menyajikan anda panaroma indah alam semulajadi dari dua air terjun dan juga kawasan rumput hijau. Kawasan ini juga mempunyai kolam – kolam semulajadi untuk aktiviti renang.
Air terjun pertama adalah berdekatan dengan pintu masuk manakala air terjun kedua terletak di bahagian atas kawasan rekreasi ini. Anda boleh ke air terjun kedua dengan mengikut laluan bersimen yang telah disediakan.
Walaupun sekarang ini musim PKP, namun tak salah kan kalau anda membuat tinjauan mengenai tempat – tempat menarik di Malaysia. Siapa tahu ada rezeki selepas keadaan pulih sepenuhnya, anda boleh meluangkan masa bercuti bersama – sama keluarga.
Oleh itu, jom kita lihat 8 aktiviti menarik yang boleh dilakukan di air terjun Kota Tinggi.
1. Berkelah
Tak sah kalau ke kawasan air terjun kalau tidak berkelah bukan?
Terdapat kawasan rumput hijau di air terjun Kota Tinggi yang sangat sesuai menjadi tempat perkelahan. Anda boleh menghamparkan tikar dan menikmati bekalan yang di bawa sambil melihat pemandangan indah alam semula jadi.
Jangan lupa ambil gambar juga sebagai kenangan!
2. Mandi Air Terjun
Air terjun Kota Tinggi mengalir turun dari Gunung Muntahak dan airnya sangat dingin. Ketika cuaca panas sudah tentu sangat mengujakan dapat menikmati kesegaran air terjun ini.
Anda boleh memakai pakaian biasa sahaja atau pakaian renang untuk mandi – manda di sini. Lebih menyeronokkan lagi, anda juga boleh menyewa pelampung untuk bermain di dalam air nanti!
Walaubagaimanapun, keselamatan perlu diutamakan. Ketika aktiviti mandi – manda dilakukan anda perlu mengambil perhatian perkara – perkara berikut:
- Jangan terjun ke dalam air terjun kerana dikhuatiri terdapat batu – batu yang boleh menyebabkan kecederaan pada anda.
- Air terjun mungkin berarus deras dan berisiko menghanyutkan anda terutamanya waktu selepas hujan.
- Anda boleh ke kawasan atas air terjun untuk mengambil yang menarik. Namun, Kawasan laluan di situ sempit dan licin. Oleh itu, anda harus berhati -hati.
- Jalan dengan perlahan – lahan di kawasan air yang berbatu kerana kawasan ini sangat licin.
- Jangan minum air terjun.
- Jangan cuba untuk memanjat cerun yang terdapat di air terjun.
3. Bird Watching
Kepada peminat – peminat fauna di habitat semula jadinya inilah peluang terbaik untuk anda!
Air terjun Kota Tinggi merupakan sebahagian daripada hutan hujan tropika di Malaysia. Oleh itu, anda boleh berjalan – jalan sambil menikmati bunyi – bunyian semula jadi yang datang daripada burung yang terdiri dari pelbagai spesis.
Tidak lupa juga anda juga akan ditemani bunyi – bunyian cengkerik yang sangat sinonim dengan kawasan hutan.
4. Jungle Trekking
Siapa yang kaki “ jungle trekking” air terjun Kota Tinggi ialah destinasi seterusnya untu anda terokai!
Anda boleh mencuba mendaki setinggi 634 meter di Gunung Muntahak dan menghabiskan masa lebih kurang 3 jam menikmati panaroma alam yang indah di sana.
Jika anda memilih untuk bermalam di air terjun Kota Tinggi anda juga boleh mencuba aktiviti “Jungle Night Walk” Jangan risau! Kalau tidak pasti akan laluan di sana anda boleh mendapat bantuan pemandu aktiviti di sana.
Anda akan berpeluang untuk memperoleh pengalaman yang sangat unik dengan berjalan – jalan di waktu malam dalam suasana hutan yang hening. Suasananya tentu damai dihiasi hanya bunyi – bunyi haiwan dan ditiup angin sepoi – sepoi bahasa. Sangat jauh bezanya dengan suasana bingit di bandar pesat yang kita lalui setiap hari.
5. Melawat Taman Buaya Teluk Sengat
Di kawasan Air Terjun Kota Tinggi juga terdapat sebuah taman buaya yang dikenali sebagai Taman Buaya Teluk Sengat.
Setelah puas mandi – manda di air terjun, anda boleh menambah lagi pengalaman menarik percutian anda dengan melihat ratusan buaya di taman ini. Anda boleh datang pada waktu makan buaya untuk melihat gelagat dan aksi mereka menikmati makanan yang diberikan oleh penjaga.
Pastikan anda tidak berada terlalu dekat dengan buaya – buaya tersebut dan sentiasa mendengar arahan dari pemandu lawatan.
6. Melawat Firefly Valley Leisure Park
Ketika berada di Air Terjun Kota Tinggi, jangan lepaskan peluang ke Firefly Valley Leisure Park yang terletak tidak terlalu jauh.
Di sini, anda boleh menikmati lampu kunang – kunang yang menghiasi gelap pada malam hari. Jika anda merancang untuk datang ke sini, pilihlah waktu bukan musim monsun. Ini disebabkan, kunang – kunang lebih gemar untuk keluar pada waktu yang kering.
Anda boleh melihat keindahan kunang – kunang sambil menaiki bot (30 minit masa perjalanan) sehingga sampai ke taman.Sebagai pengunjung pastikan telefon bimbit anda dalam mod senyap dan tutup sebarang jenis lampu agar tidak mencetuskan gangguan kepada kunang – kunang.
7. Melawat Dusun Buah – Buahan Desaru
Jika anda sudah di Air Terjun Kota Tinggi jangan lupa ke Dusun Desaru. Dusun ini berkeluasan 100 ekar dengan lebih 100 jenis buahan – buahan tempatan ditanam.
Tanaman di sini ditanam dengan cara pertanian yang terbaik untuk menghasilkan antara buahan – buahan tempatan yang terbaik di Malaysia dan juga di luar negara.
Dusun ini telah menerima anugerah dari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia. Pada masa yang sama, anugerah ini menjadi sebab kukuh untuk anda datang ke dusun ini bagi mempelajari dan menghargai keunikan salah satu warisan pertanian kita iaitu buah – buahan tempatan.
Beruntungkan bercuti di Air Terjun Kota Tinggi! Banyak lokasi menarik lain di sekelilingnya. Jika anda bercuti di sini ibaratnya mendapat satu pakej untuk melawat keunikan variasi flora dan fauna yang berada di selatan tanah air kita ini.
8. Bermalam di Resort
Setelah seharian penat beraktiviti sudah tentu anda perlukan tempat istirahat yang menenangkan. Di air terjun Kota Tinggi anda boleh memilih untuk bermalam di resort yang berdekatan. Antara cadangan resort ialah:
Resort Air Terjun Kota Tinggi
Resort ini menyediakan suasana yang aman dengan persekitaran semulajadi dan bayu tropika yang sangat baik untuk menenangkan minda dan badan. Resort ini juga menyediakan kolam renang dan aktiviti sukan air untuk anda berseronok. Harganya juga berpatutan.
Resort Kota Rainforest
Resort ini direka bentuk dengan reka bentuk tradisional untuk memberikan suasana yang hidup serba ringkas dan mudah . Persekitaran tropikalnya dikelilingi pokok – pokok, gunung – ganang dan sungai – sungai yang indah. Anda juga akan ditemani dengan bunyi – bunyian burung, serangga dan disapa dengan angin sepoi – sepoi bahasa jika anda memilih untuk menginap di sini.
Anda boleh mengunjungi Air Terjun Kota Tinggi dengan menggunakan bas yang sering beroperasi dari Terminal Larkin Johor Bahru ke Kota Tinggi. Anda juga boleh memilih untuk menggunakan kereta untuk ke sana.
Selepas keadaan pandemik pulih, bolehlah anda ke sana! Sambil – sambil bercuti boleh juga menyokong pembangunan industri pelancongan tempatan kita. Sama – sama kita doakan keadaan negara kita semakin baik.
Sumber:
https://www.sgmytaxi.com/kota-tinggi-waterfalls/
https://www.malaysiavacationguide.com/kota-tinggi-waterfalls.html
https://blog.airpaz.com/en/kota-tinggi-waterfalls-malaysia/
https://www.jomjalan.com.my/listing/teluk-sengat-crocodile-world/
https://www.sgmytaxi.com/johor-eco-parks/
https://www.johornow.com/english/firefly-valley-leisure-park-in-kota-tinggi/
https://www.libur.com.my/air-terjun-kota-tinggi-kembali-beroperasi-dengan-harga-tiket-baharu/
https://www.johornow.com/english/kota-rainforest-resort-johor-bahru/
https://www.jomjalan.com.my/listing/air-terjun-kota-tinggi/
https://pxhere.com/en/photo/1376159?utm_content=shareClip&utm_medium=referral&utm_source=pxhere
https://mikebirder.blogspot.com/2019/03/avian-birding-site-panti-forest-reserve.html
.