Cara hilangkan selulit adalah penting bagi anda yang memiliki masalah selulit yang degil dan banyak. Ia bukannya sejenis lemak, jadi mari kita ketepikan mitos itu dahulu.
Selulit merujuk pada penampilan kulit yang berkerut apabila tisu lemak mendorong melalui ‘septae’, iaitu bahagian yang menghubungkan kulit kepada otot.
Ia boleh terbentuk pada paha kerana bahagian ini secara semula jadi mempunyai lebih banyak tisu lemak. Faktor risiko lain yang menyebabkan perkembangan selulit termasuklah:
- umur
- estrogen
- sejarah keluarga
- keradangan tisu
- peningkatan tisu lemak disebabkan oleh kenaikan berat badan
- kehilangan kolagen
- peredaran yang lemah (masalah biasa pada kaki)
- saliran limfa yang teruk
- penipisan epidermis (lapisan luar kulit)
Dari segi kesihatan keseluruhan anda, tidak ada salahnya jika anda mempunyai selulit. Walau bagaimanapun, kebanyakan individu ingin mengurangkan penampakannya kerana ia mungkin mengganggu penampilan anda secara keseluruhan.
Cara Menghilangkan Selulit
Berikut adalah beberapa cara untuk menghilangkan selulit yang dapat membantu mengurangkan penampakannya.
– Urutan
Salah satu cara yang boleh dipercayai adalah urutan. Ini boleh dilakukan di rumah atau dengan bantuan ahli terapi urut yang profesional.
Urutan boleh mengurangkan selulit dengan memperbaiki saliran limfa. Ia juga dapat membantu meregangkan tisu kulit anda serta meregangkan selulit itu sendiri.
Krim urut menawarkan faedah yang sama, tetapi komponen utamanya adalah proses mengurut itu sendiri. Anda tidak boleh menggunakan krim semata-mata dan mengharapkan selulit hilang dengan sendirinya.
Selain itu, ketahuilah bahawa satu sesi urutan sahaja tidak boleh menghilangkan selulit. Anda perlu mengulangi proses urutan secara konsisten untuk mencapai dan mengekalkan hasil yang diingini.
– Peptida kolagen bioaktif
Anda mungkin sudah terbiasa berhati-hati dan berasa was-was dengan janji manis daripada pengeluar suplemen tentang produk mereka yang mampu mengubah badan anda dengan rawatan yang cepat.
Walau bagaimanapun, dalam satu kajian pada tahun 2015, hasilnya menunjukkan bahawa terdapatnya kesan positifyang mengurangkan selulit pada wanita yang mengambil peptida kolagen bioaktif.
Peserta kajian tersebut perlu mengambil suplemen oral setiap hari selama 6 bulan. Secara keseluruhannya, terdapat tanda-tanda penurunan selulit pada paha mereka.
Penambahbaikan dapat dilihat pada wanita yang mempunyai berat badan sederhana serta berat yang lebih tinggi, tetapi mereka yang mempunyai berat badan sederhana mengalami peningkatan yang paling banyak.
Walaupun hasilnya adalah menarik, namun lebih banyak kajian diperlukan untuk menyokong peranan suplemen dalam mengurangkan masalah selulit ini.
– Minum banyak air
Minum air adalah satu lagi pilihan dengan kos rendah yang dapat membantu mengurangkan masalah selulit. Ia bukan sahaja mengekal tahap hidrasi yang baik, tetapi air juga membantu mendorong peredaran dan aliran limfa.
Cara ini adalah lebih mudah untuk diamalkan dan keberkesanannya tidak boleh disangkal kerana badan kita sememangnya memerlukan air yang mencukupi. Jadi, sekarang tiada lagi alasan untuk tidak mengambil air yang mencukupi lagi!
– Pengurangan berat badan
Penurunan berat badan juga dapat membantu beberapa individu dengan masalah berat badan berlebihan dan obes untuk mengurangkan selulit.
Kehilangan lemak badan yang berlebihan secara semula jadi dapat mengurangkan penampakan selulit.
Walau bagaimanapun, sesiapa sahaja boleh mempunyainya walau apa jua berat mereka. Ia tidaklah hanya menjejaskan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes sahaja.
Sekiranya anda ingin menurunkan berat badan atau menguatkan otot, anda mungkin mendapati bahawa diet dan senaman yang sihat dapat membantu mengurangkan selulit pada paha anda.
– Makan lebih banyak serat
Makan lebih banyak serat seperti daripada sumber bijian, buah, dan sayur-sayuran adalah pilihan yang baik, bukannya daripada makanan dengan kadar kalori “kosong”. Karbohidrat sederhana atau “halus” yang terdapat dalam kebanyakan roti, gula-gula dan minuman ringan boleh menambahkan kalori. Ini mendorong kepada pembentukan lemak, terutamanya di kawasan yang mudah mendapat selulit.
– Gunakan krim retinol dalam rutin anda
Apabila anda melihat iklan krim penegang kulit, cari perkataan retinol. Ia tidak akan menyembuhkan selulit kerana tiada yang berkesan. Tetapi, ia dapat meningkatkan penampilan dan tekstur kulit anda. Produk yang mengandungi tahap retinol sebanyak 0.3% adalah yang terbaik. Anda perlu menggunakannya sekurang-kurangnya 6 bulan untuk melihat kesannya. Ia juga seharusnya menebalkan lapisan kulit luaran anda untuk membantu menutupi bahagian yang tidak sekata di bawahnya.
– Memakai stoking sokongan
Stoking sokongan moden bukan lagi seperti bengkung tebal dan kendur yang dipakai oleh nenek anda. Sekiranya anda kerap memakainya, kulit anda akan kelihatan lebih sekata kerana ia membantu mencegah selulit daripada menyimpan cecair. Doktor atau ahli farmasi anda boleh membantu anda memilih jenis yang sesuai dengan keadaan anda.
Tapi, ketahui bahawa proses ini boleh mengambil masa selama setahun atau dua tahun.
– Manjakan diri dengan body wrap
Pergilah ke spa! Body wrap dapat menegangkan dan melicinkan kulit anda untuk sementara waktu. Kesannya bertahan untuk sehari, dan kosnya adalah berbeza-beza. Pembentuk badan atau pembalut elastik yang melilit zon selulit anda mungkin memberikan anda hasil rawatan spa dengan bayaran yang lebih murah.
Pening untuk memilih kaedah yang mana satu? Anda boleh mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar. Anda juga boleh hilangkan selulit dengan cara yang lebih tradisional iaitu melalui senaman dan menjaga pemakanan anda.
Sumber
https://www.webmd.com/beauty/ss/slideshow-cellulite-pictures-causes-myths-and-treatments