Now Reading
8 Faedah Belajar Membaca untuk Anak Anda

8 Faedah Belajar Membaca untuk Anak Anda

belajar membaca

Belajar membaca amat bermanfaat kepada anak – anak dalam membantu perkembangan mental, kemahiran emosi dan sosial mereka.

Ia juga merupakan salah satu kemahiran asas yang wajib dipelajari oleh setiap kanak – kanak hari ini.

Namun, perlukah ia dibiarkan menjadi sebagai kemahiran asas untuk kehidupan semata – mata?

Jawapannya tentulah tidak! Membaca banyak memberi faedah kepada perkembangan anak – anak. Rugilah kalau mereka tidak dipupuk untuk membaca sejak kecil lagi.

Anda juga tentu pernah mendengar bahawa membaca jambatan ilmu. Ayuh saya kongsikan 8 faedah membaca untuk anak anda seperti di bawah.

1. Mengembangkan Kemahiran Komunikasi

Tahukah anda membaca buku ialah kaedah yang terbaik untuk anak – anak mengenali ayat – ayat dan juga perkataan yang baharu dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu.

Dengan memupuk amalan membaca kepada kanak – kanak sejak kecil, anda bukan sahaja membantu mereka mengenali kosa kata baharu dan mendidik mereka untuk menunjukkan cara mempraktikkan kata baharu yang telah dipelajari, malah, anda juga sebenarnya telah membantu mereka untuk meningkatkan kemahiran membaca mereka.

Jadi, apakah kepentingan kemahiran ini?

Dengan kemahiran membaca mereka kemudiannya akan mula menguasai tatabahasa dan tahap pemahaman yang mendalam. Hasilnya, kemahiran – kemahiran ini akan mengembangkan kemahiran komunikasi mereka juga.

Ia merupakan suatu proses pembelajaran yang amat berbaloi pulangannya kepada anak – anak anda!

2. Meningkatkan Fokus

reading triggers curiosity in children

Susah bukan untuk menyuruh anak – anak kecil untuk fokus pada sesuatu? Maklumlah usia mereka masih muda, tak senang duduk nak meneroka sana sini.

Anda sebagai ibu bapa boleh mencuba untuk mendidik anak – anak anda sifat membaca untuk membantu menangani masalah ini.  Soalannya, mengapa ya?

Jadi, anda perlu tahu faedah membaca kepada anak – anak yang satu ini!

Sifat membaca bukan sahaja meningkatkan fokus anak – anak bahkan ia juga membantu mereka untuk fokus ketika melakukan sesuatu perkara pada satu – satu masa.

Pada masa yang sama anda juga perlu membantu mereka menjalani proses latihan ini dengan mematikan telefon atau mengaktifkan mod senyap agar tiada berlaku gangguan.

3. Membina Personaliti yang Baik

Mesti anda pernah mendengar ayat “anda adalah apa yang and baca”?

Melalui pendedahan bahan bacaan yang baik, anda dapat mendidik anak – anak anda menjadi insan yang lebih baik. Ia juga dapat meningkatkan perkembangan emosi, penglibatan sosial,  kesedaran budaya dan kecerdasan industri anak -anak anda.

Seperti yang anda ketahui, buku juga merupakan salah satu kaedah untuk kanak – kanak lebih mengenali diri sendiri dan juga menilai perkembangan peribadi mereka dari semasa ke semasa.

4. Keupayaan Pemahaman yang Lebih Baik

Asian little girl playing jigsaw puzzle with her mother for family concept shallow depth of field select focus on hands

Anak-anak yang dipupuk sifat membaca sejak awal lagi, lebih bijak dalam memahami situasi dan mempunyai keupayaan pemahaman yang lebih baik berbanding mereka yang tidak membaca.

Kelebihan mereka yang membaca ialah mereka dapat memahami situasi yang serius dan menganalisis sebab dan akibat senario secara matang.

Tips untuk anda ibu bapa!

Jika anda ingin mengembangkan kemahiran membaca anak – anak pada peringkat awal,  anda boleh:

  • Membantu mereka untuk membaca dengan kuat
  • Percaya pada proses dalam sebuah pembelajaran dan jangan berkasar pada mereka

Tunjukkan kepada mereka bahawa membaca ialah suatu perkara yang menyeronokkan!

5. Mendidik Anak Mengenai Dunia Sekeliling

Anak – anak kecil boleh diibaratkan seperti span. Peringkat umur ini ialah masa yang terbaik untuk menyerap pelbagai maklumat di sekeliling mereka.

Tapi, takkan kita nak kena bawa mereka mengelilingi dunia baru mereka berpeluang meneroka semua maklumat.

Tak perlu sampai begitu sekali. Berikan mereka buku sahaja untuk mereka belajar membaca.  

Melalui pembacaan, kanak – kanak akan dapat mempelajari dunia sekeliling mereka walaupun di rumah sahaja. Mereka akan dapat mempelajari tentang masyarakat, tempat – tempat dan perkara – perkara yang berlaku di luar pengalaman mereka.

Pembacaan juga akan mendedahkan mereka kepada cara hidup serta kepercayaan dan idea bahawa dunia adalah berbeza daripada apa yang ada di sekeliling mereka.

Proses pembelajaran ini penting tau ibu ayah!

Ia membantu meningkatkan pengetahuan am mereka dan pada masa yang sama juga membantu anak – anak tersebut membaca dengan lebih baik dan yakin.

6. Meningkatkan Daya Imaginasi Anak – Anak

Anak – anak dan imaginasi memang tidak boleh dipisahkan. Daya imaginasi yang baik dapat membantu mereka untuk berkreativiti.

Sebab itu, kalau kita tengok lukisan anak – anak kecil, macam – macam benda baru ada. Semua ini lahir dari imaginasi mereka.

Membaca juga dapat meningkatkan daya imaginasi kanak – kanak. Ketika membaca, otak akan menterjemah perkara yang dibaca kepada imej. Seseorang juga akan menggunakan pengalaman yang dilalui untuk membantu mereka membayangkan jika mereka berada dalam situasi tersebut.

Macam kitalah juga orang dewasa, apabila membaca novel cinta mulalah nak membayangkan suasana romantik di dalam kepala. Silap – silap hanyut dalam angan – angan.

Oleh itu, berilah buku yang baik kepada anak – anak untuk mengembangkan daya imaginasi mereka secara positif. Jangan beri novel cinta pula ya.

7. Memudahkan Penyesuaian Diri di Sekolah

Perasaan takut dalam kalangan anak – anak yang baru hendak mula bersekolah ialah perkara biasa. Hal ini disebabkan mereka masih lagi tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru.

Maklumlah, di sekolah tidak boleh bawa botol susu sambil memeluk bantal busuk.

Bagi membantu mendedahkan mereka dengan dunia persekolahan yang serba baru anda perlu memupuk tabiat membaca dalam kalangan anak – anak sejak awal lagi.

Anak – anak yang belajar membaca dari peringkat awal lebih mudah untuk menyesuaikan diri di sekolah.  Apabila mereka ke sekolah  mereka biasanya akan diberikan buku teks, nota di papan putih dan juga kerja sekolah oleh guru – guru mereka.

Semuanya melibatkan pembacaan. Oleh itu, jika anak – anak sudah sudah mula membaca dari awal, mereka tidak akan mempunyai masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan aktiviti membaca dari sekolah ini.

Tambahan pula, membaca juga dapat membantu mendedahkan mereka tentang apa itu dunia persekolahan. Jadi tiadalah mereka berasa terlalu kekok untuk mula bersekolah.

8. Memupuk Minat yang Positif

Apabila anak – anak semakin membesar mereka akan berhadapan dengan pelbagai perkara yang memerlukan membaca.

Contohnya, menyelesaikan kerja sekolah atau mengulang kaji untuk peperiksaan. Kalau dari awal tidak dipupuk belajar membaca, sudah tentu mereka liat hendak membaca. Ini disebabkan sudah ada minat lain yang memenuhi dada mereka.

Lebih parah lagi,  jika minat itu ke arah gadget dan hiburan semata – mata.

Anak – anak yang dilatih belajar membaca sejak kecil akan membesar menjadi pembaca tegar. Minat mereka akan lebih tertumpu ke arah pembacaan.

Bukankah ia amat berfaedah untuk memiliki hobi positif seperti membaca?

Mereka juga akan lebih mudah untuk fokus kepada aktiviti bacaan yang ada dalam kehidupan seharian mereka.  Jadilah tiadalah berat sangat tulang jika diminta membaca buku.

Banyak sekali kan faedah membaca untuk  perkembangan anak – anak. Oleh itu, jangan lokek untuk meluangkan masa bersama – sama anda untuk mengajar dan mempupuk mereka budaya membaca.

Selain membantu tumbesaran kognitif mereka, anda juga dapat lagi mengeratkan hubungan dengan mereka.

Sumber:

https://www.orchidsinternationalschool.com/blog/teachers-corner/reading-skills-at-an-early-age/

http://www.ces-schools.net/10-benefits-reading-children-adults-read-often/

https://www.getlitt.co/blog/the-importance-of-reading-habit-in-children/

https://www.rd.com/list/how-to-solve-a-jigsaw-puzzle-fast/

https://www.int3tree.my/gunakan-9-tips-mudah-mendidik-anak-untuk-rajin-solat/

https://www.xtra.com.my/featured/anak-kecil-anda-pandai-melukis-menurut-kajian-dia-mungkin-seorang-genius/

error: Content is protected !!