Now Reading
Agar-Agar Santan: Resepi Pencuci Mulut Yang Memikat!

Agar-Agar Santan: Resepi Pencuci Mulut Yang Memikat!

agar-agar santan

Agar-agar santan ini sangat sedap jika dimakan sewaktu sejuk. Pencuci mulut ini mempunyai rasa lemak pada santan dan manis daun pandan mampu memikat cita rasa sesiapa sahaja yang memakannya.

Agar-agar ini hanya memerlukan 20 minit sahaja untuk disiapkan serta prosesnya tidak sesukar pencuci mulut yang lain. Pencuci mulut ini sangat sesuai dihidangkan kepada tetamu atau dijadikan juadah minum petang seisi keluarga.

Santan dan daun pandan merupakan dua bahan utama dalam resipi agar-agar santan ini. Sangat disyorkan untuk disimpan di dalam peti sejuk paling kurang 4 jam sebelum dihidangkan untuk memastikan agar-agar cukup keras untuk dimakan.

Jadi apa tunggu lagi, jom kita lihat resepi agar-agar santan yang mudah dan cepat untuk disediakan ni!

Jumlah Peruntukan Masa:

Masa Penyediaan: 10 minit,

Masa Memasak:10 minit

Jumlah Masa: 20 minit

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 10-12 gram agar-agar
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • 1 biji telur
  • 3 1/2 cawan air
  • 1 1/4 cawan gula
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2-3 helai daun pandan
  • beberapa titik pewarna hijau
  • beberapa titik perasa pandan

Cara-cara penyediaan:

  1. Basuh agar-agar dan masukkan ke dalam periuk bersama air. Jika gunakan agar-agar serbuk, terus tuangkan sahaja.
  2. Masak sehingga mendidih dan agar-agar larut. Masukkan gula, daun pandan, perasa pandan, pewarna hijau, garam dan santan cair. Masak sehingga sebati.
  3. Pukul sedikit telur bersama santan. Tapiskan supaya tiada ketulan apabila masak nanti.
  4. Tuang bancuhan santan dan telur ke dalam agar-agar dan kacau sehingga mendidih selama beberapa minit.
  5. Tuang ke dalam loyang dan sejukkan.

Mudah sangat kan resepi agar-agar santan ni? Sesuai untuk dimakan sebagai pencuci mulut selepas menikmati hidangan tengah hari, atau boleh juga dihidangkan untuk makan petang bersama keluarga tersayang. Apalagi, jom kita bersama-sama cuba resepi pencuci mulut yang ringkas ini. Selamat mencuba!

Sumber:

1) https://resepichenom.com/resepi/agar-agar-santan-pandan/show

2) https://www.rasa.my/cara-masak-agar-agar-santan-pandan-paling-mudah/

error: Content is protected !!