Pengenalan
Air kencing berbuih selalunya merupakan kesan aliran air kencing yang cepat. Walau bagaimanapun, pelbagai keadaan perubatan juga boleh menyebabkan kesan ini. Sekiranya seseorang individu sering melihat air kencingnya seperti berbuih, atau jika terdapat gejala lain, mereka harus berjumpa doktor dengan segera.
Sepatutnya, air kencing yang normal adalah jelas, dengan rona kekuningan tanpa darah atau buih. Namun, individu mungkin berfikir bahawa mereka mempunyai air kencing berbuih kerana adanya gelembung yang dapat dilihat setelah membuang air kecil. Walau bagaimanapun, gelembung adalah lebih besar, jernih dan mudah untuk dipam. Buih sebaliknya adalah berwarna putih, dan kekal di tandas setelah anda pam.
Penerangan
Air kencing boleh berbuih sekali sekala. Ini biasanya terjadi disebabkan kelajuan aliran air kencing. Ia lebih cenderung menjadi tanda penyakit jika masalah ini kerap terjadi atau bertambah buruk dari masa ke masa.
Sekiranya air kencing anda berbuih, ia mungkin berlaku kerana pundi kencing anda sudah penuh dan air kencing yang dikeluarkan adalah cukup deras sehingga boleh mengocok air di dalam tandas. Tetapi, keadaan lain juga boleh menyebabkan kencing berbuih dan ini adalah satu keperluan untuk berjumpa dengan doktor.
Penyebab yang berkemungkinan
Air kencing berbuih adalah tanda terdapatnya protein dalam air kencing, dan ini adalah satu keadaan yang tidak normal. Buah pinggang berfungsi untuk menapis protein, tetapi harus menyimpannya di dalam badan. Sekiranya buah pinggang melepaskan protein ke dalam air kencing, ini bermakna bahawa buah pinggang anda tidak berfungsi dengan baik. Malah, ia mungkin berlaku disebabkan sejumlah penyakit yang mempengaruhi buah pinggang secara langsung, seperti lupus atau diabetes, tetapi boleh juga menjadi gejala masalah perubatan yang mempengaruhi sistem lain di dalam badan.
Kadangkala, air kencing juga boleh berbuih ketika ia menjadi pekat. Air kencing anda adalah lebih pekat jika anda kurang minum air dan anda mengalami dehidrasi. Masalah ini juga dapat menunjukkan bahawa anda mempunyai terlalu banyak protein, seperti albumin dalam air kencing anda. Protein dalam air kencing tersebut bertindak balas dengan udara untuk menghasilkan buih.
Penyebab kencing berbuih yang kurang biasa adalah ejakulasi air mani ke dalam pundi kencing berbanding dilepaskan dari zakar atau dikenali sebagai retrograde ejaculation.
Bila perlu menghubungi doktor
Sekiranya air kencing anda berbuih, pastikan anda melihat jika ada berlakunya gejala lain juga. Gejala-gejala ini boleh menjadi petunjuk bahawa keadaan perubatan inilah yang menyebabkan masalah:
- bengkak di tangan, kaki, wajah dan perut anda serta boleh menjadi petanda pembentukan cecair kerana buah pinggang yang rosak
- keletihan
- kehilangan selera makan
- loya
- muntah
- masalah tidur
- perubahan dalam jumlah air kencing yang anda hasilkan
- air kencing ‘cloudy’
- air kencing berwarna lebih gelap
- jika anda adalah seorang lelaki, klimaks kering atau pengeluaran air mani yang sedikit semasa melakukan hubungan seks
- jika anda adalah seorang lelaki, kemandulan atau mengalami kesukaran untuk menghamilkan pasangan wanita
Apa yang boleh diharapkan di klinik
Doktor mungkin akan mengambil sampel air kencing anda untuk menguji tahap protein dalam air kencing anda. Setiap ujian air kencing, yang diambil dalam jangka masa 24 jam akan membandingkan tahap albumin dengan tahap kreatinin yang merupakan zat yang dihasilkan ketika otot merosot.
Ini dipanggil sebagai nisbah albumin-kreatinin dalam air kencing (UACR). Ia boleh menunjukkan seberapa baik buah pinggang anda menapis darah anda. Sekiranya nilai UACR anda adalah lebih tinggi daripada 30 miligram per gram (mg / g), anda mungkin menghidap penyakit buah pinggang. Selain itu, doktor juga akan melakukan ujian lain untuk memeriksa seberapa baik buah pinggang anda berfungsi.
Sekiranya ejakulasi air mani ke dalam pundi kencing disyaki menjadi penyebab kepada keadaan air kencing berbuih anda, doktor akan memeriksa kehadiran sperma dalam sampel air kencing anda.
Rawatan
Rawatan bagi masalah air kencing berbuih bergantung kepada penyebabnya. Sekiranya seseorang mengalami dehidrasi, mereka harus minum lebih banyak cecair jernih, sehinggalah air kencing mereka berwarna kuning pucat atau hampir jelas.
Sebaliknya, jika diabetes adalah penyebabnya, doktor boleh menetapkan ubat yang diambil secara oral atau suntikan insulin untuk mengurangkan kadar glukosa darah. Individu mungkin perlu memeriksa tahap glukosa darahnya secara berkala untuk memastikan tahap tersebut berada dalam lingkungan yang boleh diterima.
Seterusnya, doktor boleh menetapkan ubat bagi individu dengan penyakit ginjal peringkat awal. Malah, doktor juga boleh mengesyorkan perubahan gaya hidup positif, seperti:
- mengamalkan pemakanan sihat dengan kadar sodium yang rendah
- mengawal tekanan darah tinggi
- menguruskan tahap gula dalam darah
- bersenam secara berkala
- tidak merokok
Individu dengan penyakit ginjal yang serius atau buah pinggang yang tidak berfungsi dengan baik mungkin memerlukan rawatan dialisis. Ini adalah satu prosedur bagi membersihkan darah dari sisa berlebihan.
Bagi rawatan untuk masalah ejakulasi air mani ke dalam pundi kencing, ia mungkin tidak perlu dirawat kecuali jika masalah itu mengganggu anda secara seksual. Doktor boleh merawat keadaan ini dengan penggunaan ubat-ubatan yang diluluskan untuk tetapi doktor boleh juga menutup leher pundi kencing agar air mani tidak dapat masuk ke dalam pundi kencing anda.
Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://healthhearty.com/foamy-urine-causes
SUMBER
https://www.healthline.com/health/foamy-urine#symptoms
https://www.nm.org/healthbeat/healthy-tips/foamy-urine-whats-normal-whats-not