Now Reading
Aktiviti Menarik Yang Anda Boleh Lakukan Di Pantai Batu Buruk

Aktiviti Menarik Yang Anda Boleh Lakukan Di Pantai Batu Buruk

pantai batu buruk

Pernah anda dengar tentang Pantai Batu Buruk? Jika anda seorang yang tinggal di Terengganu, pantai ini pasti tidak asing lagi bagi anda. Pantai ini adalah salah satu kawasan pantai yang cukup terkenal di negeri Kuala Terengganu.

Kawasan pantai ini pasti akan dipenuhi para pengunjung terutama ketika waktu petang dan hujung minggu. Pengunjung yang berasal dari negeri lain juga sanggup datang ke pantai ini dari jauh semata-mata ingin menikmati pemandangan dan suasana angin pantai dari Laut China Selatan. Selain dipenuhi dengan pasir putih, kawasan pantai ini juga turut dihiasi oleh pokok-pokok rhu yang tumbuh subur di sekitar pantai.

Aktiviti Menarik & Tarikan di Pantai Batu Buruk

1. Aktiviti Berkhelah

Kawasan pantai yang sangat lapang, tambahan pula panjang pantai ini adalah sekitar 1-2 km menyebabkan ramai pengunjung yang datang ke sini. Anda masih mempunyai tempat masing-masing bersama keluarga untuk menghamparkan tikar dan berkhelah. Jika anda ingin meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga, pantai ini adalah kawasan yang sesuai untuk anda dan keluarga.

2. Aktiviti bermain layang-layang

Kawasan ini sangat lapang dan berangin. Oleh itu, aktiviti bermain layang-layang sangat seronok dilakukan di pantai ini bersama anak-anak. Pantainya yang bersih dan terjaga sangat selamat untuk kanak-kanak berlari sambil bermain layang-layang dengan penuh keseronokan. Pantai ini kebiasaannya dipenuhi pengunjung pada waktu senja kerana suasana angin pantai yang nyaman dan sejuk sangat sesuai untuk bersantai dan menenangkan fikiran sambil melihat anak-anak bermain.

3. Taman permainan untuk kanak-kanak

Bermain di taman permainan berhampiran pantai pasti akan menggembirakan anak-anak anda bukan? Pada hujung minggu, pantai ini akan dipenuhi ramai pengunjung yang datang untuk menemani anak-anak mereka bermain di taman permainan berdekatan pantai. Sambil bermain di taman permainan, anda juga boleh menikmati pemandangan laut di tepi pantai dan merasai angin pantai yang nyaman dan sejuk.

4. Penginapan Berdekatan Pantai Batu Buruk

Pengunjung yang datang berkunjung dan bercuti di Kuala Terengganu pasti ingin mencari tempat penginapan dan hotel yang berdekatan dengan Pantai Batu Buruk ini supaya mudah datang ke pantai pada bila-bila masa. Jika anda menginap di hotel atau resort di Pantai Batu Buruk ini, anda akan dapat pergi ke tempat lain di Terengganu yang menarik dengan mudah seperti Terengganu Drawbridge, Pasar Kedai Payang, Masjid Terapung Kuala Ibai, Pantai Pandak dan sebagainya kerana jaraknya dekat sahaja.

  • Intan Beach Resort
  • Primula Beach Resort
  • Sumai Hotel Apartment
  • Permai Hotel Kuala Terengganu 

Fasiliti Yang Disediakan Di Pantai Batu Buruk

Kawasan Pantai Batu Buruk adalah pantai yang terkenal di Kuala Terengganu, jadi para pengunjung tidak perlu risau kerana segala fasiliti yang terbaik telah disediakan untuk keselesaan semua orang yang datang.

Berikut adalah beberapa fasiliti yang disediakan di Pantai Batu Buruk:

  • Taman permainan kanak-kanak
  • Gerai makanan
  • Tandas awam
  • Tapak pameran
  • Tempat meletak kereta
  • Tawaran aktiviti ATV, kereta kuda & menunggang kuda
  • Trek jogging

Panduan Untuk Ke Pantai Batu Buruk

dari bandar Kuala Terengganu melalui Jalan Sultan Mahmud, Pantai Batu Buruk hanyalah terletak dalam sekitar 2.5 km atau kurang 10 minit pemanduan sahaja. Manakala dari Kuala Lumpur, anda hanya akan mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk sampai ke pantai ini.

Tarikan Menarik Lain Yang Terletak Di Sekitar Pantai Batu Buruk & Lain-Lain Tarikan Di Sekitar Kuala Terengganu

1. Masjid Tengku Tengah Zaharah

Pernah dengar tentang majid terapung? Ia sebenarnya adalah Masjid Tengku Tengah Zaharah yang terletak di Terengganu. Masjid ini adalah salah satu tempat yang wajib anda kunjungi ketika berada di Terengganu. Sambil pergi ke Pantai Batu Buruk, singgahlah di masjid terapung ini seketika untuk melihat sendiri kecantikan masjid yang terletak di dalam kawasan Taman Awam Lagun Kuala Ibai di atas pelantar yang terapung.

Jika anda hendak tahu, masjid dengan gaya seni bina moden dan Moorish ini sebenarnya adalah hasil cetusan idea mantan Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan diberikan nama sempena bondanya Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja.

2. Pusat Budaya Kraf Terengganu

Dari Pantai Batu Buruk, Pusat Budaya Kraf Terengganu hanya mengambil masa sekitar 10 minit pemanduan untuk sampai. Jika anda ingin mendalami tentang keindahan budaya Terengganu dari segi kraftangan mereka, anda bolehlah datang ke pusat budaya ini bersama ahli keluarga ataupun kawan-kawan anda.

Pameran yang dapat dilihat di tempat ini adalah ukiran kayu, sarong, songket, hasil tembaga, sutera dan banyak lagi. Menariknya lagi, anda bukan sahaja dapat melihat hasil kraftangan mereka yang halus, malah anda juga dapat melihat secara langsung proses pembuatan kraftangan mereka di ruang demostrasi muzium tersebut.

Jadi, sambil pergi ke Pantai Batu Buruk, singgahlah di pusat budaya ini untuk melihat keindahan budaya kraftangan Terengganu.

3. Kompleks Kraf Noor Arfa

Batik sememangnya bukanlah perkara yang asing bagi Terengganu kerana ia sudah cukup terkenal dengan penghasilan batik yang terbaik dan berkualiti. Jika anda seorang peminat batik, di Kompleks Kraf Noor Arfa inilah tempat anda boleh menemui batik yang berkualiti tinggi dan melihat secara langsung proses penghasilan batik dari awal sehingga akhir.

Batik juga merupakan seni warisan bangsa kebangsaan negara, jadi sangat digalakkan untuk membawa anak-anak ke kompleks ini supaya mereka dapat melihat sendiri dan menghargai seni batik yang sebenar. Menariknya lagi, di sini anda berpeluang mencanting batik mengikut kreativiti anda sendiri untuk dibawa pulang dan dijadikan hiasan.

Demikianlah perkara menarik yang anda dapat tahu tentang berada di Pantai Batu Buruk. Selain melakukan aktiviti riadah di kawasan pantai, anda juga dapat melawat tempat-tempat menarik di Terengganu yang berhampiran dengan Pantai Batu Buruk. Jadi, pastikan anda meluangkan masa lapang dan hujung minggu anda di pantai ini bersama ahli keluarga tersayang dan kawan-kawan.

Sumber:

https://terengganu-info.com/pantai-batu-buruk

error: Content is protected !!