Now Reading
Aldosteronisme Utama (Primary Aldosteronism) – Simptom,Punca, Diagnosis dan Rawatan

Aldosteronisme Utama (Primary Aldosteronism) – Simptom,Punca, Diagnosis dan Rawatan

aldosteronisme utama

Aldosteronisme utama adalah sejenis gangguan hormon yang membawa kepada tekanan darah tinggi. Penyakit ini berlaku apabila kelenjar adrenal anda menghasilkan terlalu banyak hormon yang dipanggil aldosteron.

Fungsi kelenjar adrenal adalah untuk menghasilkan sejumlah hormon penting, termasuklah aldosteron. Biasanya aldosteron mengimbangi natrium dan kalium dalam darah anda. Tetapi jika hormon ini terlalu banyak dalam darah, ia boleh menyebabkan badan anda kehilangan kalium dan hanya mengekalkan natrium. Ketidakseimbangan ini menyebabkan tubuh anda menyimpan terlalu banyak air sekaligus meningkatkan jumlah darah dan tekanan darah anda.

Simptom Aldosteronisme Utama

Aldosteronisme utama selalunya tidak menunjukkan simptom yang jelas. Petunjuk pertama bahawa anda mungkin menghidapi aldosteronisme utama biasanya ialah tekanan darah tinggi dan kesukaran untuk mengawal tekanan darah.

Aldosteronisme utama juga boleh menyebabkan tahap kalium dalam tubuh anda menjadi rendah. Sekiranya perkara ini berlaku, anda akan mengalami:

  • Kekejangan otot
  • Badan menjadi lemah
  • Keletihan atau kelesuan
  • Sakit kepala
  • Kerap berasa dahaga yang berlebihan
  • Kerap membuang air kecil

Punca Aldosteronisme Utama

Punca utama yang boleh menyebabkan peningkatan aldosteron adalah:

  • Terdapat ketumbuhan dalam kelenjar adrenal
  • Aktiviti dalam kedua-dua kelenjar adrenal yang terlebih aktif

Punca lain yang jarang berlaku bagi aldosteronisme utama, adalah:

  • Ketumbuhan kanser pada lapisan luar kelenjar adrenal
  • Penyakit diwarisi yang menyebabkan tekanan darah tinggi pada kanak-kanak dan orang dewasa muda

Diagnosis Aldosteronisme utama

Sekiranya doktor anda mengesyaki anda menghidap aldosteronisme utama, anda akan menjalani ujian untuk mengukur tahap aldosteron dan renin dalam darah anda. Renin adalah enzim yang dikeluarkan oleh buah pinggang yang membantu mengawal tekanan darah. Sekiranya paras renin anda sangat rendah dan paras aldosteron anda tinggi, anda mungkin menghidapi aldosteronisme utama.

Ujian tambahan

Jika ujian aldosteron-renin mengesyaki anda menghidap aldosteronisme utama, anda perlu menjalani ujian lain bagi mengesahkan diagnosis dan mencari puncanya. Ujian tersebut termasuklah:

  • Ujian pengambilan garam. Biasanya ia dijalankan dalam bentuk ujian darah atau ujian air kencing. Terdapat beberapa cara untuk melakukan ujian ini. Anda boleh memakan diet sodium tinggi selama beberapa hari atau anda boleh melakukan ‘saline infusion’ selama beberapa jam sebelum doktor anda mengukur tahap aldosteron anda. Anda juga akan diberi fludrocortisone iaitu ubat yang meniru tindakan aldosteron sebagai tambahan kepada diet sodium tinggi sebelum ujian pengambilan garam dijalankan.
  • Imbasan CT abdomen. Pemeriksaan CT boleh mengesan tumor pada kelenjar adrenal atau menunjukkan sebarang ketumbuhan pada kelenjar adrenal dan tahap keaktifannya.
  • Ujian darah urat adrenal. Seorang ahli radiologi akan mengambil darah dari kedua-dua urat adrenal kanan dan kiri dan membandingkan kedua-dua sampel tersebut. Sekiranya hanya satu bahagian mengandungi aldosteron yang lebih tinggi, doktor mungkin mengesyaki terdapat ketumbuhan pada kelenjar adrenal tersebut.
    Tiub akan diletakkan ke dalam vena di pangkal paha anda dan menyalurkannya ke urat adrenal. Ujian ini boleh membawa risiko pendarahan atau darah beku dalam urat anda. Oleh itu, bincang dengan doktor terlebih dahulu bagi pemilihan ujian yang terbaik.

Rawatan Aldosteronisme utama

Rawatan untuk aldosteronisme utama bergantung kepada punca dasarnya. Matlamat asas rawatan aldosteronisme utama adalah untuk memastikan paras aldosteron anda kembali normal atau untuk menghalang aldesteron dari meningkat bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Rawatan bagi tumor kelenjar adrenal

Tumor pada kelenjar adrenal boleh dirawat melalui pembedahan atau ubat-ubatan dan juga perubahan gaya hidup.

  • Pembedahan penyingkiran kelenjar. Pembedahan ini menyingkirkan kelenjar adrenal yang mempunyai tumor (adrenalectomy). Kesan dari pembedahan ini adalah ia mengembalikan tekanan darah anda, kalium serta aldosteron dalam tubuh kepada paras normal. Selepas pembedahan, doktor akan sentiasa memantau keadaan anda dengan teliti. Tujuan pemantauan dilakukan adalah untuk menyesuaikan atau menghapuskan ubat tekanan darah tinggi yang anda perlu ambil, secara beransur-ansur.
    Risiko pembedahan ini termasuklah pendarahan dan jangkitan. Namun, kelenjar yang disingkirkan tidak perlu diganti kerana kelenjar adrenal lain sudah mencukupi untuk menghasilkan semua hormon yang diperlukan oleh tubuh anda.

  • Ubat Aldosteron-blocking. Jika aldosteronisme utama anda disebabkan oleh tumor jinak dan anda tidak boleh menjalani pembedahan atau anda tidak mahu menjalani pembedahan, anda boleh dirawat dengan menggunakan ubat penyekat aldosteron yang dipanggil antagonis reseptor mineralocorticoid (spironolactone dan eplerenone) diiringi perubahan gaya hidup. Namun, anda tidak digalakkan untuk berhenti mengambil ubat yang disyorkan bagi mengelakkan peningkatan tekanan darah dan pengurangan kalium dalam badan anda.

– Rawatan untuk kedua-dua kelenjar adrenal

Gabungan ubat-ubatan dan pengubahsuaian gaya hidup boleh merawat aldosteronisme utama secara efektif.

  • Ubat-ubatan. Antagonis reseptor mineralokortikoid menghalang tindakan aldosteron dalam badan anda. Pada peringkat awal, doktor akan memberi ubat spironolactone (Aldactone) terlebih dahulu. Ubat ini membantu menstabilkan tekanan darah tinggi dan paras kalium tetapi ia juga boleh menyebabkan masalah lain seperti mengganggu aktiviti hormon-hormon lain antaranya adalah pembesaran payudara lelaki (gynecomastia) dan haid yang tidak menentu bagi wanita.

    Manakala, eplerenone (Inspra) iaitu sejenis antagonis reseptor mineralokortikoid yang lebih mahal boleh membantu mengawal kesan sampingan yang dikaitkan dengan spironolactone. Doktor akan mengesyorkan eplerenone jika anda mempunyai kesan sampingan yang serius dengan pengambilan spironolactone. Anda juga mungkin memerlukan ubat tambahan lain untuk mengawal tekanan darah tinggi.

  • Perubahan gaya hidup. Bagi memastikan keadaan anda terkawal, anda harus mengubah diet dan gaya hidup menjadi lebih sihat di samping mengambil ubat tekanan darah tinggi. Rancang diet yang kurang natrium bersama doktor anda dan jaga berat badan yang seimbang. Lakukan senaman secara berkala serta hadkan kadar pengambilan alkohol. Jika anda seorang perokok, anda dinasihatkan untuk berhenti merokok sama sekali.  

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/primary-aldosteronism/symptoms-causes/syc-20351803#:~:text=Primary%20aldosteronism%20(al%2DDOS%2D,of%20essential%20hormones%2C%20including%20aldosterone.

https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/21061-conns-syndrome

https://www.webmd.com/a-to-z-guides/what-is-an-aldosterone-test

https://www.ahajournals.org/doi/10.1161/CIRCULATIONAHA.118.033597

error: Content is protected !!