Now Reading
Anda Pasti Teruja Dengan Satu Pantai di Kelantan Ini

Anda Pasti Teruja Dengan Satu Pantai di Kelantan Ini

Pantai di Kelantan

Terdapat banyak pantai yang boleh kita lawati di dalam negara kita, dan dengan mudah kita boleh senaraikan lebih dari sepuluh pantai yang cantik dan indah. Tetapi pada artikel kali ini saya hendak perkenalkan sebuah pantai di Kelantan yang mungkin tidak pernah kita tahu sebelum ini.

Dipenuhi dengan deretan indah pokok pinus sudah cukup untuk menimbulkan rasa ketenangan pada setiap orang yang berada di Pantai Senok, yang seringkali dijuluki dengan nama ‘Pulau Nami Malaysia’, kerana hampir setanding dengan Pulau Nami sebenar di Korea.

Saya yang tidak pernah mengetahui kewujudannya sebelum ini, berasa bangga dengan keindahan semulajadi pantai di Kelantan ini, dan dikenali dengan meluas di kalangan pelancong tempatan dan asing.

Mengambil peluang untuk bergambar bersama keluarga di sini akan mewujudkan gambar yang cantik dan akan membuatkan anda tersenyum, kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Malah ramai pengantin baru menjadikan pantai ini sebagai latar belakang bagi sesi fotografi perkahwinan mereka.

Aktiviti berkelah, bersantai dengan rakan atau meraikan ulang tahun kelahiran bersama keluarga pasti akan menjadikan peristiwa itu satu pengalaman yang menyeronokan.

Sejarah

Pada asalnya, Jabatan Perhutanan Kelantan telah menanam kira-kira 4,344 batang anak pokok pinus atau nama lainnya casuarina equsetifolia dan kayu putih di sepanjang pantai itu di bawah Program Pemuliharaan Kawasan Pantai bagi mencegah hakisan dan banjir pantai pada tahun 2009.

Bagaimanapun pihak perhutanan telah menambah 400 batang pokok lagi pada bulan Disember 2019, kerana melihat berpotensi menjadi pusat pelancongan utama negeri itu dalam tempoh beberapa tahun mendatang ini.

Oleh kerana pohon pinus dan kayu putih ini tumbuh dengan tinggi dan matang, ini telah memberikan pemandangan yang menakjubkan di Pantai Senok.

Selain pokok pinus dan kayu putih, Pantai Senok juga dihiasi dengan pokok maple di mana daunnya akan berubah warna mengikut musim.

Transformasi

Penduduk Kampung Pantai Senok akui setelah pantai itu diberikan gelaran sebagai Pulau Nami di Korea, perkampungan nelayan itu kini menjadi tarikan utama kepada pelancong yang datang dari pelbagai pelusuk dan latarbelakang, hanya semata-mata untuk merasai sendiri pengalaman menikmati keindahannya.

Transformasi keindahan alam di Pantai Senok ini secara tidak langsung telah membantu penduduk tempatan dengan sumber kehidupan baru. Mereka dapat berniaga dengan menjual makanan dan minuman serta dapat memperkenalkan produk-produk perusahaan kecil dan sederhana mereka kepada pelancong yang berkunjung ke pantai itu.

Antara makanan yang popular di pantai itu adalah maggie telur sotong, maggie ketam, dan mee celup (mee sup Thai).

Peratusan jumlah pelawat ke negeri ini juga masing-masing menunjukkan peningkatan sehingga 92% dan 8% untuk pelancong domestik dan antarabangsa, dengan 4.3 juta pelawat dicatatkan pada tahun 2019 (sebelum Covid-19 merebak), termasuk 300,000 pelancong dari luar negara.

Kerajaan negeri bersama dengan Majlis Daerah Bachok, Kota Pelancongan Islam dan Pejabat Tanah dan Galian Bachok, sering berusaha untuk menarik pelancong melawat ke negeri Kelantan, usaha ini termasuk menyediakan bas di bawah pakej Mari Melawat Kelantan – ‘Mari Dderak Di Klate.’

Bagaimanapun masih terdapat banyak kekurangan kemudahan dan prasarana di Pantai Senok, termasuk surau, tandas, dan air bersih bagi kawasan berhampiran tumpuan pengunjung.

Berbeza di Pulau Nami di Korea, kemudahan yang disediakan adalah lengkap dan teratur. Di sana terdapat laluan pejalan kaki, papan tanda maklumat, perpustakaan, kafeteria, malah mempunyai surau dan restoran halal.

Dengan perbezaan ini di harap ianya mampu untuk menarik perhatian kepada pihak berwajib bagi menambah baik kemudahan yang disediakan pada masa akan datang.

Terdapat juga tarikan lain yang menjadikan pantai ini menarik untuk dikunjungi, di mana anda dapat melihat rumah api terkecil yang terletak di pinggir Pantai Senok di tebing batu. Terdapat juga peninggalan sejarah tempat pendaratan Jepun yang bersempadan dengan Kuala Pak Amat, Sabak, yang dulu merupakan lokasi memancing bagi kaki pancing tempatan.

Pantai Di Kelantan Yang Lain

  • Pantai Melawi

Pantai Melawi juga merupakan tempat yang menarik dan sangat sesuai untuk tenangkan minda. Untuk pengetahuan anda pantai ini antara lokasi pantai yang sangat indah di Malaysia. Namun tidak ramai dikalangan orang tempatan yang pernah menjejakkan kaki ke Pantai Melawi di Kelantan ini. Justeru itu alang-alang ke Kelantan jangan lepaskan peluang untuk berkunjung kesini untuk melihat atau merasai sendiri pengalaman berbeza di Pantai Melawi di Kelantan.

Alamat : Pusat Transformasi Bandar (UTC), Lot 378, Jalan Hamzah, Seksyen 16, 15050 Kota Bharu, Kelantan

  • Pantai Mek Mas

Sebenarnya masih ramai dikalangan rakyat Malaysia yang belum pernah sampai ke Pantai Mek Mas di Kota Bharu Kelantan ini.  April Hingga September antara tempoh yang mungkin terbaik dan paling ramai pelawat datang ke sini kerana ketika masa ini ianya suasana yang mungkin sentiasa baik dan tidak hujan.

  • Pantai Irama

Kalau anda ingin suasana meriah ketika meluangkan masa bersama keluarga Pantai Irama adalah yang terbaik. Pada hujung minggu masyarakat setempat sering menjadikan Pantai Irama sebagai tempat beriadah dan sering dijadikan sebagai tempat pesta dan acara keramaian. Keindahan yang ada pada pantai ini pastinya tidak akan merugikan anda.

Dipantai ini sesuai untuk mandi dan juga bermain atau mengadakan aktiviti yang bersesuaian. Pantainya yang cantik serta air laut yang membiru amat memikat hati dan sungguh menakjubkan seluas mata yang memandang.

Alamat : Bachok, 16300, Kelantan, Kelantan.

  • Pantai Bisikan Bayu

Pada sekitar tahun lepas Majlis Daerah Pasir Puteh MDPP telah melakukan beberapa penambahbaikan di Pantai Bisikan Bayu. Pihak berkuasa tempatan iaitu pihak MDPP telah menyediakan kemudahan baharu seperti taman permainan untuk kanak-kanak, pondok rehat bagi orang awam beristirehat, lukisan mural bagi mengindahkan lagi kawasan tersebut dan yang paling utama tahap kebersihan semakin baik.

Antara aktiviti dan kemudahan permainan lain yang boleh di dapati di Pantai Bisikan Bayu adalah seperti kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV), aktiviti berkuda dan gerai-gerai jualan sekali gus mengembalikan semula imej kawasan ini yang pernah popular pada suatu ketika dahulu.

Alamat: Pantai Bisikan Bayu, 16700 Cherang Ruku, Kelantan

Berikut adalah perkongsian berkenaan pantai yang terdapat di Kelantan. Semoga bermanfaat!

Sumber:

https://themalaysianreserve.com/2020/10/08/malaysias-nami-island-a-popular-tourist-attraction/

https://www.tempatmenarik.my/pantai-melawi-di-kelantan/

https://www.tempatmenarik.my/pantai-irama-tempat-menarik-di-bachok-kelantan/

https://www.sinarharian.com.my/article/107915/EDISI/Kelantan/Pantai-Bisikan-Bayu-berubah-wajah

error: Content is protected !!