Terapi berfokuskan kasih sayang (Compassion-focused therapy – CFT) bertujuan untuk membantu mempromosikan penyembuhan mental dan emosi dengan mendorong individu untuk mempunyai sikap belas kasihan terhadap diri mereka sendiri dan orang lain. Kasih sayang, buat diri sendiri dan orang lain, adalah tindak balas emosi yang dipercayai menjadi aspek kesejahteraan yang penting. Perkembangannya sering kali memberi manfaat untuk peningkatan kesihatan mental dan emosi.
Pakar kesihatan mental yang terlatih mungkin akan menawarkan kaedah CFT untuk membantu dan menyokong individu yang ingin meneroka cara untuk berhubungan dengan diri sendiri dan orang lain dengan rasa belas kasihan yang lebih besar.
Selain itu, kaedah ini mula dikembangkan pada awal abad ke-21 oleh Paul Gilbert, yang mana pendekatan CFT menggabungkan teori, prinsip dan teknik daripada bidang psikologi, kaedah rawatan dan agama.
Mengapakah anda memerlukan CFT?
CFT telah terbukti berkesan dalam menangani masalah emosi jangka panjang termasuk gangguan kecemasan, gangguan emosi, gangguan keperibadian, gangguan makan, gangguan menimbun dan psikosis dengan menangani corak rasa malu dan kritikan diri yang secara signifikan dapat menyumbang kepada masalah kesihatan mental.
Terapi ini sangatlah membantu bagi mereka yang mempunyai perkara berikut:
- perasaan malu atau rasa bersalah yang mendalam
- sejarah buli
- sejarah penderaan fizikal atau emosi
- kritikan dalaman yang tidak berkesudahan
- kesukaran untuk mempercayai
- kesukaran (atau ketidakupayaan) untuk berasa baik terhadap diri sendiri
CFT bertindih dengan terapi yang dikembangkan untuk merawat masalah trauma, di mana ia menangani memori awal, mengenali pemikiran negatif dan membetulkan tanggapan yang salah. Tetapi, bagi sebilangan individu yang berjuang dengan rasa malu dan kritikan diri, dapat mengatasi pemikiran yang tidak masuk akal ini sahaja tidak mencukupi. Tanpa belas kasihan pada diri sendiri, ia secara logik tidak akan menjadi lebih baik.
Seterusnya, kaedah CFT menggantikan perasaan permusuhan dan rasa tidak aman terhadap diri sendiri dengan kasih sayang dan pengertian, sehingga individu dapat mula berasa tenang, menerima pertolongan daripada orang lain dan menimbulkan perasaan puas dan selamat.
Apakah teori utama dalam CFT?
Salah satu teori utama di sebalik terapi yang berfokuskan pada kasih sayang ini adalah dalam otak kita terdapat “sistem” saling berkaitan yang perlu dikendalikan untuk meningkatkan kesihatan mental.
- Sistem ancaman – Sistem ini tertumpu kepada perlindungan. Ini bermakna ia akan berjaga-jaga dengan sebarang ancaman dan bertindak balas dengan perasaan seperti kemarahan, kegelisahan dan emosi pelindung lain.
- Sistem pemacu – Sistem ini memotivasikan kita untuk mendapatkan sumber dan memfokuskan pada keseronokan. Malah, ia juga ingin kita mencapai tujuan seperti lulus ujian atau berjaya pada suatu perkara yang boleh dikaitkan dengan perasaan teruja dan ghairah.
- Sistem kepuasan – Sistem ‘menenangkan’ ini dicetuskan ketika tiada ancaman yang dirasakan atau ketika tiada apa yang perlu dicapai. Ini membuatkan kita berasa tenang, aman dan damai. Di samping itu, sistem ini mendorong kita berasa puas, gembira dan boleh bergaul secara sosial.
Ianya dipercayai bahawa apabila sistem ini menjadi tidak seimbang, ia boleh menyebabkan masalah. Oleh itu, tujuan terapi ini adalah untuk mendapatkan keseimbangan antara sistem.
Apakah teknik yang digunakan dalam CFT?
Terdapat banyak alat dan teknik berbeza yang digunakan dalam terapi berfokuskan kasih sayang ini, yang mana beberapa di antaranya diambil dari terapi lain. Teknik utama yang digunakan disebut sebagai latihan minda penyayang, atau CMT (compassionate mind training). Ini bertujuan untuk menolong individu merasai rasa belas kasihan dan mengembangkan sifat-sifat yang tidak mengutuk.
Berikut adalah beberapa teknik dan latihan yang boleh digunakan:
- Kesedaran – Ini membantu anda belajar bagaimana untuk memperhatikan keadaan sekarang tanpa sebarang pertimbangan.
- Latihan penghargaan – Ini mungkin termasuk membuat senarai perkara yang anda sukai dalam hidup, dengan tujuan untuk membantu anda menikmati saat tersebut sambil memerhatikan perkara yang menggembirakan dan tingkah laku positif dan bermanfaat yang lain.
- Latihan gambaran yang berfokus pada kasih sayang – Ini mungkin melibatkan ingatan dan khayalan berpandu untuk membantu merangsang sistem yang menenangkan.
Bagaimanakah ia berfungsi?
Terapi berfokuskan kasih sayang melihat teori evolusi dan bagaimana ini mempengaruhi cara kita berfikir. Pada dasarnya, manusia mempunyai dua bahagian otak. Bahagian primitif atau “lama” membantu kita bertahan manakala bahagian otak moden atau “baru” muncul semasa proses evolusi. Bahagian ini membolehkan kita sedar akan diri sendiri dan membolehkan kita membuat bayangan dan gambaran tertentu seperti menghasilkan idea dan memilih bagaimana kita mahu hidup.
Kaedah ini terdiri dengan individu yang terlibat dalam satu siri latihan untuk mengesan kritikan diri dan kemudian memfokuskan kembali dengan penuh kasih sayang dengan mencipta dan mempraktikkan perasaan dan fikiran lebih positif, menyokong dan bersemangat. Peranan ahli terapi juga membantu individu merasakan keadaan selamat dalam interaksi mereka, bertoleransi dan berasa aman dengan apa yang diterokai dalam terapi, dan untuk menggantikan kritikan diri dengan kebaikan diri.
Apabila individu mengalami kesukaran yang berkaitan dengan perasaan serangan diri, ahli terapi dapat menolong mereka untuk meneroka fungsi dan punca yang menyebabkan serangan ini. Ini juga boleh melibatkan sebab yang berkemungkinan dan mungkin dipersetujui atau diserahkan oleh individu tersebut. Individu yang menjalani terapi mungkin diminta untuk menggambarkan “individu” itu dan apa sahaja perasaan yang timbul untuk memahami kritikan diri dengan lebih baik.
Mereka yang mengalami kesukaran untuk mengalami dan/ atau menyatakan belas kasihan mungkin diajukan pertanyaan yang ditetapkan untuk menolong mereka meneroka dan memperbaiki faktor-faktor yang berpotensi mencegah ekspresi belas kasihan.
Bagaimana untuk membuat persediaan bagi CFT?
Cari pakar kesihatan mental berlesen dengan latihan dan pengalaman khusus dalam terapi tingkah laku kognitif dan kesedaran, serta latihan dan pengalaman selanjutnya dalam terapi yang berfokuskan pada kasih sayang. Selain itu, ianya penting untuk mencari ahli terapi yang boleh membuatkan anda berasa selesa agar terapi dapat dilakukan dengan baik.
SUMBER
https://www.goodtherapy.org/learn-about-therapy/types/compassion-focused-therapy
https://www.counselling-directory.org.uk/compassion-focused-therapy.html#thethreeaffectsystems
https://www.psychologytoday.com/us/therapy-types/compassion-focused-therapy