Now Reading
Artritis Septik (Septic arthritis) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Artritis Septik (Septic arthritis) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

artritis septik

Artritis septik yang juga dikenali sebagai artritis berjangkit biasanya berlaku disebabkan oleh bakteria. Selain itu, ia juga boleh terjadi berpunca daripada virus atau kulat. Keadaan ini adalah keradangan sendi yang berlaku kerana adanya jangkitan dan biasanya menjejaskan satu sendi besar di dalam badan, seperti lutut atau pinggul. Ianya adalah jarang sekali bagi penyakit artritis septik untuk menjejaskan sendi-sendi lain.   

Simptom Artritis Septik

Keadaan artritis septik ini biasanya menyebabkan ketidakselesaan yang teruk dan ia mungkin agak susah menggunakan sendi yang terjejas itu. Di samping itu, anda juga mungkin mengalami:

  • Bengkak, merah dan terasa hangat apabila disentuh pada sendi yang terjejas.
  • Perubahan warna pada kulit di sekitar sendi.
  • Rasa tidak sihat atau demam dan menggeletar.

Gejala keadaan ini juga biasanya mula timbul selepas beberapa hari dan perlu diperiksa oleh doktor secepatnya.

Punca Artritis Septik

Artritis septik biasanya terjadi disebabkan oleh bakteria yang merebak melalui aliran darah dari bahagian badan yang lain. Malah. ia juga boleh terjadi kerana jangkitan bakteria dari luka terbuka atau pembukaan daripada prosedur pembedahan, seperti pembedahan lutut.   

Bagi orang dewasa dan kanak-kanak, bakteria biasa yang menyebabkan artritis septik akut termasuklah ‘staphylococcus’ dan ‘streptococcus’. Bendasing ini memasuki aliran darah dan menjangkiti sendi, yang kemudiannya menyebabkan keradangan serta kesakitan.   

Selain itu, jangkitan lain yang disebabkan oleh virus dan kulat juga boleh menyebabkan keadaan artritis. Virus ini termasuk:

  • Hepatitis A, B, dan C
  • Parvovirus B19
  • Virus Herpes
  • HIV (virus AIDS)
  • HTLV-1
  • Adenovirus
  • Virus Coxsackie
  • Beguk

Kulat yang boleh menyebabkan artritis pula termasuklah histoplasma, ‘coccidiomyces’ dan blastomyces. Jangkitan ini biasanya berkembang lebih lambat daripada jangkitan bakteria.

Diagnosis Artritis Septik

Ujian berikut biasanya boleh membantu doktor untuk mendiagnosis artritis septik seperti:

  • Analisis cecair sendi. Jangkitan boleh mengubah warna, konsistensi, isipadu dan menghasilkan cecair dalam sendi anda. Sampel bendalir ini boleh diambil dari sendi yang terjejas dengan menggunakan jarum. Kemudian, ujian makmal boleh menentukan organisma apa yang menyebabkan jangkitan anda, dan membantu doktor untuk menentukan pengambilan ubat-ubatan tertentu.
  • Ujian darah. Ujian ini boleh menentukan jika terdapat tanda-tanda jangkitan dalam darah anda. Sampel darah anda akan diambil daripada vena menggunakan jarum.
  • Ujian pengimejan. Sinar-X dan ujian pengimejan lain boleh dibuat pada bahagian sendi yang terjejas untuk menilai kerosakan pada sendi.

Faktor Risiko Artritis Septik

Sekiranya anda tergolong dalam golongan di bawah, anda lebih berisiko mendapat artritis septik:

  • Kanak-kanak kecil dan warga tua.
  • Individu yang mengalami luka terbuka .
  • Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.
  • Individu yang mempunyai penyakit yang sedia ada seperti kanser, kencing manis, penyalahgunaan dadah secara intravena dan gangguan kekurangan imun.

Selain itu, sendi yang pernah terjejas sebelum ini juga lebih cenderung untuk dijangkiti sekali lagi.   

Rawatan Artritis Septik

Rawatan untuk merawat artritis septik yang dilakukan adalah bergantung kepada penyaliran sendi dan pengambilan ubat antibiotik.

– Penyaliran saliran

Mengeluarkan cecair pada sendi yang terjejas adalah langkah yang penting. Kaedah penyaliran termasuklah:

  • Jarum. Dalam sesetengah kes, doktor boleh mengeluarkan cecair yang dijangkiti melalui jarum yang dimasukkan ke dalam ruang sendi.
  • Prosedur skop. Dalam prosedur artroskopi, tiub fleksibel dengan kamera di hujungnya diletakkan di dalam sendi anda melalui potongan kecil. Tiub sedutan dan saluran kemudian akan dimasukkan melalui potongan kecil di sekitar sendi anda.
  • Pembedahan terbuka. Sesetengah sendi, seperti pinggul adalah lebih sukar untuk dimasukkan jarum atau artroskopi, jadi prosedur pembedahan terbuka mungkin diperlukan.

– Antibiotik

Bagi memilih ubat yang paling berkesan, doktor akan mengenal pasti kuman yang menyebabkan jangkitan itu. Antibiotik biasanya diberikan melalui vena di tangan anda pada awal, kemudian ia boleh diberikan secara oral.

Biasanya, rawatan ini berlarutan dari dua hingga enam minggu. Namun begitu, ubat antibiotik boleh membawa risiko kesan sampingan termasuk mual, muntah dan cirit-birit. Reaksi alahan juga boleh berlaku. Jadi, rujuk doktor tentang kesan sampingan apa yang perlu dijangkakan daripada ubat yang diambil.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/bone-and-joint-infections/symptoms-causes/syc-20350755

https://www.webmd.com/arthritis/septic-arthritis-symptoms-diagnosis-and-treatment

https://www.medicinenet.com/septic_arthritis/article.htm

error: Content is protected !!