Now Reading
Asam gelugur (Garcinia Cambogia)

Asam gelugur (Garcinia Cambogia)

asam gelugur

Pengenalan

Asam gelugur adalah sejenis pokok bersaiz kecil hingga sederhana yang tumbuh di sesetengah kawasan India dan Asia Tenggara. Kulit buah ini mengandungi asid hidroksisitrik kimia (HCA – hydroxycitric acid) dan ia digunakan untuk menghasilkan ubat. Walau bagaimanapun, jangan tertukar antara asam gelugur dengan Garcinia hanburyi (gamboge resin). Kedua-duanya adalah berbeza.

Selain itu, ia digunakan untuk membantu keadaan seperti kegemukan, prestasi atletik, sakit sendi, dan lain-lain, tetapi tiada bukti saintifik yang bagus untuk menyokong penggunaan ini. Malah, terdapat juga kebimbangan bahawa penggunaannya boleh membahayakan hati.

Asam gelugur mengandungi asid hidroksisitrik kimia (HCA). Segelintir penyelidikan makmal menunjukkan bahawa HCA berkemungkinan untuk mencegah penyimpanan lemak, mengawal selera makan, dan meningkatkan prestasi senaman ketahanan, tetapi sama ada kesan ini boleh berlaku pada manusia atau tidak adalah masih tidak jelas.

Kegunaan Asam gelugur

  • Prestasi atletik. Asam gelugur mengandungi bahan kimia yang digelar sebagai asid hidroksisrat (HCA). Pengambilan HCA mungkin dapat meningkatkan tempoh senaman bagi wanita yang tidak terlatih untuk melakukan senaman. Tetapi ia seolah-olah tidak membantu lelaki dengan keadaan yang sama.
  • Obesiti. Adalah masih tidak jelas cara asam gelugur membantu dalam menurunkan berat badan seseorang. Terdapat segelintir kajian yang menunjukkan ia hanya memberikan faedah yang kecil. Manakala, penyelidikan lain pula menunjukkan bahawa ia tidak membantu.

Lebih banyak bukti yang diperlukan untuk menilai keberkesanannya untuk kegunaan ini:

  • Penyakit disebabkan oleh cacing parasit (schistosomiasis).
  • Sembelit.
  • Cirit-birit.
  • Sakit sendi.
  • Keadaan-keadaan lain.

Kesan Sampingan Asam gelugur

Terdapat beberapa kebimbangan keselamatan yang telah dilaporkan tentang pengambilan suplemen ini. Kesan buruk yang biasa berlaku adalah ringan dan merangkumi:

  • Sakit kepala
  • Loya
  • Gejala saluran pernafasan atas
  • Gejala gastrousus

Suplemen yang mengandunginya juga dilibatkan dalam tiga kes mania yang mungkin disebabkan oleh kemampuan HCA untuk mempengaruhi serotonin neurotransmitter. Dalam kebanyakan kes sebegini  dan juga kes yang mengakibatkan kerosakan hati, suplemen ini juga mungkin mengandungi bahan-bahan lain, jadi tahap toksinnya mungkin tidak dapat dikaitkan secara langsung dengan asam gelugur.

Menurut Institut Kesihatan Negara, oleh kerana semua ujian klinikal asam gelugur dan HCA dijalankan dalam masa singkat, maka tahap keselamatan bagi jangka masa panjangnya masih tidak diketahui.

Terdapat juga cadangan supaya mengelakkan penggunaannya jika anda menghidap kencing manis (ia boleh mempengaruhi tahap insulin dan glukosa) atau hamil. Selain itu, anda juga perlu berjaga-jaga untuk mengelakkan penggunaannya jika anda mengambil insulin atau antidepresan, kerana HCA dalam asam gelugur boleh meningkatkan penghasilan serotonin.

Adalah penting untuk diingati bahawa suplemen ini masih belum diuji untuk keselamatan dan sebahagian besarnya masih belum diluluskan. Dalam beberapa kes, sesetengah produk mungkin megandungi dos yang berbeza daripada jumlah yang ditetapkan untuk setiap ramuan. Dalam kes lain, produk suplemen ini mungkin dicemari dengan bahan lain, seperti logam. Pada tahun 2017, Pentadbiran Makanan dan Dadah A.S. mengeluarkan amaran nasihat bagi pembelian atau penggunaan produk asam gelugur kerana ia didapati mengandungi sibutramine, bahan terkawal yang dikeluarkan dari pasaran pada tahun 2010 atas sebab keselamatan. Keselamatan pengambilan suplemen ini pada kanak-kanak juga masih belum dapat dipastikan.

Interaksi Asam gelugur

Suplemen ini mungkin berinteraksi dengan:

  • Ubat-ubatan asma dan alahan
  • Ubat-ubatan kencing manis, termasuk pil dan insulin
  • Suplemen zat besi, untuk anemia
  • Ubat tahan sakit
  • Preskripsi keadaan psikiatrik
  • Ubat menurunkan paras kolesterol seperti Statin
  • Ubat penipis darah seperti warfarin

Elakkan pengambilan suplemen bersama ubat-ubatan di atas melainkan atas nasihat dan pemantauan doktor anda.

Dos Asam gelugur

Dos ekstrak yang digunakan dalam ujian klinikal adalah di antara 1,500 hingga 4,667 mg / hari (25 hingga 78 mg / kg / hari).

Dos asid hidroksisitrik (HCA) (konsituen aktif asam gelugur) dalam ujian percubaan adalah di antara 900 hingga 2,800 mg / hari (15 hingga 47 mg / kg / hari). Asam gelugur boleh didapati dalam bentuk kapsul atau tablet dengan dos maksimum sebanyak 1,500 mg / hari.

Sumber:

https://www.healthline.com/health/food-nutrition/things-you-didnt-know-about-garcinia-cambogia

https://www.healthline.com/nutrition/garcinia-cambogia-weight-loss

https://www.webmd.com/vitamins-and-supplements/garcinia-cambogia-weight-loss

https://examine.com/supplements/garcinia-cambogia/

error: Content is protected !!