Pengenalan
Asid Amino Rantai Bercabang (Branched Chain Amino Acid) adalah sejenis nutrien penting yang diperolehi tubuh daripada protein yang terdapat dalam makanan seperti daging, produk tenusu, dan kekacang. Ia termasuklah leucine, isoleucine, dan valine. “Rantai bercabang” merujuk kepada struktur kimia asid amino ini. Asid amino bercabang digunakan sebagai ubat.
Ia digunakan untuk merawat sklerosis lateral amyotrophic (ALS, penyakit Lou Gehrig), masalah otak akibat penyakit hati (encephalopathy hepatik kronik, ensefalopati hepatic laten), gangguan pergerakan yang digelar sebagai dyskinesia tardive, penyakit genetik yang dipanggil penyakit McArdle, penyakit yang digelar degenerasi spinocerebellar, dan kekurangan selera makan dalam pesakit buah pinggang dan pesakit kanser. Selain itu asid amino rantai bercabang juga digunakan untuk membantu melambatkan kehilangan otot.
Sesetengah individu menggunakan asid amino rantai bercabang untuk mengelakkan keletihan dan meningkatkan daya tumpuan.
Para atlet menggunakan asid amino rantai bercabang untuk meningkatkan prestasi senaman dan mengurangkan kerosakan protein dan otot semasa latihan sengit.
Doktor memberikan asid amino rantai bercabang melalui intravena (IV) untuk keadaan seperti pembengkakan otak secara tiba-tiba akibat penyakit hati (encephalopathy hepatik akut) dan juga apabila tubuh mengalami tekanan yang melampau, contohnya selepas mengalami kecederaan serius atau jangkitan yang meluas.
Kegunaan Asid Amino Rantai Bercabang
- Fungsi otak yang lemah berkaitan dengan penyakit hati. Pengambilan asid amino rantai bercabang melalui mulut seolah-olah memperbaiki fungsi hati dalam kalangan individu dengan fungsi otak yang lemah disebabkan oleh penyakit hati. Selain itu asid amino rantai bercabang juga dapat memperbaiki fungsi mental atau menyembuhkan koma dalam kalangan individu dengan keadaan ini, tetapi hasilnya adalah saling bertentangan. Namun begitu, asid amino rantai bercabang didapati tidak mengurangkan risiko kematian dalam kalangan individu dengan keadaan ini.
- Kegilaan. Mengambil minuman yang mengandungi asid amino ranting bercabang seolah-olah mengurangkan simptom kegilaan.
- Gangguan pergerakan yang digelar sebagai dyskinesia tardive. Pengambilan asid amino rantai bercabang melalui mulut dilihat dapat mengurangkan simptom gangguan otot yang disebut tardive dyskinesia.
- Kanser hati. Pengambilan sehingga 50 gram dos asid amino rantai bercabang sbeanyak dua kali setiap hari selama satu tahun dilihat tidak meningkatkan kelangsungan hidup atau mengurangkan kejadian pengulangan dalam kalangan individu yang menghidap kanser hati dan telah menjalani pembedahan hati. Walau bagaimanapun, sesetengah bukti awal menunjukkan bahawa pengambilan asid amino rantai bercabang meningkatkan kelangsungan hidup dan mencegah kejadian pengulangan kanser dalam kalangan individu dengan kanser hati yang belum menjalani pembedahan.
- Sklerosis lateral amyotrophic (ALS – Amyotrophic Lateral Sclerosis, penyakit Lou Gehrig). Kajian awal menunjukkan hasil yang menjanjikan, namun kajian yang lebih baru menunjukkan asid amino rantai bercabang tidak mempunyai faedah terhadap individu dengan ALS. Malah, pengambilan asid amino rantai bercabang boleh menyebabkan fungsi paru-paru menjadi semakin teruk dan meningkatkan risiko kematian pada individu dengan keadaan ini.
- Pembengkakan hati yang disebabkan oleh alkohol. Mengambil asid amino rantai bercabang setiap hari bersama diet yang terkawal tidak mengurangkan risiko kematian pada indivdiu yang mengalami pembengkakan hati disebabkan oleh pengambilan alkohol.
- Anoreksia. Penyakit tertentu boleh menyebabkan sesetengah individu mengalami kekurangan selera makan. Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan asid amino rantai bercabang boleh meningkatkan selera makan dan memperbaiki diet pada individu yang mengalami kegagalan buah pinggang, kanser, atau penyakit hati.
- Prestasi sukan. Pengambilan asid amino rantai bercabang dapat mengurangkan keletihan semasa bersenam dan meningkatkan pemulihan dari senaman. Dalam kebanyakan kes, hasil ini ditemui apabila asid amino rantai bercabang diambil bersama arginine atau serbuk teh hijau. Tetapi tidak semua kajian bersetuju dengan hasil tersebut. Asid amino rantai bercabang juga didapati tidak meningkatkan kekuatan, tempoh larian atau kelajuan berbasikal.
- Kencing manis. Adalah tidak diketahui jika mengambil asid amino rantai bercabang sebagai suplemen akan mengurangkan risiko mendapat kencing manis jenis 2. Sesetngah penyelidikan awal mendapati penurunan risiko tersebut pada wanita, sementara penyelidikan lain mendapati peningkatan risiko pada golongan lelaki dan wanita.
- Kerosakan otot yang disebabkan oleh senaman. Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan asid amino rantai bercabang boleh mengurangkan kerosakan otot semasa senaman. Tetapi tidak semua kajian bersetuju dengan hasil ini.
- Kesakitan otot yang disebabkan oleh senaman. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa pengambilan asid amino rantai bercabang sebelum bersenam dapat mengurangkan kesakitan otot selepas bersenam.
- Kerosakan hati jangka panjang (sirosis hati). Adalah tidak jelas jika asid amino rantai bercabang boleh memberi manfaat kepada individu dengan sirosis hati. Pengambilan asid amino rantai bercabang seolah-olah memperbaiki fungsi hati dan mengurangkan komplikasi hati dalam kalangan individu dengan sirosis hati peringkat awal. Walau bagaimanapun, pengambilan asid amino rantai bercabang dilihat tidak meningkatkan fungsi hati atau kelangsungan hidup dalam kalangan individu dengan sirosis hati yang lanjut. Namun, terdapat bukti bertentangan mengenai kesan asid amino rantai bercabang terhadap kualiti hidup individu dengan sirosis hati.
- Gangguan genetik yang meningkatkan fenilalanin dalam darah (Phenylketonuria). Pengambilan asid amino rantai bercabang selama 6 bulan seolah-olah meningkatkan daya tumpuan pada kanak-kanak dengan fenilketonuria.
- Penyakit tulang belakang yang digelar sebagai degenerasi spinocerebellar (SCD – Spinocerebellar Degeneration). Terdapat hasil yang bertentangan mengenai kesan asid amino rantai bercabang dalam kalnagan individu dengan penyakit tulang belakang yang digelar sebagai SCD. Sesetengah kajian awal mencadangkan bahawa pengambilan asid amino rantai bercabang melalui mulut mungkin meningkatkan beberapa simptom SCD. Walau bagaimanapun, kajian lain menunjukkan bahawa asid amino rantai bercabang tidak meningkatkan kawalan otot pada individu dengan SCD.
Lebih banyak bukti diperlukan untuk menilai keberkesanan asid amino rantai bercabang untuk kegunaan ini:
- Mencegah kehilangan otot pada pesakit yang terbaring di katil.
- Sebab-sebab lain.
Kesan Sampingan Asid Amino Rantai Bercabang
Asid amino rantai bercabang adalah SELAMAT apabila disuntik secara intravena (IV) oleh seorang profesional penjagaan kesihatan.
Asid amino rantai bercabang adalah BERKEMUNGKINAN SELAMAT apabila diambil melalui mulut selama 2 tahun. Sesetengah kesan sampingan diketahui yang mungkin berlaku adalah seperti keletihan dan kehilangan koordinasi. Oleh itu, asid amino rantai bercabang harus digunakan dengan berhati-hati sebelum atau semasa aktiviti yang bergantung pada koordinasi motor, seperti memandu.
Asid amino rantai bercabang juga boleh menyebabkan masalah perut, termasuk mual, muntah, cirit-birit, dan kembung perut. Dalam kes yang jarang berlaku, asid amino rantai bercabang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, sakit kepala atau pemutihan kulit.
Kehamilan dan ibu menyusu: Tiada maklumat mencukupi yang boleh dipercayai mengenai keselamatan pengambilan asid amino rantai bercabang jika anda hamil atau menyusu bayi. Sebaiknya, kekal di bahagian yang selamat dan elakkan penggunaannya.
Kanak-kanak: Asid amino rantai bercabang adalah BERKEMUNGKINAN SELAMAT untuk digunakan oleh kanak-kanak apabila diminum dalam jangka pendek. Asid amino rantai bercabang telah digunakan dengan selamat pada kanak-kanak selama 6 bulan.
Sklerosis lateral amotrophic (ALS, penyakit Lou Gehrig): Penggunaan asid amino rantai bercabang telah dikaitkan dengan kegagalan paru-paru dan kadar kematian yang lebih tinggi apabila digunakan oleh pesakit dengan ALS. Sekiranya anda mempunyai ALS, jangan gunakan asid amino rantai bercabang
Ketoaciduria rantai bercabang: Kekejangan dan gangguan mental serta fizikal yang teruk boleh dijejaskan oleh pengambilan asid amino rantai bercabang. Jangan gunakan asid amino rantai bercabang jika anda mempunyai keadaan ini.
Alkoholisme kronik: Penggunaan asid amino rantai bercabang oleh alkoholik telah dikaitkan dengan penyakit hati yang membawa kepada kerosakan otak (hepatic encephalopathy).
Gula darah rendah pada bayi: Pengambilan salah satu asid amino rantai bercabang, leucine, telah dilaporkan boleh menurunkan gula darah pada bayi yang mengalami hipoglikemia idiopatik. Keadaan ini bermaksud mereka mempunyai gula darah rendah, tetapi punca itu adalah tidak diketahui. Beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa leucine membuatkan pankreas melepaskan insulin justeru itu, menurunkan gula darah.
Pembedahan: Asid amino rantai bercabang boleh menjejaskan tahap gula darah, dan ini mungkin mengganggu pengawalan gula darah semasa dan selepas pembedahan. Berhenti menggunakan asid amino rantai bercabang sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan yang dijadualkan.
Interaksi Asid Amino Rantai Bercabang
– Levodopa berinteraksi dengan ASID AMINO RANTAI BERCABANG (BCAA)
Asid amino rantai bercabang mungkin mengurangkan kuantiti ubat levodopa yang diserap oleh badan. Dengan itu, asid amino rantai bercabang akan mengurangkan keberkesanan levodopa. Jangan mengambil asid amino rantai bercabang dan levodopa pada masa yang sama.
– Ubat untuk kencing manis (ubat antidiabetes) berinteraksi dengan ASID AMINO RANTAI BERCABANG (BCAA)
Asid amino rantai bercabang mungkin mengurangkan gula dalam darah. Ubat kencing manis juga digunakan untuk menurunkan gula darah. Mengambil asid amino rantai bercabang bersama ubat kencing manis boleh menyebabkan gula darah anda menjadi terlalu rendah. Pantau gula darah anda dengan teliti. Dos ubat kencing manis anda mungkin perlu diubah. Sesetengah ubat yang digunakan untuk kencing manis termasuk glimepiride (Amaryl), glyburide (DiaBeta, Glynase PresTab, Micronase), insulin, pioglitazone (Actos), rosiglitazone (Avandia), chlorpropamide (Diabinese), glipizide (Glucotrol), tolbutamide (Orinase), dan lain-lain.
– Diazoksida (Hyperstat, Proglycem) berinteraksi dengan ASID AMINO RANTAI BERCABANG (BCAA)
Asid amino rantai bercabang digunakan untuk membantu penghasilan protein dalam badan. Mengambil Diazoksida bersama asid amino rantai bercabang boleh mengurangkan kesan asid amino rantai bercabang terhadap penghasilan protein. Namun begitu, maklumat yang lebih lanjut masih diperlukan mengenai interaksi ini.
– Ubat-ubatan untuk masalah keradangan (Kortikosteroid) berinteraksi dengan ASID AMINO RANTAI BERCABANG (BCAA)
Asid amino rantai bercabang digunakan untuk membantu penghasilan protein dalam badan. Mengambil ubat-ubatan yang dikategorikan sebagai glucocorticoids bersama asid amino rantai bercabang boleh mengurangkan kesan asid amino rantai bercabang pada protein. Namun begitu, maklumat yang lebih lanjut masih diperlukan mengenai interaksi ini.
– Hormon tiroid berinteraksi dengan ASID AMINO RANTAI BERCABANG (BCAA)
Asid amino rantai bercabang membantu badan menghasilkan protein. Sesetengah ubat hormon tiroid boleh mengurangkan tempoh badan memecahkan asid amino rantai bercabang. Walau bagaimanapun, lebih banyak maklumat diperlukan untuk mengetahui kepentingan interaksi ini.
Dos Asid Amino Rantai Bercabang
Tiada dos tetap bagi asid amino rantai bercabang yang disyorkan secara rasmi. Bergantung pada faedah yang diingini, kajian telah menggunakan dos yang berbeza atas penggunaan suplemen ini.
Sebelum mengambil suplemen asid amino rantai bercabang, baca label dan ikut cadangan pengilang terlebih dahulu dengan berhati-hati.
SUMBER
https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-1005/branched-chain-amino-acids-bcaas
https://www.rxlist.com/branched-chain_amino_acids/supplements.htm