Atresia Biliari adalah penyakit pada saluran hempedu yang jarang berlaku. Ia hanya dihidapi oleh golongan bayi. Saluran hempedu adalah laluan yang membawa cecair pencernaan dipanggil hempedu (bile) dari hati kepada usus kecil. Apabila hempedu sampai di usus kecil, ia akan memusnahkan sel lemak dan menyerap vitamin. Kemudian, hempedu akan menapis sisa makanan keluar dari badan.
Jika penyakit Atresia Biliari berlaku, saluran ini membengkak dan akhirnya menjadi tersekat. Sejurus itu, cecair hempedu akan terperangkap di dalam hati dan mula memusnahkan sel hati. Dari masa ke masa, hati boleh mempunyai parut dan keadaan ini dikenali sebagai sirosis (cirrhosis).
Sekiranya keadaan itu berlaku, hati tidak lagi dapat menapis toksin dengan cara yang sepatutnya. Sesetengah bayi mendapat penyakit ini sejak dalam rahim. Namun, simptomnya selalunya muncul antara 2 dan 4 minggu selepas kelahiran.
Simptom Atresia Biliari
Jika bayi anda menghidapi Atresia Biliari, salah satu perkara pertama yang anda boleh perhatikan ialah kulit dan mata putihnya kelihatan berwarna kuning. Ini dikenali sebagai jaundis. Jaundis sangat biasa berlaku dalam kalangan bayi, terutama pada mereka yang dilahirkan sebelum usia 38 minggu. Namun, ia biasanya hilang dalam masa 2 hingga 3 minggu. Jaundis yang berlaku disebabkan Atresia Biliari pula akan bertahan lebih lama daripada itu.
Selain itu, kawasan abdomen bayi juga mungkin membengkak dan bayi mungkin mempunyai najis berwarna kelabu atau putih, dan air kencing yang berwarna gelap. Keadaan ini berlaku kerana hatinya tidak dapat memproses bilirubin, iaitu bahan berwarna merah coklat yang dihasilkan ketika sel darah merah rosak. Inilah yang memberikan warna coklat pada najis bayi.
Sesetengah bayi juga mungkin kerap mengalami hidung berdarah atau kegatalan yang serius.
Punca Astresia Biliari
Para doktor percaya bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh mencetuskan Atresia Biliari, termasuklah:
- Penukaran dalam gen.
- Masalah dengan sistem imun.
- Masalah semasa pembinaan sel hati atau saluran hempedu dalam rahim.
- Bahan toksik.
- Virus atau jangkitan bakteria selepas kelahiran.
Penyakit ini tidak diwarisi dari satu ahli keluarga kepada yang lain, dan bayi tidak dapat menjangkitinya daripada orang lain.
Selain itu, bayi perempuan yang dilahirkan tidak matang mempunyai risiko paling tinggi untuk menghidapi penyakit Atresia Biliari begitu juga dengan bayi Asia dan Afrika-Amerika.
Diagnosis Atresia Biliari
Banyak penyakit hati lain juga mempunyai simptom yang sama seperti Atresia Biliari. Bagi memastikan diagnosis yang dibuat adalah betul, doktor mungkin menguji darah anak anda untuk menentukan kandungan bilirubin sama ada ia rendah atau tinggi. Doktor juga boleh melakukan beberapa atau semua perkara berikut:
- Sinar-X: Sejumlah kecil radiasi mencipta gambar yang dirakamkan di filem atau komputer. Ini akan memeriksa sama ada berlakunya pembesaran hati dan limpa.
- Ultrabunyi: Gelombang bunyi frekuensi tinggi akan menunjukkan imej organ yang terperinci.
- Imbasan hati: Sinar-X khas menggunakan bahan kimia untuk mencipta imej hati dan hempedu salurannya. Ini boleh menunjukkan sekiranya ada aliran hempedu yang tersekat berserta lokasi di mana ia berlaku.
- Biopsi hati: Doktor akan mengambil sampel tisu yang kecil supaya dapat dilihat di bawah mikroskop. Ini boleh menunjukkan sama ada pesakit mempunyai Atresia Biliari atau tidak dan membantu mengatasi masalah hati yang lain seperti Hepatitis.
- Pembedahan diagnostik: Pesakit akan diberi ubat sebelum tertidur. Doktor kemudian akan membuat potongan kecil di bahagian perut supaya dapat melihat saluran hati dan hempedu pesakit.
Pandangan tentang Atresia Biliari
Jika bayi mempunyai prosedur Kasai yang berjaya, bayi tersebut boleh sembuh dan mempunyai kehidupan yang biasa dan aktif. Namun, dalam kebanyakan kes, bayi akan memerlukan penjagaan perubatan khusus sepanjang hayatnya. Akhirnya, bayi ini juga mungkin memerlukan pemindahan hati.
Rawatan Atresia Biliari
Rawatan yang paling biasa adalah Hepatoportoenterostomi, yang juga dikenali sebagai prosedur Kasai. Ia dilakukan jika salur hempedu disekat di luar hati bayi. Semasa pembedahan, pakar bedah akan menggantikan saluran hempedu bayi anda yang tersekat dengan sebahagian ususnya. Ini membolehkan pengaliran hempedu dari hatinya melalui saluran “baharu” dan ke dalam ususnya. Sekiranya ia dilakukan sebelum bayi anda berumur 3 bulan, pembedahan mempunyai kadar kejayaan sebanyak 80%. Sekiranya ia tidak berjaya, bayi biasanya memerlukannya pemindahan hati dalam tempoh 1 hingga 2 tahun.
Seterusnya, sekiranya saluran hempedu tersekat di dalam hati, terdapat ubat yang boleh membantu menghilangkan hempedu, dan suplemen vitamin A , D dan E mungkin akan diberikan oleh doktor. Namun begitu, pemindahan hati mungkin masih diperlukan.
SUMBER
https://www.webmd.com/parenting/baby/biliary-atresia
https://www.mayoclinicproceedings.org/article/S0025-6196(11)63625-2/abstract