Now Reading
8 Tempat Wajib Singgah Cameron Highland

8 Tempat Wajib Singgah Cameron Highland

avant chocolate

Jika anda jemu dengan cuaca panas dan kesesakan ibu kota, larilah sebentar ke Cameron Highlands, destinasi nyaman yang terkenal dengan udara sejuknya yang dingin dan pemandangan yang menakjubkan. Banyak destinasi tumpuan yang boleh anda kunjungi seperti Avant Chocolate, The Sheep Sanctuary dan banyak lagi!

Tambahan pula terdapat banyak tempat menarik di Cameron Highland, menjadikan ia destinasi sasaran popular pelancong tempatan dan antarabangsa.

1. Avant Chocolate Cameron Highlands

Alamat: 11, Taman Matahari Cerah, Kampung Raja, 39010, Cameron Highlands

Avant Chocolate & Ice Cream di Green View Garden, Cameron Highlands.  Cantik, Menarik dan Tertarik.

Suka makan yang manis-manis? Ini adalah syurga untuk deria rasa anda. Dengar namanya, Avant Chocolate, mesti anda ingat ianya hanyalah sebuah kafe kan?

Sebenarnya Avant Chocolate ini menawarkan 2 tarikan yang best, iaitu seperti yang disangka tempat menjamu selera Strawberry Moment Dessert Cafe dan tempat menikmati pemandangan yang mengujakan, Green Garden View.

Sebaik sampai di sini, anda boleh menikmati pemandangan alam flora di sekitar yang termasuklah tanaman buah strawberi sambil menarik nafas segar udara yang bersih. Tarikan lain yang ada di sini adalah laluan Make A Wish dan House of Lavender. Ini pasti menjadi satu kerinduan sebaik pulang ke kota nanti.

Setelah puas menyegarkan mata, anda boleh menuju ke kafenya untuk menikmati pelbagai makanan yang berasaskan coklat, strawberi dan juga ais-krim, semuanya mengiurkan! Antara makanan yang dihidangkan adalah strawberry puff dan kek ais krim strawberry.

2. The Sheep Sanctuary

Alamat: Kea Farm Market, Cameron Highlands, Pahang

The Sheep Sanctuary Admission Ticket at Cameron Highland - Klook Malaysia

Alang-alang dah sampai ke Kea Farm, jangan lupa untuk singgah juga ke The Sheep Sanctuary. Tarikan yang dimiliki oleh Goh Bing Tzuan ini menempatkan dalam sekitar 14 ekor kambing biri-biri baka Merino yang didatangkan dari Australia. Ladang ini dibuka selepas beliau mendapat inspirasi dari ladang biri-biri yang terdapat di Taiwan.

Walaupun hanyalah sebuah ladang yang kecil, admin percaya, mesti ramai yang teruja melihat haiwan ternakan yang comel ini dengan lebih dekatkan? Tak puas tengok biri-biri je? Turut terdapat di sini adalah beberapa ekor arnab yang manja. Untuk masuk ke ladang ini tiada caj yang dikenakan, tapi anda boleh membeli makanan untuk diberikan kepada kambing dengan harga RM3 sepaket.

Sambil-sambil bagi makan tu, jangan lupa untuk bergambar. Jangka masa yang dianggarkan untuk anda meluangkan masa di sini adalah dalam sekitar 15 ke 20 minit. Lepas dah puas ‘berkenalan’ dengan haiwan yang ada, bolehlah rancang untuk ke destinasi yang seterusnya.

3. Ladang Teh BOH Sungai Palas

Alamat: Sungai Palas Garden, 39100 Brincahng, Cameron Highlands, Pahang

Hampir setiap hari menikmati teh BOH semasa di rumah, tapi masih tak tahu lagi bagaimana keadaan ladangnya? Dan teringin nak tahu bagaimana teh yang diminum setiap hari ini dihasilkan? Datanglah ke Ladang Teh BOH yang terletak di Sungai Palas ini.

Aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang berada di ladang teh ini di samping melihat bagaimana teh diproses di kilang adalah melawat kafenya untuk menikmati pelbagai hidangan yang terdiri daripada teh dan aneka pencuci mulut yang menyelerakan.

Sebelum pulang, anda boleh membeli pelbagai produk teh BOH yang telah dihasilkan segar dari ladang untuk dijadikan buah tangan.

Namun begitu, pengalaman yang paling sukar dilupakan adalah peluang untuk menikmati pemandangan yang disajikan di depan mata ladang teh BOH yang seluas pandangan mata dan penuh dengan kehijauan.

4. KHM Strawberries & Jam

Alamat: KHM Strawberries & Jam, No. 9, Kampung Taman Sedia, Tanah Rata, 39000, Cameron Highland, Pahang

KHM Strawberries & Jam  adalah sebuah ladang yang diusahakan oleh bumiputera di mana anda berpeluang untuk melawat kawasan kebun untuk melihat keadaan buah strawberi yang masih di dalam ‘habitat’nya serta mendapat peluang untuk memetik buah ini sendiri. Satu pengalaman yang pasti menyeronokkan terutama sekali anak-anak kecil.

Dah dapat merasa kehidupan seperti pengusaha kebun, anda boleh datang ke kedai makannya yang menghidangkan pelbagai jenis hidangan yang menggunakan buah strawberi sebagai bahan asas. Yang syoknya, sambil makan, anda dapat menyaksikan pemandangan sekitar kebun strawberi.

5. Cactus Point

Alamat: Cactus Point, Brinchang, 39000 Cameron Highland, Pahang

Cactus Point, Brinchang, Pahang.

Selain teh dan buah strawberi, tanaman lain yang agak popular di Cameron Highlands dan sering menjadi buah tangan sesiapa yang pernah datang bercuti ke sini adalah pokok kaktus. Salah satu lokasi di mana anda dapat melihat dan membeli bermacam gaya pokok kaktus adalah di Cactus Point.

Tarikan yang berlanskap indah ini adalah salah satu lokasi yang wajib disinggahi terutama sekali kerana kemasukannya juga percuma. Tempat meletak kereta yang disediakan juga cukup luas, jadi tak perlulah risau kalau anda datang pada musim cuti sekolah sekali pun.

Bukan sekadar kaktus, sebaik memasuki Cactus Point, anda akan terlihat pelbagai jenis tanaman bunga yang terletak di sebelah kiri, di sebelah kanan pula terdapat tanaman buah strawberi. Pokok kaktus pula boleh dilihat terletak di tengah-tengah kebun ini.

6. Pasar Kea Farm

Alamat: Kea Farm, 39100 Brinchang, Pahang

Sudah puas makan angin di Cameron Highlands? Kalau masih banyak ruang kosong dalam kereta anda tu, jangan balik dulu! Mai singgah ke Pasar Kea Farm.

Terletak hanyalah dalam sekitar 2 ke 3 km dari Brinchang dan Tringkap, di sini anda boleh melihat pelbagai pilihan sayuran dan buah-buahan segar seperti buah strawberi, oren, jagung mutiara, sayur kobis, produk jem, teh dalam aneka perisa dan bermacam-macam lagi yang diniagakan oleh kebanyakannya para pekebun dan petani sendiri.

Tidak jauh dari sini, anda boleh berjalan kaki untuk ke ladang lebah dan juga taman rama-rama.

7. Rose & Orchid Garden

Alamat: Rose & Orchid Garden, 74, Green Cow, 39000 Brinchang, Cameron Highlands, Pahang

Setibanya di Rose & Orchid Garden, anda akan disambut oleh dekorasi bunga yang cukup menarik mata dan seorang jurugambar yang sentiasa bersedia untuk mangambil foto anda dengan berlatar belakangkan dekorasi ini.

Di ruangan yang seterusnya, anda dapat melihat pelbagai jenis burung termasuklah burung turki di dalam sangkar yang ada. Di dalam taman ini turut terdapat ladang sayuran, pokok bunga raya serta laluan pendek yang lengkap dengan pondok buluh.

Sebagai kebun bunga, sudah semestinya terdapat pelbagai jenis bunga beraneka warna yang sangat menyejukkan mata di samping dapat menikmati aroma yang cukup menyegarkan.

Sebelum pulang, anda boleh singgah ke kedai yang menjual pelbagai jenis tanaman atau ke restorannya untuk menghilangkan bunyi perut yang kelaparan.

8. Taman Rama-Rama Kea Farm

Alamat: Batu 43, Kea Farm, 39100, Cameron Highland

Taman Rama–Rama Kea Farm adalah salah satu destinasi popular di Cameron yang bertapak di Kea Farm, Brinchang. Kalau anda ingin belajar sedikit tentang kehidupan semulajadi rama-rama atau melihat spesis rama-rama beraneka jenis.

Di taman yang tertutup ini rama-rama terbang secara bebas dan jangan terkejut jika ada yang hinggap di baju anda semasa anda berada di sana nanti.

Selain dari rama-rama anda juga dapat menyaksikan gelagat haiwan liar lain seperti ular, biawak dan serangga yang menakjubkan.

Secara mudahnya, Cameron ini tempat yang berbaloi untuk dilawati kerana suhunya yang sejuk dan pemandangan yang indah.

Sumber:

1) https://www.maisinggah.com/tempat-menarik-di-cameron-highland/

2) https://www.caridestinasi.com/tempat-menarik-cameron-highland/

3) https://listikel.com/tempat-menarik-di-cameron-highland/

error: Content is protected !!