Now Reading
Ayat Kursi Penghulu Segala Ayat Al Quran

Ayat Kursi Penghulu Segala Ayat Al Quran

Ayat Kursi

Ayat kursi ataupun Ayatul Kursi (آية الكرسي) adalah potongan ayat yang ke-255 dalam Surah Al-Baqarah. Ayat kursi juga mendapat gelaran penghulu segala ayat Al-Quran. Ini dijelaskan melalui sebagaimana pertanyaan yang diajukan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Ubay bin Ka’ab,:

“Wahai Abul Mundzir, tahukah engkau ayat mana di kitab Allah yang paling agung?”Aku menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Baginda berkata, “Wahai Abul Mundzir, Tahukah engkau ayat mana di kitab Allah yang paling agung?”Aku pun menjawab, “Allahu laa ilaha illa Huwa, Al-Hayyul-Qayyum” Maka baginda memukul dadaku dan berkata, “Demi Allah, selamat atas ilmu (yang diberikan Allah kepadamu) wahai Abul Mundzir.”~ Hadis Riwayat Muslim

Potongan Ayat Kursi:

اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لاَ تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلاَ نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ

عِنْدَهُ إِلاَّ بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلاَّ بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ

السَّمَاواتِ وَالأَرْضَ وَلاَ يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Allahu la ilaha illa Huwa, Al-Haiyul-Qaiyum

La ta’khuzhuhu sinatun wa la nawm,

lahu ma fis-samawati wa ma fil-‘ard

Man zhal-lazhi yashfa’u ‘indahu illa bi-izhnihi

Ya’lamu ma baina aidihim wa ma khalfahum,

wa la yuhituna bi shai’im-min ‘ilmihi illa bima sha’a

Wasi’a kursiyuhus-samawati wal ard,

wa la ya’uduhu hifdzhuhuma Wa Huwal ‘Aliyul-Azheem

Maksudnya:

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).

Yang tidak mengantuk usahkan tidur.

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.

Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

Ayat Kursi sangat istimewa kerana ia mengisahkan keagungan Allah SWT serta kekuasaanNya yang tidak terbatas.

Berdasarkan potongan ayat di atas kita dapat memahami keistimewaan ayat kursi ini kerana ia menghuraikan keagungan Allah SWT serta kekuasaan Allah SWT. Ianya telah menjadi amalan orang-orang Islam sebagai ayat pedinding dan doa.

Didalam Ayatul Kursi dapat kita temui terlalu banyak nama Allah yang disebut dalam satu ayat. Yang menjadikan ayat ini bergitu agungnya kerana dua perkara:

  • Penekanan Tauhid (Pengesaan Allah Yang Satu)
  • Pengenalan Sifat-sifat Allah

Terdapat 16 nama Allah di dalam ayat Kursi:

(اللّهُ) ~ Allah.

(هُوَ) ~ Dia.

(الْحَيُّ) ~ Maha Hidup.

(الْقَيُّومُ) ~ Yang Mengurus (makhluk-Nya)

(هُ) ~ Dia.

(لَّهُ) ~ Bagi-Nya.

(عِنْدَهُ) ~ Di sisi-Nya.

(بِإِذْنِهِ) ~ Izin-Nya.

(يَعْلَمُ) ~ Dia Mengetahui.

(عِلْمِهِ) ~ Ilmu-Nya.

(شَاء) ~ Dia Berkehendak.

(كُرْسِيُّهُ) ~ Kursi-Nya.

(وَلاَ يَؤُودُهُ) ~ Dia tidak Merasa berat.

(هُوَ) ~ Dia.

(الْعَلِيُّ) ~ Maha Tinggi.

(الْعَظِيمُ) ~ Maha Besar.

Dengan lafaz ‘Laa ilaaha illa huwa’, Allah Maha Mulia lagi Maha Esa dan tidak ada yang berhak disembah selain Allah. Ayat ini menguatkan dan menyedarkan diri kita bahawa segala amal ibadah, ketaatan dan penyembahan hanya kepadaNya. Melaluinya terbuktilah kesempurnaanAllah SWT dan kesempurnaan sifatNya. Ayat ini jika diamalkan InsyaAllah akan mendapat keredhaan dan perlindungan Allah SWT.

Keistimewaan atau kelebihan ayat kursi:

Abi Umamah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.” (Riwayat al-Thabarani dan al-Nasa’ie – dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban)

Syeikh Abul ‘Abas Al-Bunni menerangkan: “Sesiapa membaca ayat Kursi sebanyak hitungan kata-katanya (50 kali), lalu ditiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, Insya Allah, dicerdaskan akal fikirannya dan dimudahkannya menerima ilmu pengetahuan.”

Kitab “Asraarul Mufidah” ada menyatakan sesiapa yang mengamalkan pembacaan ayat kursi setiap hari sebanyak 18 kali; Insya Allah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjat dan martabatnya, diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana.

Syeikh Al-Bunni turut menerangkan pendapatnya bahawa  sesiapa yang membaca ayat Kursi sebanyak hitungan hurufnya (170 huruf), InsyaaAllah Allah SWT akan memberi pertolongan dalam segala hal dan menunaikan segala hajatnya, dan melapangkan fikirannya, diluluskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.

Syeikh Buni juga menerangkan: sesiapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran dengan isyarat nafas sambil membaca ayat Kursi. Kemudian ia masuk bersama jamaahnya ke dalam garis lingkaran tersebut menghadap ke arah musuh, sambil membaca ayat Kursi sebanyak 50 kali, atau sebanayk 170 kali, Insya Allah musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudharatkannya.

Syeikul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan bahawa; sesiapa yang membaca ayat Kursi sebayak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi al-Quran yang mulia, Allah SWT akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (dari kitab Khawasul Qur’an).

Imam Jaafar Shadiq R.A. mengatakan: Sesiapa membaca sekali, nescaya Allah akan menghindar darinya 1,000 kesukaran duniawi, yang terkecil sekali ialah kemiskinan dan kepapaan, dan 1,000 kesukaran ukhrawi, yang terkecil sekali ialah azab neraka.

Salah seorang ulama Hindi mendengar dari salah seorang guru besarnya dari Abi Lababah R.A, membaca ayat Kursi sebanyak anggota sujud (7 kali) setiap hari ada benteng pertahanan Rasulullah SAW.

Sesiapa yang mengamalkan membaca ayat Kursi ketika hendak tidur, maka Abdurahman bin Auf menerangkan bahawa, ia apabila masuk kerumahnya dibaca ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pelindung syaitan.

Mereka yang mengamalkan membaca 7 kali ayat Kursi dan 7 kali bagi setiap 3 Qul selepas selesai Solat Jumaat, Insya Allah akan mendapat hikmah dan kelebihan yang tidak terduga.

Setiap lelaki dan wanita (baik buat isteri-isteri) yang mengamalkan membaca ayat kursi 7 kali sebelum keluar rumah atau semasa perjalanan ke tempat kerja atau kemana sekalipun kecuali bukan niat melakukan maksiat pada Allah SWT maka dia terselamat daripada segala kejahatan yang datang dari syaitan, jin dan manusia antaranya:

Terselamat dari terkena sihir; seperti ubat pengasih (mengasih seseorang tanpa kehendak hatinya), penganiayaan (santau ), penipuan dan sebagainya kerana semua ini ada bersangkutan dengan jin dan syaitan. Begitula kehebatan Penghulu bagi seluruh ayat Al-Quran. Semoga bermanfaat. Wallahu’alam!

SUMBER:

https://celikalquran.com/kebesaran-ayat-kursi-di-dalam-al-quran/

https://www.hijabista.com.my/ayat-kursi-penghulu-segala-ayat-al-quran/

https://akuislam.com/blog/ayat-kursi/

https://www.quran411.com/ayatul-kursi

error: Content is protected !!