Banduan jahit pakaian perlindungan untuk digunakan oleh pekerja barisan hadapan. Banduan penjara Penor di Kuantan telah membantu menjahit sendiri pakaian PPE, menyumbang kepada kekurangan stok PPE.
Oleh kerana pada waktu ini negara kita kekurangan pakaian perlindungan, PPE (Personal Protective Equipment), banduan penjara Penor di Kuantan telah membantu menjahit sendiri pakaian-pakaian tersebut untuk digunakan oleh pekerja barisan hadapan kita!
Menurut akhbar The Star, 18 orang banduan penjara di Penor telah bekerja dari 9 pagi hingga 5 petang (Isnin – Ahad) di makmal jahitan penjara tersebut untuk menghasilkan PPE. Operasi jahitan bermula pada 27 Mac sehingga kini, secara purata mereka boleh menghasilkan sebanyak 20 set PPE setiap hari.
Pakaian yang telah siap akan diperiksa oleh staf penjara dan ia di hantar ke pejabat setiausaha negeri Pahang untuk diagihkan kepada jabatan kesihatan negeri itu.
Pengarah penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussain berkata sebagai tambahan, Persatuan Staf Perempuan Penjara dan Isteri Staf Penjara (Persiap) turut membantu dengan menghasilkan sebanyak 525 pelindung muka untuk pekerja barisan hadapan!
Salah seorang banduan, Man berkata dengan membantu memotong bahan PPE, beliau berasa seperti telah memberi sumbangan yang besar kepada negara dalam caranya tersendiri.
Beliau tahu bahawa COVID-19 adalah sejenis penyakit yang sangat berjangkit, jadi beliau turut bangga kerana dapat membantu walaupun berada dalam penjara. Sumbangannya mungkin tidak begitu besar namun beliau berharap ia dapat membantu melindungi pekerja perubatan menangani penyakit tersebut.
Berita ini sangat menyentuh hati semua. Oleh kerana keadaan COVID-19 di negara kita masih meningkat saban hari, kita harus bekerjasama dengan berada di rumah dan menjaga kebersihan diri supaya kita dapat memutuskan rantaiannya! Berita mengenai banduan jahit pakaian perlindungan bagi petugas COVID-19 adalah satu usaha baik dalam memastikan semua pihak bertungkus lumus bagi memerangi wabak ini bersama.
SUMBER GAMBAR: https://www.yoy.my/video-penghuni-penjara-penor-bantu-frontliners-jahit-ppe-petugas-covid-19/
SUMBER
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/560475/jasa-banduan-penjara-penor