Keadaan banjir sering berlaku di Malaysia dan setiap tahun daripada bulan September sehinggalah bulan Februari hujan lebat sering berlaku di timur laut Malaysia. Keadaan ini mengakibatkan banjir berlaku jadi garis panduan menghadapi banjir telah ditetapkan bagi mengatasi isu ini.
Apabila anda terfikirkan banjir, mungkin anda hanya terbayangkan bahawa rumah anda dinaiki air. Banjir boleh memusnahkan harta benda, ia mungkin menyebabkan masalah lain, dan perkara yang paling berbahaya adalah memberi kesan terhadap kesihatan anda.
Terdapat beberapa jenis banjir berbeza, daripada yang disebabkan oleh taufan dan ribut kepada banjir kilat yang berlaku tiba-tiba tanpa sebarang amaran.
Dengan melakukan persediaan menghadapi kemungkinan ini, anda boleh melindungi diri anda dan yang tersayang bagi mengelak perkara berkaitan banjir seperti kemalangan, penyakit serta kematian dari berlaku.
Tahap-tahap Banjir
Apabila air meningkat ke satu tahap, risiko bahaya juga meningkat. Jom lihat tahap-tahap banjir yang anda harus ketahui berserta kemungkinan yang boleh berlaku:
- 6 inci – boleh menghanyutkan anda
- 12 inci – boleh menerapungkan kereta anda
- 18 inci – boleh menghanyut kenderaan yang lebih besar
Kebersihan Diri Adalah Penting Ketika Banjir
Pelbagai penyakit berjangkit termasuklah jangkitan gastrousus dan hepatitis A, yang boleh merebak melalui sentuhan pada permukaan tercemar. Pelbagai jenis penyakit berjangkit boleh berlaku disebabkan oleh sampah sarap dan sisa najis yang bertaburan di merata-rata akibat banjir.
Jangan gunakan air yang tercemar untuk membasuh pinggan mangkuk, mengosok gigi, membasuh tangan, membasuh untuk penyediaan makanan, untuk membuat ais atau membuat susu formula bayi.
Selalulah membasuh tanggan dengan air bersih (air yang dijerang atau tidak tercemar) dan sabun:
- Sebelum menyediakan atau makan makanan anda
- Pergi dan keluar daripada bilik air
- Selepas kerja pembersihan
- Selepas menguruskan barang-barang yang tercemar
- Air banjir atau loji
Jika air yang dididihkan atau tidak tercemar tidak ada, anda boleh menggunakan produk berasaskan alkohol untuk menyahkumankan tangan anda.
Jika anda mengalami luka yang terdedah pada air banjir:
- Pastikan ia kekal bersih dengan melindunginya dengan plaster dan membasuhnya dengan sabun.
- Dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor (seperti suntikan tetanus).
- Jika kemerahan, bengkak atau lelehan berlaku dapatkan rawatan segera
Ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk memastikan kanak-kanak dijauhi daripada penyakit yang disebabkan oleh banjir, dengan cara:
- Tidak membenarkan anak-anak bermain di kawasan banjir
- Membasuh tangan anak anda dengan kerap (setiap kali makan)
- Tidak membiarkan anak-anak anda bermain dengan permainan yang rosak atau tercemar dengan air banjir sehingga lah dinyahkuman.
Cara Untuk Menjaga Kesihatan Diri Ketika Berada di Pusat Pemindahan
- Pastikan anda minum air yang telah dimasak sahaja
- Elakkan daripada mengambil makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak atau ulam-ulaman. Hanya makan makanan yang telah dimasak sahaja.
- Tutup semua makanan dan jangan biarkan sebarang makanan daripada terdedah
- Pastikan kebersihan diri dan kawasan sekeliling terjaga
- Basuh tangan sebelum makan dan buang sampah di tempat sepatutnya
- Basuh tangan selepas menggunakan tandas dan gunakan tandas sebaik-baiknya
- Dapatkan suntikan vaksin mengikut arahan dan nasihat daripada doktor
- Sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah, dapatkan rawatan segera.
Risiko Penyakit ketika Banjir
Banjir yang membawa sampah sarap dan najis daripada loji dibawa oleh arus air banjir. Sampah dan bahan buangan bertaburan di merata-rata boleh menyebabkan pelbagai penyakit berjangkit.
Antara penyakit berjangkit yang boleh berlaku ketika atau selepas banjir adalah seperti, jangkitan pernafasan akut, sakit mata, leptospirosis, cirit-birit, disentri, hepatitis A, taun, demam kepialu, keracunan makanan, demam denggi, jangkitan kulit, measle, penyakit kaki, tangan dan mulut, malaria dan cacar air.
1. Penyakit Bawaan Air dan Makanan
Ia kerap berlaku semasa dan selepas banjir melanda. Antara penyakitnya adalah demam kepialu, taun, hepatits A, disentri dan keracunan makanan.
Simptom penyakit ini adalah seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala. Ia sangat mudah dijangkiti dan berbahaya, jadi ia sering dipantau dan dikawal oleh pihak berkuasa kesihatan.
Cara mengatasi jangkitan penyakit ini adalah dengan minum air kosong yang banyak serta elakkan daripada makan makanan yang tercemar.
2. Penyakit Leptosprosis
Bagi penyakit ini, ia disebabkan oleh bakteria Leptospira yang terdapat di dalam air kencing haiwan mamalia seperti lembu, anjing, kucing serta tikus.
Ia boleh menjangkiti manusia dengan sentuhan secara langsung pada air atau air banjir yang dicemari air kencing. Simptom leptospirosis adalah seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, kemerahan pada mata, sakit pada perut, sakit otot, ruam, jaundis dan air kencing berwarna gelap.
Cara mengatasi jangkitan penyakit ini adalah dengan mengelakkan diri daripada terdedah pada air banjir secara umumnya serta pastikan kebersihan diri sentiasa terjaga dan makan makanan yang bersih serta elakkan daripada bermain di dalam air banjir dan lopak.
3. Penyakit Konjunktivitis (Sakit Mata)
Ia adalah penyakit yang kerap terjadi semasa banjir. Konjunktivitis mudah merebak daripada satu pesakit ke pesakit yang lain dengan cepat melalui perkongsian barangan peribadi seperti tuala, bantal dan sapu tangan.
Malah bergaul rapat dengan individu yang sakit mata juga boleh menyebabkan jangkitan. Ia disebabkan oleh kuman (bakteria atau virus) atau alahan, berlakunya radang pada bahagian putih mata.
Simptom penyakit mata ini adalah seperti mata menjadi merah, berair serta pedih, tahi mata keluar secara berlebihan, rasa gatal pada mata dan mata sensitif terhadap cahaya.
Bagi mengatasi jangkitan penyakit ini adalah dengan sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air yang bersih apabila tersentuh mata atau sebarang permukaan, malah elakkan daripada bergaul rapat dengan individu yang sakit mata dan jangan berkongsi sama sekali sebarang barang peribadi mereka.
4. Demam Denggi
Apabila banjir mulai surut, pastinya terdapat banyak kawasan yang berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Demam denggi yang berpunca daripada nyamuk Aedes membawa simptom kepada individu dengan berlakunya demam mengejut, rasa sakit kepala yang teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot, sakit pinggang yang teruk atau digelar break-bone fever dan rasa gatal-gatal.
Antara tanda keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang merebak hampir keseluruhan tubuh. Mungkin juga anda mengalami gastritis serta sakit perut, mual, muntah atau cirit-birit.
Malah, pesakit juga boleh mendapat radang hati, radang otak di kalangan kanak-kanak dan juga kes yang luar biasa iaitu radang otot jantung. Ia mungkin berlarutan selama enam hingga tujuh hari, dan demam boleh kembali memuncak pada hujung demam.
Jadi setiap pihak mestilah bertanggungjawab memastikan tiada tempat yang menjadi tempat takungan air untuk pembiakan nyamuk Aedes.
Plastik, tin-tin minuman dan bekas makanan polisterin yang telah digunakan perlu dibuang dengan betul. Setiap penghuni rumah juga perlu memastikan persekitaran rumah mereka bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.
SUMBER
https://share.upmc.com/2016/09/flood-safety-tips/
https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/54-banjir
https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/emergencies-floods