Now Reading
Banyak negara telah mula melakukan ujian serologi imuniti dan ini adalah sebab mengapa Malaysia perlu memulakannya segera

Banyak negara telah mula melakukan ujian serologi imuniti dan ini adalah sebab mengapa Malaysia perlu memulakannya segera

ujian serologi imuniti
https://thepapergown.zocdoc.com/why-antibody-testing-matters-so-much-in-the-fight-against-coronavirus/

Setiap negara sedang mengambil langkah besar untuk menangani kes-kes COVID-19 yang seolah-olah tidak akan berkurangan dalam masa terdekat. Ia bermula dengan kes asal yang bermula di pasar makanan di Wuhan, China yang kemudian merebak ke negara-negara jiran kemudian ke seluruh dunia. Ini termasuklah Malaysia, yang pada masa itu mempunyai lebih daripada 3,600 kes (bertarikh pada hari Isnin, 6 April) dan mungkin terus meningkat hari demi hari. Dengan ketiadaan vaksin yang tersedia pada masa ini, virus ini telah membunuh lebih daripada 69,000 individu sejak maklumat tentangnya diketahui umum.

Wabak COVID-19 dikatakan serupa dengan SARS (Sindrom Pernafasan Akut yang teruk) dan mempunyai ciri utama iaitu demam dan masalah melibatkan gejala pernafasan. Tambahan pula, penyakit ini lebih banyak menyerang orang tua serta  pesakit dengan imun yang terkompromi penyakit tertentu.

Ujian serologi yang telah wujud sejak dahulu adalah berbeza dengan ujian yang sedang dilakukan sekarang iaitu ujian kesatan hidung atau nasal swab kerana kedua-duanya memerlukan sampel yang berlainan. Ujian serologi memerlukan sampel darah manakala ujian kesat ini memerlukan sampel daripada belakang hidung. Ujian nasal swab ini menggunakan pendekatan reaksi rantai polimerase (PCR) dapat mengesan jumlah genetik virus walaupun dalam jumlah yang sangat sedikit dalam sampel dengan menduplikasinya berkali-kali melalui proses pemeliharaan kompleks disebut amplifikasi.

Dalam erti kata yang lebih mudah, bahan genetik yang diperoleh digandakan sebanyak yang boleh sehingga para saintis mendapatkan keputusan yang tepat. Jadi, ianya berlainan dengan ujian serologi yang memfokuskan pada kandungan antibodi berbanding mencari bahan genetik tertentu.

Buat masa sekarang, ujian serologi sudah mendapat perhatian daripada banyak negara besar yang mula mengambil langkah besar dalam menjalankan ujian antibodi koronavirus di negara mereka sendiri. Pada dasarnya, ujian ini juga dikenali sebagai ujian serologi dan boleh dilakukan dengan mudah seperti mencucuk jari anda. Kit cucuk jari ini juga akan boleh didapati dari laman web luar seperti Amazon dan Boots tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, Malaysia belum lagi menjalankan ujian ini dan berikut adalah beberapa penjelasan mengapa kita harus memulakan ujian serologi imuniti di negara ini dengan segera.

Apakah itu ujian serologi?

Ujian serologi atau ujian antibodi adalah ujian yang dapat mengesan jika seseorang telah mendapat koronavirus sebelum ini dan telah pulih. Ujian ini dilakukan oleh alat yang menembusi jari anda untuk mengambil sampel darah, yang kemudian diuji bagi mengesan antibodi koronavirus. Ia dilakukan untuk melihat apakah antibodi itu telah mengalahkan virus ini dan mendapat kekebalan. Keseluruhan proses ini biasanya boleh dilakukan ini dalam masa kira-kira 15 minit.

Memandangkan lebih daripada 1 dalam 34,000 manusia di planet ini telah diuji positif dan kemudian pulih dari COVID-19, ini akan menjadi ujian yang hebat untuk mengetahui sama ada individu tersebut telah mecipta atau mengembangkan reaksi imuniti terhadap virus itu sendiri. Bilangan sebenar pesakit COVID-19 yang pulih terus meningkat setiap hari dan ini adalah berita yang sangat menggembirakan. Pada masa ini, Malaysia telah melepasi 1,000 kes yang pulih dan mendapat perhatian di seluruh dunia dengan seberapa cepat dan bertungkus lumusnya jabatan kesihatan di negara ini iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengendalikan wabak tersebut. Jumlah kes COVID-19 yang pulih di seluruh dunia pula dicatatkan pada lebih daripada 266 ribu (pada tarikh 6 April).

Pada masa ini, ujian serologi telah dilakukan oleh beberapa negara dengan lebih banyak kes berbanding Malaysia. Jadi, mari kita lihat pendekatan negara masing-masing satu demi satu.

1. Amerika Syarikat

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah memulakan ujian darah yang membantu menentukan jika seseorang telah terdedah kepada koronavirus, walaupun tanpa menunjukkan sebarang gejala. Dengan menganalisis sampel darah, para penyelidik akan dapat mengetahui jika seseorang telah mengembangkan antibodi tertentu dalam darah di mana mereka boleh dijangkiti virus ini tetapi berjaya sembuh.

Jika ada individu berjaya membangunkan reaksi perlindungan ini, mereka mungkin dapat memasuki aktiviti sosial dan tenaga kerja walaupun pada masa ini perintah kuarantin yang melibatkan berjuta-juta orang Amerika masih dijalankan.

Menurut pengurus insiden timbal balik bagi respon pandemik di CDC, Joe Bresee menyebut bahawa mereka baru mula melakukan ujian serologi ini dan akan melaporkan hasilnya dengan cepat. Uji kaji ini akan menyasarkan tiga kumpulan, dalam tiga fasa melibatkan:

  • Individu yang tinggal di tempat yang ‘hot spots’ dengan penyakit COVID-19, seperti New York dan Seattle, tetapi tidak didiagnosis.

  • Sampel daripada wakil rakyat yang tinggal di seluruh negara, serta di kawasan yang mempunyai kadar jangkitan berlainan.

  • Pekerja penjagaan kesihatan.

Ketika berjuta-juta orang Amerika terpaksa tinggal di rumah untuk mengikuti arahan “penjarakan sosial”, dengan mengenal pasti siapa yang terlindung daripada penyebaran penyakit itu boleh menjadi langkah pertama untuk membantu individu yang terjejas di seluruh dunia. Namun, ianya tidak diketahui sama ada antibodi terhadap virus ini akan dikaitkan dengan imuniti, seperti yang dilakukan dengan virus lain. Walaubagaimanapun, pakar yang mempelajari tentang penyakit ini berasa “sangat yakin” bahawa pesakit yang pulih akan mempunyai kekebalan terhadap COVID-19 pada masa hadapan.

CDC belum memberi petunjuk bahawa ujian serologi ini dijalankan dengan tujuan untuk mengembalikan masyarakat kepada pekerjaan mereka. Walau bagaimanapun, antibodi ini boleh memberi petunjuk utama tentang siapa yang boleh kembali bekerja dengan selamat. Ini mungkin adalah sangat penting terutama bagi pekerja penjagaan kesihatan memandangkan ketika ini, banyak hospital dan klinik menghadapi kekurangan kakitangan akibat koronavirus.

2. Jerman

Penyelidik Jerman merancang untuk menghantar ratusan ribu ujian koronavirus-antibodi pada minggu-minggu akan datang dalam usaha untuk membolehkan orang ramai membebaskan diri dari perintah ‘lockdown’ yang sedang berlaku. Rakyat Jerman yang disahkan menerima “sijil imuniti” boleh dibenarkan meninggalkan kawasan negara itu yang sedang ‘lockdown’ lebih awal berbanding penduduk lain jika mereka diuji positif bagi antibodi kepada virus itu.

Gerard Krause, pakar epidemiologi yang mengetuai projek itu menyebut bahawa individu yang kebal terhadap virus itu boleh diberikan sejenis “kad vaksinasi” yang membolehkan mereka dikecualikan daripada sekatan terhadap pekerjaan mereka. Ujian positif membolehkan individu itu meninggalkan kawasan tersebut sementara keputusan positif yang banyak membolehkan pihak kerajaan meringankan arahan sekatan di kawasan dengan “kumpulan yang berimuniti”.

Negara-negara di seluruh Jerman ketika ini berada dalam ‘lockdown’, dengan arahan kuaratin ketat yang dikenakan di beberapa bahagian negara tersebut. Oleh itu, keputusan yang baik daripada ujian ini mungkin dapat membantu sesetengah tempat untuk mempunyai sekatan yang kurang.

Sekiranya projek itu diluluskan, penyelidik akan menguji 100,000 orang pada satu masa bermula pada awal April seperti yang dilaporkan oleh majalah berita mingguan negara Jerman dipanggil ‘Der Spiegel’.

3. United Kingdom

Terdapat peningkatan minat dalam pembangunan dan penyediaan ujian antibodi, yang mungkin dapat membantu mencegah penyebaran koronavirus dengan lebih lanjut. Pada 19 Mac, Setiausaha Kesihatan United Kingdom, Matt Hancock menyebut dalam satu ‘tweet’ bahawa kerajaan sedang berunding untuk melakukan ujian jenis antibodi baru yang dapat memberitahu jika anda mempunyai virus dan kebal terhadapnya. Beliau juga menyebut bahawa kerajaan sedang merancang untuk membeli beratus-ratus ujian secepat yang mungkin.

Semasa sidang akhbar harian pada hari Selasa, 24 Mac, Setiausaha Kesihatan tersebut juga menyatakan bahawa kerajaan telah membeli tiga juta setengah ujian antibodi secara keseluruhan. Jika keputusan daripada ujian ini menunjukkan hasil yang baik, itu bermakna golongan dengan antibodi ini boleh kembali bekerja tanpa berasa bimbang bahawa mereka akan terdedah kepada virus itu lagi.

Selain itu, ujian serologi ini akan diberi keutamaan kepada pekerja NHS barisan hadapan sebaik sahaja ia tersedia. Pelaksanaan ujian antibodi yang dicadangkan akan membolehkan kakitangan NHS mengetahui sama ada mereka telah terdedah dengan virus itu dan boleh kembali bekerja walaupun pengasingan diri perlu dilakukan.

Tetapi, seperti semua ujian lain, Ketua Eksekutif Penyedia NHS, Chris Hopson berkata bahawa ujian antibodi kini masih dalam fasa percubaan. Oleh itu, ia akan mengambil sedikit masa untuk mendapatkan hasil yang positif daripada ujian tersebut. Pengarah Kesihatan Awam England baru-baru ini berkata bahawa kit ujian di rumah akan disediakan kepada orang ramai dalam tempoh beberapa hari.

4. Hong Kong

Kembalinya warga Hong Kong yang  dari luar negara baru-baru ini telah meningkatkan jumlah kes COVID-19 iaitu lebih daripada 900 kes pada masa ini. Malik Peiris, Pengerusi Profesor Virologi di Universiti Hong Kong mengatakan di South China Morning Post bahawa beliau percaya bilangan sebenar kes COVID-19 mungkin adalah lebih tinggi dan meminta kerajaan menawarkan sokongan yang lebih kuat untuk bidang penyelidikan.

Beliau juga berkata dalam wawancara baru-baru ini bahawa, “Satu-satunya cara untuk mengetahui berapa besar “aisberg” atau yang dimaksudkan sebagai wabak COVID-19 adalah dengan melakukan ujian serologi”. Tidak seperti ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang kini digunakan untuk mengenal pasti kes-kes yang individu telah dijangkiti, ujian serologi dapat mengenal pasti sama ada jangkitan koronavirus telah berlaku walaupun selepas seseorang pulih dari penyakit tersebut.

Walaupun pengujian PCR untuk mendiagnosis pesakit yang dijangkiti masih penting dan perlu dilaksanakan, ujian antibodi ini akan memberikan para saintis satu anggaran yang lebih jelas tentang betapa parahnya pandemik yang sedang berlaku. Penemuan ini juga memberi penerangan tentang sejauh mana individu menjadi kebal terhadap virus atau apa yang disebut ‘kumpulan kekebalan’ (suatu bentuk perlindungan tidak langsung yang dicapai apabila peratusan besar penduduknya menjadi kebal) telah dicapai.

Walaupun saintis di seluruh dunia berlumba-lumba untuk membangunkan vaksin dan mencari penawar untuk koronavirus, penyelidikan COVID-19 di Hong Kong agak perlahan kerana mereka tidak mempunyai pembiayaan khusus dari kerajaan. Oleh itu, para penyelidik terpaksa menggunakan pembiayaan sebelum yang dikhaskan untuk tujuan lain bagi menampung kos penyelidikan. Peiris juga menambah bahawa para penyelidik Hong Kong berulang kali melakukan penyediaan sebegini dan mereka juga adalah antara saintis yang terkemuka di dunia apabila ia melibatkan penyelidikan virus baru. Maka, penyediaan dana yang cepat akan menjadi sangat penting untuk melaksanakan penyelidikan ketika ini.

Bagaimanakah ujian itu boleh menjadi satu bentuk bantuan kepada negara kita?

Walaupun bilangan kes di Malaysia meningkat setiap hari, namun begitu juga dengan kes-kes pesakit yang pulih. Keadaan imun individu yang pulih ini menjadikan mereka calon yang ideal untuk konsep yang diharapkan boleh membantu mengisi jurang dalam perkhidmatan awam, melindungi individu yang terdedah kepada jangkitan, membantu memetakan penyebaran virus dan memberi pasukan perubatan ruang untuk bernafas.

Mengenal pasti “tentera” ini haruslah menjadi keutamaan negara buat masa sekarang. Jabatan kesihatan perlu mengenal pasti seberapa banyak individu yang imun sebanyak yang mungkin, kemudian mengesahkan kekebalan mereka dalam cara yang rasmi dan saling beroperasi. Golongan ini dikerahkan ke kedudukan utiliti yang maksimum. Ianya adalah sama seperti kita sedang berperang kerana individu masing-masing bertanggungjawab untuk membantu negara memandangkan imuniti yang mereka punyai itu datang dengan tanggungjawab yang berat.

Walaupun ianya masih terlalu awal untuk mengetahui tempoh imuniti yang tepat untuk virus ini, ujian serologi telah menunjukkan respon antibodi di kalangan yang dilindungi. Ujian tersebut masih diuji secara klinikal di institusi terkemuka hari ini. Oleh itu, jika ia membawa keputusan yang baik, Malaysia sepatutnya mempertimbangkan untuk menjalankan ujian ini sebelum jumlah kes COVID-19 meningkat dengan lebih tinggi lagi. Ia adalah seperti daripada kita mengukur kehadiran virus, kita juga kini mungkin sudah hampir mencari kehadiran perisai badan terhadap virus itu sendiri. Fikirkan sejauh mana hal ini dapat membantu orang lain jika ia berfungsi seperti tujuan asalnya.

Potensi menaikkan semula ekonomi melalui pemulihan dan kekebalan adalah satu manfaat yang diinginkan oleh mana-mana negara sekarang. Dengan ekonomi semasa yang perlahan  gara-gara wabak COVID-19 di Malaysia, negara kita perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk membina ekonominya semula secepat mungkin.

Mengapa Malaysia perlu mula melakukan ujian serologi SECEPATNYA?

Setakat ini, kebanyakan pesakit yang diuji untuk COVID-19 perlu mendapatkan kesatan hidung untuk melihat sama ada dirinya positif atau negatif bagi virus itu. Namun kini, alat ujian baru sedang menunjukkan dirinya pada dunia untuk membantu meneliti antibodi yang dihasilkan sebagai tindak balas kepada COVID-19. Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya mengendalikan kes-kes COVID-19 dengan sangat cekap, namun ia boleh menjadi idea yang baik untuk mengambil pendekatan baru dalam hal ini memandangkan banyak negara lain juga sudah mula menggunakan ujian ini.

Ramai yang tidak akan pernah berfikir bagaimana ujian serologi adalah lebih bermanfaat berbanding ujian kesat semasa, jadi mari kita lihat beberapa faedah mengapa Malaysia sepatutnya mempertimbangkan ujian serologi.

  • Ujian imunoglobin dapat mengenal pasti tahap apa yang anda miliki bagi penyakit ini. Sekiranya anda mempunyai IgM terhadap virus itu, tetapi bukan IgG, maka anda boleh mengandaikan bahawa anda mempunyai pendedahan tersebut baru-baru ini.

  • Ujian serologi boleh memberi keputusan sepantas 3 hingga 4 hari berbanding ujian kesat yang boleh mengambil masa selama satu minggu atau lebih.

  • Keputusan dari ujian itu boleh menyelamatkan nyawa orang lain melalui proses transfusi kerana ujian serologi melibatkan analisis darah yang diambil dari urat.

  • Keputusan ujian serologi boleh membantu Kementerian Kesihatan Negara (KKM) untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana virus itu merebak terutamanya sejak kes-kes asimtomatik COVID-19 nampaknya lebih biasa berlaku berbanding apa yang dijangkakan oleh pakar epidemiologi pada asalnya.

TUNTASNYA,

Walaupun beberapa ujian telah dilaporkan menunjukkan keputusan positif yang palsu, dan hanya mengesan antibodi kepada virus lain yang lebih biasa berbanding koronavirus, ini pastinya merupakan permulaan untuk penemuan yang lebih baik mengenai wabak COVID-19 pada saat ini.

Dalam minggu-minggu akan datang, memandangkan ujian ini diperhalusi dan tekanan untuk meluluskan mereka untuk digunakan dalam tetapan pesakit luar semakin meningkat, ia pasti akan dihasilkan secara besar-besaran dan diimport dari luar negara kepada berjuta-juta rakyat di seluruh dunia.

Daripada memikirkan imuniti sebagai titik pemeriksaan individu dalam perjalanan membolehkan mereka kembali ke alam pekerjaan yang mungkin tidak lagi ada, fikirkannya sebagai sesuatu yang lebih berkuasa di mana ia boleh mempercepat proses pemulihan dengan menggerakkan tentera sukarelawan untuk melindungi negara.

SUMBER

https://www.vox.com/science-and-health/2020/4/5/21208630/coronavirus-cdc-blood-test-immunity-serological-cellex

https://www.malaysia-today.net/tag/antibody-test/

https://www.independent.co.uk/life-style/health-and-families/coronavirus-antibody-test-what-is-it-virus-blood-nhs-matt-hancock-covid-19-a9423571.html

https://www.scmp.com/news/hong-kong/health-environment/article/3078499/coronavirus-hong-kong-virologist-calls-wide-scale

https://www.wired.com/story/to-beat-the-coronavirus-raise-an-army-of-the-recovered/

error: Content is protected !!