Now Reading
Batuk Kokol (Whooping Cough) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Batuk Kokol (Whooping Cough) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

batuk kokol

Batuk Kokol, atau juga digelar sebagai Pertussis adalah sejenis jangkitan serius pada sistem pernafasan yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dipanggil Bordetella pertussis. Jangkitan ini menyebabkan batuk yang agresif, tidak dapat dikawal sehingga boleh mengakibatkan seseorang individu mengalami kesukaran untuk bernafas.

Keadaan ini boleh menjejaskan individu pada sebarang peringkat usia dan ia boleh mengancam nyawa bayi dan kanak-kanak.

Simptom Batuk Kokol

Pada mulanya, masalah batuk ini mempunyai simptom yang sama seperti selesema biasa seperti:

• Batuk ringan

• Bersin

• Hidung berair

• Demam bersuhu rendah (di bawah 102 F)

Anda juga mungkin mengalami cirit-birit diiringi dengan demam. Selepas 7-10 hari, batuk anda akan berubah menjadi batuk berterusan yang selalunya berakhir dengan bunyi tercungap-cungap apabila seseorang itu cuba untuk bernafas semula. Oleh kerana batuk kering ini tidak menghasilkan lendir, batuk berterusan boleh bertahan selama 1 minit. Kadangkala, ia boleh menyebabkan wajah pesakit bertukar menjadi merah atau ungu.

Ramai pesakit mengalami keadaan batuk berterusan tetapi tidak semua daripada mereka mengalaminya terutamanya, bayi. Bayi mungkin tidak mengeluarkan bunyi berselang batuk, tetapi mereka mungkin akan kelihatan tercungap atau mengah sementara batuk ini berterusan. Sesetengah daripada mereka pula mungkin mengalami muntah-muntah.

Punca Batuk Kokol

Bakteria Bordetella pertussis adalah sejenis bakteria yang menyebabkan masalah batul ini. Manusia merupakan satu-satunya sasaran yang diketahui bagi bakteria ini. (Ini bermakna ia hanya boleh menjangkiti dan berkembang biak pada manusia)

• Keadaan ini merebak melalui sentuhan pada titisan yang dihasilkan oleh seseorang dengan penyakit ini atau sentuhan pada barang kelengkapan yang dicemari bakteria ini. Kemudian, bakteria B. pertussis berkembang dalam sistem pernafasan di mana ia menghasilkan toksin yang merosakkan rambut kecil (silia) yang diperlukan untuk menghilangkan partikel zarah dan serpihan selular yang biasanya masuk ke dalam ruang pernafasan melalui setiap nafas. Keadaan ini mengakibatkan pesakit mengalami keradangan pernafasan yang meningkat dan batuk kering, yang merupakan salah satu simptom jangkitan. Batuk Kokol boleh berjangkit selama tujuh hari selepas pendedahan kepada bakteria sehinggalah tiga minggu selepas bermulanya batuk-batuk. Tempoh berjangkit yang paling aktif adalah semasa peringkat awal penyakit.

• Pada mulanya penyakit masalah batuk ini dianggap sebagai penyakit zaman kanak-kanak, namun begitu kajian menunjukkan bahawa individu dewasa yang terdedah kepada Batuk Kokol menyumbang sehingga 25% daripada kes yang berlaku. Penyakit ini cenderung lebih ringan pada individu dewasa dan remaja dengan batuk yang berterusan atau selesema biasa berbanding bayi dan kanak-kanak. Oleh kerana perbezaan antara keduanya adalah sangat halus, para doktor sering terlepas pandang diagnosis Batuk Kokol justeru membolehkan bakteria tersebar kepada bayi dan kanak-kanak yang lebih mudah terjejas.

• Kadar penularan Batuk Kokol adalah sangat tinggi. Ahli keluarga di rumah yang tidak diimunisasi apabila bersentuhan dengan individu yang mengalami Batuk Kokol,berisiko mendapat penyakit tersebut. Malahan, di kalangan individu lain yang telah diimunisasi yang tinggal di rumah yang sama, mereka juga boleh menghidap Batuk Kokol akibat dari pendedahan yang melampau. Malangnya, kes seperti ini jarang dilaporkan.

• Faktor risiko untuk Batuk Kokol termasuklah pendedahan kepada batuk atau bersin daripada pesakit yang dijangkiti atau menyentuh permukaan yang digunakan oleh pesakit yang dijangkiti. Mencuci tangan dengan kerap dan penggunaan topeng muka dapat membantu mengurangkan kemungkinan bakteria merebak kepada seluruh ahli keluarga yang lain apabila seseorang menghidap Batuk Kokol. Selain itu, elakkan juga  daripada menyentuh hidung atau mulut dengan tangan yang kotor.

Diagnosis Batuk Kokol

Untuk mendiagnosis keadaan ini, doktor akan melakukan ujian fizikal dan mengambil sampel lendir dari dalam hidung dan tekak anda. Sampel-sampel ini kemudiannya akan diuji di makmal bagi mengesan sebarang kehadiran bakteria B. pertussis. Ujian darah juga perlu dijalankan untuk mengesahkan diagnosis yang tepat.

Faktor Risiko Batuk Kokol

Vaksin Batuk Kokol yang anda terima sejak kanak-kanak berkemungkinan untuk habis. Keadaan ini telah mengakibatkan ramai individu remaja dan dewasa terdedah  kepada jangkitan semasa wabak berlangsung.

Bayi yang berusia lebih muda dari 12 bulan yang mengalami sebarang gangguan keadaan lain atau tidak menerima set lengkap vaksin yang dikatakan mempunyai risiko tertinggi untuk mengalami komplikasi dan kematian.

Rawatan Batuk Kokol

Bayi yang dijangkiti biasanya akan dimasukkan ke hospital untuk dirawat kerana Batuk Kokol lebih berbahaya bagi mereka. Jika anak anda tidak dapat minum atau makan, cecair intravena mungkin diperlukan olehnya. Anak anda juga akan diasingkan daripada individu/kanak-kanak lain untuk mencegah jangkitan daripada merebak.

Rawatan untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih berusia pula biasanya boleh diuruskan di rumah sahaja.

Ubat-ubatan

Antibiotik boleh membunuh bakteria yang menyebabkan Batuk Kokol dan membantu mempercepatkan pemulihan. Malah, ahli keluarga yang terdedah terhadap jangkitan juga boleh diberikan antibiotik sebagai langkah pencegahan.

Malangnya, tidak banyak rawatan yang boleh dilakukan untuk melegakan simptom Batuk Kokol. Ubat batuk di farmasi hanya mendatangkan sedikit kesan kepada Batuk Kokol dan ia adalah tidak digalakkan.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/whooping-cough/symptoms-causes/syc-20378973

https://www.cdc.gov/pertussis/about/signs-symptoms.html

https://www.webmd.com/children/whooping-cough-symptoms-treatment#1

error: Content is protected !!