BUENOS AIRES: Bintang Real Madrid dari Perancis, Karim Benzema berhak menang Ballon d’Or, kata pemenang tujuh kali anugerah berkenaan, Lionel Messi.
Benzema amat penting ketika Madrid menang Liga Juara-Juara musim ini selepas kejayaan 1-0 menewaskan Liverpool di Paris awal pagi Ahad lalu.
Walaupun dia tidak menjaringkan gol pada final, dua hatrik Benzema pada pusingan kalah mati bermula dengan tiga gol dalam 17 minit berdepan skuad dketuai Messi, Paris Saint-Germain untuk menukar defisit 2-0, penting bagi mendapatkan rentak buat kelab Sepanyol itu.
“Tidak ragu lagi, sangat jelas bahawa Benzema melalui tahun yang menakjubkan dan ia diakhiri dengan dia menang Liga Juara-Juara,” kata Messi kepada siaran televisyen Argentina, TyC Sports.
“Dia amat penting sejak aksi 16 terakhir dalam setiap perlawanan dan saya rasa tiada keraguan bahawa Benzema berhak menang Ballon d’Or.
Messi bercakap beberapa hari menjelang pertemuan persahabatan dengan Itali dekat Stadium Wembley antara dua juara benua itu.
Perlawanan antara pemenang Copa America dari Amerika Selatan itu dan juara Eropah berkenaan dikenali sebagai “Finalissima.”
Namun ketika Argentina mara ke Piala Dunia Qatar berbaki beberapa perlawanan, Itali gagal apabila kalah kepada Macedonia Utara dalam playoff.
“Apa yang terjadi kepada Itali ialah sesuatu yang gila, selepas menang Euro dan tidak berada di Piala Dunia melihat kepada sejarah mereka di Piala Dunia,” katanya. – AFP
Sumber : Berita Harian