Now Reading
Berdengkur (Snoring) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Berdengkur (Snoring) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Rich results on Google's SERP when searching for 'Berdengkur'

Berdengkur adalah pernafasan yang berbunyi semasa anda tidur. Ia adalah keadaan biasa yang boleh menjejaskan sesiapa pun, namun ia berlaku lebih kerap pada lelaki dan individu yang mempunyai berat badan berlebihan. Berdengkur cenderung menjadi lebih buruk seiring usia.

Namun begitu, berdengkur sekali-sekala biasanya bukanlah masalah yang serius. Ia mungkin hanya menjadi gangguan kepada rakan kongsi katil anda. Tetapi jika anda seorang pendengkur dalam jangka masa panjang, anda bukan sahaja mengganggu corak tidur individu terdekat dengan anda, malah anda akan menjejaskan kualiti tidur anda sendiri.

Berdengkur boleh menjadi simptom masalah kesihatan seperti Apnea Tidur Obstruktif. Jika anda berdengkur dengan kerap atau sangat kuat, anda mungkin memerlukan bantuan perubatan supaya anda dan orang tersayang dapat tidur dengan nyenyak.

Simptom Berdengkur

Berdengkur sering dikaitkan dengan gangguan tidur yang digelar sebagai Apnea Tidur Obstruktif (Obstructive Sleep Apnea). Bukan semua pendengkur mengalami Apnea Tidur Obstruktif, tetapi jika berdengkur diiringi oleh mana-mana simptom berikut, ia mungkin menjadi petunjuk supaya anda berjumpa doktor untuk melakukan penilaian lanjut mengenai Apnea Tidur Obstruktif:

• Nafas terhenti semasa tidur

Mengantuk berlebihan pada siang hari

• Kesukaran menumpukan perhatian

• Sakit kepala pada waktu pagi

• Sakit kerongkong semasa bangun dari tidur

• Tidur yang tidak nyenyak

• Termengah-mengah atau tercekik pada waktu malam

• Tekanan darah tinggi

• Kesakitan di dada pada waktu malam

• Dengkuran anda sangat kuat dan mengganggu tidur pasangan anda

• Di kalangan kanak-kanak, mereka kelihatan seperti kurang perhatian dan mengalami masalah tingkah laku atau prestasi buruk di sekolah

Apnea Tidur Obstruktif sering dicirikan dengan dengkuran yang kuat diikuti dengan tempoh ‘sunyi’ apabila pesakit berhenti bernafas atau hampir berhenti bernafas. Akhirnya, pengurangan atau jeda dalam pernafasan ini boleh memberi isyarat kepada anda untuk bangun, dan anda akan bangun dengan bunyi seperti termengah-mengah.

Punca Berdengkur

Sewatu anda bangun, tisu di saluran tekak dan saluran udara atas dibuka untuk udara masuk dengan mudah ke dalam paru-paru.

Semasa tidur, tisu lembut dan lidah anda berehat serta sebahagiannya menghalang saluran udara.

Jika udara yang masuk dan keluar dari saluran udara mendapat rintangan yang cukup, maka getaran atau dengkuran akan berlaku.

Obesiti, merokok, minum alkohol, atau mengalami kesesakan hidung yang kerap boleh meningkatkan risiko Berdengkur biasa. Berdengkur dikatakan mempengaruhi 44 peratus lelaki dan 28 peratus wanita berusia di antara 30 hingga 60 tahun.

Berdengkur boleh menunjukkan keadaan perubatan seperti:

  • Apnea Tidur Obstruktif (Obstructive Sleep Apnea)
  • Penyakit Kencing Manis Jenis 2
  • Penyakit Kardiovaskular
  • Obesiti
  • Sinus Atau Masalah Hidung

Berdengkur dikaitkan dengan penebalan dinding arteri karotid, yang membawa darah ke otak. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko Strok.

Apnea Tidur

Apnea Tidur boleh menyebabkan keadaan Berdengkur di mana seseorang mungkin kelihatan berhenti bernafas untuk beberapa waktu di antara dengkuran dan mereka mungkin menghasilkan bunyi seperti tercekik atau termengah-mengah.

Selain berdengkur kuat, Apnea Tidur boleh membawa kepada simptom berikut:

• Mengantuk Di Siang Hari

• Insomnia

• Sakit Kepala Pada Waktu Pagi

• Kesukaran Untuk Menumpukan Atau Mengingati Beberapa Perkara

• Kesengsaraan

• Libido Rendah Atau Kurang Keinginan Seksual

Sesiapa yang mengalami simptom ini perlu berjumpa dengan doktor, kerana Apnea Tidur boleh menjadi simptom yang berkaitan dengan keadaan lain, seperti Tekanan Darah Tinggi, Hipotiroidisme dan Acromegaly.

Berdengkur dan Apnea juga meningkatkan kemungkinan tidur anda terganggu. Ini boleh menyebabkan keletihan dan kesukaran menumpukan perhatian. Ia juga boleh meningkatkan risiko beberapa masalah kesihatan mental.

Pakar perubatan atau pergigian mungkin dapat membantu menentukan punca dan rawatan yang sesuai untuk menghentikan dengkuran.

Diagnosis Berdengkur

Untuk mendiagnosis keadaan anda, doktor akan menyemak tanda dan simptom pada anda serta sejarah perubatan anda. Doktor juga akan melakukan pemeriksaan fizikal.

Doktor boleh bertanya kepada pasangan anda mengenai beberapa soalan tentang masa dan bagaimana anda berdengkur untuk membantu menilai tahap keseriusan masalah yang anda alami. Sekiranya anak anda menderita dengkuran ini, anda akan ditanya mengenai keseriusan dengkuran anak anda.

– Ujian Pengimejan

Doktor boleh meminta ujian pengimejan untuk dilakukan, seperti sinaran-X, imbasan tomografi berkomputer atau pengimejan resonans magnetik. Ujian ini memeriksa struktur saluran udara anda untuk mengenalpasti masalah seperti septum yang menyimpang.

Kajian tidur

Bergantung kepada keparahan dengkuran dan simptom-simptom lain, doktor mungkin akan melakukan kajian tidur. Kajian tidur kadangkala boleh dilakukan di rumah.

Walau bagaimanapun, bergantung kepada masalah perubatan anda yang lain dan simptom gangguan tidur yang lain, anda mungkin perlu bermalam di pusat tidur untuk menjalani analisis yang mendalam mengenai pernafasan anda semasa tidur melalui ujian yang dipanggil polysomnography.

Sewaktu polysomnography dijalankan, anda akan disambungkan kepada banyak sensor dan anda akan diperhatikan semalaman. Semasa ujian tidur berlangsung, maklumat berikut akan direkodkan:

• Gelombang otak

• Tahap oksigen darah

• Kadar degupan jantung

• Kadar pernafasan

• Tahap tidur

• Pergerakan mata dan kaki

Faktor Risiko Berdengkur

Faktor risiko yang mungkin menyumbang kepada Berdengkur termasuklah:

• Jantina. Lelaki lebih cenderung untuk Berdengkur atau mengalami Apnea Tidur berbanding wanita.

Berat badan berlebihan. Individu yang berlebihan berat badan atau gemuk lebih cenderung untuk berdengkur atau mengalami Apnea Tidur.

• Mempunyai saluran udara yang sempit. Sesetengah pesakit mungkin memiliki lelangit yang lembut, atau tonsil besar atau adenoid yang boleh menyempitkan saluran udara dan menyebabkan dengkuran.

• Minum alkohol. Alkohol merehatkan otot tekak anda lalu meningkatkan risiko Berdengkur.

• Mempunyai masalah hidung. Sekiranya anda mempunyai kecacatan struktur dalam saluran pernafasan anda seperti septum yang menyimpang atau hidung anda tersumbat secara kronik, maka risiko Berdengkur anda akan lebih besar.

Mempunyai riwayat keluarga yang Berdengkur atau mengalami Apnea Tidur. Keturunan adalah faktor risiko yang berkait rapat dengan Apnea Tidur Obstruktif.

Rawatan Berdengkur

Untuk merawat dengkuran anda, doktor mungkin akan mencadangkan perubahan gaya hidup, seperti:

• Menurunkan berat badan

• Menghindari alkohol berhampiran waktu tidur

• Mengubati kesesakan hidung

• Mengelakkan kekurangan tidur

• Mengelakkan tidur secara terlentang

Untuk dengkuran yang disertai oleh Apnea Tidur Obstruktif, doktor mungkin mencadangkan:

• Peralatan oral. Peralatan oral adalah menggunakan alat yang membentuk mulut serta membantu memperbaiki posisi rahang, lidah dan selaput lembut untuk memastikan laluan udara terbuka.

Sekiranya anda memilih untuk menggunakan peralatan oral, anda perlu bekerjasama dengan pakar pergigian anda untuk mengoptimumkan kesesuaian dan kedudukan peralatan yang betul. Anda juga perlu bekerjasama dengan pakar tidur untuk memastikan peralatan tersebut berfungsi sebagaimana yang sepatutnya. Lawatan pergigian mungkin perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan pada tahun pertama, dan sekurang-kurangnya setiap tahun selepas itu, untuk mendapatkan pemeriksaan yang sesuai dan untuk menilai kesihatan mulut anda.

Air liur yang berlebihan, mulut kering, sakit rahang dan ketidakselesaan muka adalah kesan sampingan yang mungkin berlaku dari pemakaian peralatan ini.

• Tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP). Pendekatan ini melibatkan pemakaian topeng di hidung atau mulut semasa anda tidur. Topeng ini menyalurkan udara bertekanan dari mesin pam kecil yang diletakkan di tepi katil ke saluran udara anda untuk memastikan ia dibuka semasa tidur.

Mesin ini membantu menghilangkan dengkuran dan paling kerap digunakan untuk merawat masalah Berdengkur apabila dikaitkan dengan Apnea Tidur Obstruktif.

Walaupun mesin CPAP adalah kaedah yang paling sesuai dan berkesan untuk merawat Apnea Tidur Obstruktif, sesetengah individu berasa tidak selesa atau mengalami masalah menyesuaikan diri dengan bunyi atau keadaan mesin itu.

• Pembedahan saluran udara atas. Terdapat beberapa prosedur yang bertujuan untuk membuka saluran udara atas dan mencegah penyempitan yang ketara semasa tidur melalui pelbagai teknik.

Contohnya, dalam prosedur yang dipanggil uvulopalatopharyngoplasty (UPPP), anda diberikan anestetik umum dan pakar bedah anda akan mengetatkan tisu yang berlebihan dari kerongkong. Satu lagi prosedur yang dipanggil maxillomandibular advancement (MMA) melibatkan pemindahan rahang atas dan bawah ke hadapan, yang membantu membuka saluran udara.
Ablasi tisu radiofrekuensi pula menggunakan isyarat radiofrekuensi berintensiti rendah untuk mengecilkan tisu di lelangit lembut, lidah atau hidung anda.

Selain itu, teknik pembedahan baru yang dikenali sebagai rangsangan saraf hypoglossal menggunakan rangsangan pada saraf yang mengendalikan gerakan lidah ke hadapan, sehingga lidah tidak lagi menghalang saluran pernafasan ketika anda bernafas.

Sumber:

https://www.webmd.com/sleep-disorders/sleep-apnea/snoring

https://www.healthline.com/health/snoring-remedies

https://en.wikipedia.org/wiki/Snoring

https://www.sleepfoundation.org/articles/common-causes-snoring

error: Content is protected !!