Now Reading
Berus gigi elektrik – Adakah ia lebih baik daripada berus gigi manual?

Berus gigi elektrik – Adakah ia lebih baik daripada berus gigi manual?

berus gigi elektrik

Para saintis mendapati bahawa individu yang menggunakan berus gigi elektrik mempunyai gusi yang lebih sihat, kurang masalah kerosakan gigi dan juga mempunyai ketahanan gigi yang lebih baik jika dibandingkan  dengan mereka yang menggunakan berus gigi manual.

Ini adalah masalah yang boleh menyebabkan banyak perdebatan, tetapi adakah berus gigi elektrik lebih berkesan daripada berus gigi manual? Apakah pendapat anda tentang hal ini?

Berus gigi elektrik VS berus gigi manual

Berus gigi elektrik melakukan banyak tugas untuk anda, dengan putaran kuasa yang membantu melonggarkan plak. Ini boleh memberi manfaat besar bagi penghidap arthritis atau keadaan lain yang boleh membataskan ketangkasan.

Malah, julat kelajuan yang boleh berubah juga dapat membantu individu dengan gigi dan gusi sensitif, dan beberapa berus gigi elektrik yang lebih mahal bahkan mempunyai lampu peringatan yang bertindak sebagai amaran jika terlalu banyak tekanan digunakan.

Berbeza pula dengan berus gigi manual, ia dapat membantu anda agar mempunyai lebih banyak kawalan terhadap proses memberus gigi, termasuk seberapa banyak tekanan yang digunakan pada gigi sendiri. Ini sangatlah berguna bagi individu dengan gigi dan gusi yang sensitif, yang dapat bertindak balas terhadap rasa tidak selesa dengan tekanan yang berlebihan.

Salah satu faedah lain menggunakan berus gigi manual pula adalah terdapatnya pelbagai pilihan di pasaran. Anda boleh mendapatkan berus berus gigi bersaiz besar, sederhana atau kecil, serta alat berguna di bahagian belakang berus gigi untuk membantu mengekalkan lidah yang bersih.

Oleh itu, perlukah anda memilih berus gigi elektrik daripada yang biasa?

Bagi kebanyakan individu, berus gigi elektrik adalah pilihan terbaik. Mereka menjadikan aktiviti berus gigi lebih mudah, dan individu suka bagaimana mulut mereka terasa selepas memberus gigi.

Selain itu, berus gigi elektrik juga merupakan pilihan yang baik untuk kanak-kanak, terutamanya jika mereka memakai pendakap gigi. Memandangkan ibu bapa sudah menghabiskan banyak wang untuk rawatan pergigian anak mereka, jika anak-anak tidak memberus gigi dengan betul, mereka akan mendapat tompokan putih di mana ‘brackets’ berada.

Seterusnya, pesakit lanjut usia dengan masalah pergerakan juga boleh mendapat manfaatnya dengan penggunaan berus gigi elektrik. Ramai pesakit yang lebih tua tidak dapat menggerakkan tangan dengan cara yang efisien, jadi jika mereka menggunakan berus gigi manual, mereka mungkin akan meninggalkan plak di bahagian-bahagian tertentu.

Justeru itu, berus gigi versi elektrik akan membersihkan gigi dengan baik untuk mereka. Selagi mana mereka mendekati tempat yang sepatutnya, ia akan menghilangkan plak dan membantu mencegah masalah pergigian lain.

Walaupun banyak pakar kebersihan menyokong dengan penggunaan berus gigi elektrik, itu tidak bermakna mereka tidak melihat faedah yang diberikan oleh versi manual. Dengan cara itu, jika individu tidak dapat membeli berus gigi elektrik atau tidak memerlukannya, mereka masih boleh membeli berus gigi biasa yang akan membantu meningkatkan kesihatan mulut mereka.

Sekarang, berapa kerap anda harus menukar berus gigi?

Dengan berus gigi elektrik dan manual, anda mesti menukar berus gigi atau kepala berus setiap tiga bulan. Sekiranya anda kini menjalani rawatan pergigian, anda perlu menukar berus gigi dengan lebih kerap, iaitu setiap enam hingga lapan minggu sekali.

Bagaimana cara menggosok gigi dengan betul?

Bahagian terpenting dalam menggosok gigi adalah menggunakan teknik yang betul, dan melakukannya dua kali sehari, setiap hari. Kaedah terbaik untuk menggosok gigi adalah dengan:

  • Memilih berus gigi dengan ukuran yang tepat untuk mulut anda.
  • Mengelakkan berus keras yang boleh mengganggu gusi anda. Jadi, gunakan berus gigi dengan bulu lembut.
  • Menggunakan ubat gigi fluorida.
  • Memegang berus pada sudut 45 darjah ke gigi dan gusi anda.
  • Memberus secara perlahan-lahan pada semua permukaan gigi (depan, belakang, mengunyah) selama dua minit.
  • Membilas berus gigi dan simpan secara menegak hingga kering. Jauhkan ia dari bahagian tandas yang boleh menyemburkan kuman semasa pembilasan.
  • Melakukan ‘floss’ sekali sehari, sama ada selepas atau sebelum memberus gigi.
  • Menggunakan pembilas mulut adalah satu pilihan dan tidak boleh menggantikan lakuan ‘floss’ atau memberus gigi biasa.

Kadangkala, individu boleh mengalami gusi berdarah apabila terlalu lama tidak memberus gigi atau melakukan ‘floss’ kerana plak sudah mula terbentuk. Jadi, selagi anda memberus gigi dengan lemah lembut, ia tidak semestinya akan menyebabkan pendarahan.

KESIMPULANNYA,

Secara ringkas, kedua-dua berus gigi standard dan elektrik boleh digunakan dengan tujuan yang sama iaitu untuk menjaga kebersihan mulut dan gigi anda. Kuncinya adalah memberus dan membersihkan bahagian gigi dengan benang setiap hari, tanpa mengira jenis berus yang anda suka.

Kedua-dua jenis berus gigi mempunyai kelebihannya tersendiri tetapi kedua-duanya masih menyelesaikan tugasnya seperti menghilangkan plak, jika digunakan dengan betul.

Mencari berus gigi yang betul akan membantu anda mendapatkan mulut yang bersih dan segar serta membantu anda memahami faedah menjaga kesihatan mulut dengan baik.

SUMBER

https://www.dentalhealth.org/news/electric-toothbrushes-win-the-head-to-head-against-manual-in-record-breaking-new-study

https://s4be.cochrane.org/blog/2018/11/02/electric-vs-manual-toothbrushes-whats-the-evidence/

https://www.healthline.com/health/dental-and-oral-health/electric-toothbrush-vs-manual#use

https://orthodonticsaustralia.org.au/electric-or-manual-toothbrush/

error: Content is protected !!