Badan kita memerlukan tempoh tertentu untuk menjadi biasa dengan perubahan yang dilakukan. Maka, kesan buruk diet keto juga boleh terjadi.
Selepas hari ketiga atau keempat dalam diet keto, anda akan memasuki fasa ketosis kerana kadar glukos perlu dihabiskan dalam badan dahulu.
Diet keto tidaklah mendorong kepada kesan sampingan negatif setiap masa, tetapi sesiapa yang mempertimbangkan diet ini buat jangka masa panjang haruslah berhati-hati akan kesannya.
Jadi, mari kita ketahui kesan buruk diet keto terutamanya bagi mereka yang baru berjinak dengan diet ini.
1. Kesan Buruk Diet Keto – Selesema keto
Salah satu kesan buruk diet keto yang paling cepat berlaku selepas seseorang memulakan diet keto adalah ‘selesema keto’. Biasanya, simptom-simptom selesema mula timbul beberapa minggu selepas anda memasuki fasa ketosis. Selesema keto mempunyai simptom yang sama seperti selesema biasa iaitu kepenatan, pening kepala, muntah, sakit perut dan juga kekaburan otak.
Ini biasanya berlaku kerana badan anda sudah terbiasa berfungsi dengan kehadiran karbohidrat, jadi apabila berlakunya perubahan dalam proses pembakaran lemak, badan menjadi kurang cekap untuk menghasilkan tenaga yang cukup.
Apabila badan anda tidak berfungsi dengan sebaiknya, anda akan lebih mudah terkena pada jangkitan selesema. Selesema keto biasanya hadir bersama keinginan mengambil makanan bergula dan menyebabkan ramai individu yang tewas. Mereka selalunya akan kembali kepada diet biasa kerana badan sudah tidak mampu menanggung perubahan yang berlaku. Namun, jangan bimbang kerana selesema ini biasanya hilang selepas beberapa hari atau beberapa minggu. Jadi, anda akan kembali normal untuk meneruskan diet ini.
2. Sembelit/ Cirit-birit
Apa yang boleh berlaku sekiranya anda mengurangkan pengambilan serat daripada diet anda? Sembelit atau cirit-biritlah jawapannya. Pengurangan pengambilan makanan berasaskan serat seperti kacang, buah-buahan dan gandum boleh menyukarkan kita untuk membuang sisa toksik dalam badan seperti biasa.
Serat diperlukan dalam badan untuk menyerap air bagi melembutkan najis, mempercepatkan pergerakan najis serta membuang air besar dengan mudah. Namun, anda haruslah peka bahawa diet keto anda merangkumi pengambilan sumber serat lain seperti avokado, sayur-sayuran, bijian chia dan buah-buahan kurant gula. Ini akan menyelesaikan apa-apa masalah sembelit yang anda alami.
3. Kekurangan vitamin
Mana-mana diet yang menghalang anda daripada mengambil buah-buahan, sayur-sayuran atau makanan lain boleh membuatkan anda kekurangan vitamin dan mineral dalam badan. Disebabkan itulah, doktor biasanya mencadangkan diet keto ini dilakukan dalam jangka masa yang pendek sahaja.
Kekurangan vitamin dan mineral boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain walaupun ia pada awalnya dilihat sebagai langkah terbaik untuk menurunkan berat badan.
Apabila anda kekurangan zat-zat sebegini, anda akan lebih mudah berasa pening atau letih. Ini biasanya berlaku kerana kekurangan nutrien dalam badan. Jadi, sekiranya anda sudah nekad untuk mengamalkan diet keto, cari pilihan makanan lain yang boleh menjadi alternatif agar anda masih mendapatkan nutrien yang mencukupi.
4. Kerosakan buah pinggang
Diet keto juga dikatakan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang kerana kebanyakan individu yang terlibat tidak minum air dengan secukupnya setelah makan daging yang banyak. Ini boleh menyebabkan peningkatan asid urik yang mendorong berlakunya batu karang.
Malah, peningkatan asid urik juga boleh menyebabkan anda lebih berisiko mendapatkan penyakit gout. Anda pasti tidak mahu tubuh badan anda tiba-tiba membengkak dengan tanda-tanda merah bukan? Ia akan menyukarkan pergerakan harian serta menyebabkan anda berasa amat sakit. Diet tetap diet, namun pastikan pengambilan makanan anda berkhasiat dan tidak menjejaskan badan sendiri.
Jadi, bolehkah saya mengamalkan diet keto?
Walaupun diet keto memberikan banyak kebaikan kepada individu, namun diet ini tidaklah sesuai buat semua orang. Individu dengan penyakit kronik tidak dinasihatkan mengikuti diet ini kerana takut akan mengganggu keberkesanan sebarang rawatan lain yang diterima dan memberi kesan buruk diet keto yang boleh berlaku.
Sebelum memulakan diet keto, pastikan anda membuat pemeriksaan dengan doktor dan sentiasa dipantau oleh pakar nutrisi agar tidak tersalah langkah. Imbangkan pengambilan makanan dengan minum air yang cukup kerana ramai orang tidak sedar akan kepentingan air buat badan mereka. Mereka hanya memfokuskan pada makanan dan lupa bahawa air juga merupakan aspek penting dalam sesuatu diet serta menjadi satu komponen utama dalam badan kita.
Di samping itu, diet keto dikatakan lebih efektif jika dilakukan buat jangka masa yang pendek sahaja. Ia bukanlah satu-satu jalan penyelesaian sekiranya anda ingin mengurangkan berat badan atau meningkatkan tahap kesihatan anda. Anda boleh membuat diet keto secara selang-seli tengan diet yang lain, seperti diet Vegan, diet Mediterranean, Intermittent Fasting dan lain-lain.
SUMBER
https://www.healthline.com/health-news/worst-side-effects-of-the-keto-diet
https://www.health.com/weight-loss/keto-diet-side-effects
https://www.news-medical.net/health/Ketogenic-Diet-Side-Effects.aspx
https://www.medicalnewstoday.com/articles/keto-diet-side-effects