Bookcafe memang sesuai bagi seorang pencinta buku ataupun ulat buku, tiada yang lebih baik selain berada di tempat yang tenang untuk bersantai membaca buku bersama secawan kopi yang menyegarkan.
Seorang pencinta buku pasti suka meluangkan masa di kafe yang membolehkan mereka membaca buku kegemaran mereka dalam suasana tenang sambil menikmati kopi kegemaran mereka. Bukan setakat dapat menikmati kopi yang enak, malah dapat mengisi masa dengan menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan.
Oleh itu, beberapa tempat bookcafe yang dicadangkan untuk anda ini pasti dapat memberikan anda kelegaan dari kesibukan harian terutama bagi pencinta buku.
Ink Library Café
Bagi pencinta buku, bookcafe ini pasti akan menarik perhatian mereka kerana dekosrasi dalaman kafe ini dipenuhi dengan buku-buku di dinding yang tersusun kemas. Kafe ini turut menjamin keselesaan pelanggan ketika membaca buku kerana pencayahaan yang baik dari luar kafe menembusi ke dalam kafe melalui tingkap yang luas.
Selain itu, ruangan membaca dengan kerusi cozy turut disediakan di kafe ini supaya pelanggan boleh memilih tempat yang sesuai dan selesa untuk mereka membaca buku sambil menikmati hidangan kecil. Kafe ini kebanyakannya menyajikan menu hidangan barat seperti Chicken Pepperoni Pizzza, Burger Patty, New York Cheese Cake dan banyak lagi.
Namun tidak perlu risau kerana menu tempatan juga disediakan seperti Nasi Goreng Kampung, manakala menu minuman yang ada pula adalah seperti Matcha Latte, Hot Chocolate, Mocha dan sebagainya.
Bukku Café
Bukku café adalah sebuah bookcafe yang berkonsepkan gaya Jepun. Gaya Jepun kafe ini diserlahkan lagi dengan penggunaan tulisan Jepun pada papan tanda nama kafe ini. Dari luar kafe ini lagi, aura unik kafe ini sudah terserlah, apatah lagi sesudah anda memasuki kafe ini.
Bahagian dalam kafe ini menggunakan perabot kayu dengan mengekalkan warna asli tona kayu itu sendiri. Kafe ini mengenakan cat putih pada bahagian dinding untuk menarik aura ketenagan sambil membaca buku di kafe ini. Bukan itu sahaja, anda juga boleh memilih sama ada ingin duduk di dalam kafe ataupun duduk di ruangan luar kafe di bawah dedaun hijau dan langit biru.
Mengenai hidangan makanan pula, kafe ini menyajikan dua menu utama iaitu Salted Egg Yolk Croissant dan Serai Chicken Rice. Untuk pengetahuan anda, anda juga boleh meminjam buku yang ada di kafe ini untuk di bawa pulang ke rumah. Namun dengan syarat anda juga harus mendermakan buku anda sendiri supaya pertukaran buku sentiasa berlaku sesama pengunjung yang datang ke kafe ini.
MeTime Book Café
Dengar sahaja nama kafe ini, kita sudah dapat menggambarkan ciri-ciri bookcafe ini lebih untuk mereka yang suka masa bersendirian membaca buku tanpa kehadiran dan gangguan orang lain. Kafe ini menyediakan ruangan peribadi untuk pengunjung dengan menggunakan pembahagi kayu yang dapat memisahkan ruangan membaca dengan ruangan membaca orang lain.
Jadi, sesiapa sahaja yang datang ke kafe ini untuk membaca buku, pasti akan mendapat konsentrasi dan ketenangan yang tidak mengecewakan. Di sini, anda boleh membaca pelbagai jenis buku sama ada berbahasa Inggeris, Cina, Melayu, dan komik manga. Jika anda ingin datang untuk menyiapkan tugasan sekolah bersama kawan-kawan juga boleh.
Jika anda ingin gambaran yang lebih jelas mengenai kafe ini, anda pasti pernah dengar tentang konsep hotel pod bukan? Begitulah gaya yang diaplikasikan dalam MeTime Book Café ini. Menariknya lagi mengenai kafe ini adalah, ia menyediakan kemudahan bilik mandi dengan air panas untuk para pelanggan menyegarkan badan.
Book Barter Café
Adakah anda seorang yang suka membaca buku dengan dikelilingi suasana hijau? Jika ya, maka bookcafe ini adalah tempat yang sesuai untuk anda kerana bookcafe ini dikelilingi oleh tumbuhan hijau yang mekar dan dapat dilihat melalui dinding kaca yang luas.
Ketika anda mula memasuki bookcafe ini, anda akan melalui jambatan air mini yang tenang. Sangat menarik bukan? Anda boleh terus memilih buku-buku yang anda hendak baca di rak-rak buku yang disediakan. Kemudian bolehlah anda memesan kopi dan kek pastri untuk dimakan sambil membaca buku dengan tenang.
Andai kata anda terjatuh hati terhadap buku yang anda sedang baca di situ dan berhasrat untuk meminjamnya, jangan risau kerana kafe ini akan membenarkan anda berbuat demikian. Namun dengan syarat, anda juga perlu menukarkan buku kepunyaan anda terhadap kafe tersebut.
Pages Book Café
Bookcafe yang terkenal di Taipan Damansara ini dikenali sebagai Pages Book Café. Jika anda hendak tahu, kafe ini merupakan sebuah gabungan antara kedai buku, perpustakaan, dan juga kafe yang menghidangkan pelbagai jenis kek dan kopi.
Jadi, sesiapa sahaja yang datang ke kafe ini boleh membeli buku dengan harga yang murah, dan membaca buku sambil menikmati hidangan ringan kek dan kopi. Sangat menarik bukan? Anda boleh membuat banyak perkara dalam kafe ini bukan semata-mata untuk membaca buku sahaja.
Kafe ini juga menawarkan menu lain seperti Smoked Duck Olio dan Chicken Bolognaise, jadi anda boleh memilih hidangan yang anda suka untuk dinikmati sambil membaca buku. Jika anda bukan seorang peminat kopi, tidak perlu risau kerana kafe ini turut menawarkan teh dan jus buah-buahan segar. Jadi jangan lepaskan peluang anda ke kafe buku ini!
Demikianlah beberapa tempat kafe buku yang menarik untuk anda sebagai seorang pencinta buku membaca dengan suasana dan persekitaran yang menyeronokkan. Amalan membaca sememangnya sangat baik kerana dapat menambahkan ilmu pengetahuan yang kebih luas. Saya percaya bahawa persekitaran membaca yang tenang juga mempengaruhi seseorang untuk fokus ketika membaca. Oleh itu, jangan lupa untuk datang ke bookcafe yang menurut anda sesuai dengan jiwa anda.
Sumber: