Now Reading
Borang Nikah Dan Prosedur Pendaftaran Pernikahan

Borang Nikah Dan Prosedur Pendaftaran Pernikahan

Borang Nikah

Borang nikah antara perkara mustahak untuk melancarkan proses pernikahan, jika tiada borang nikah, maka proses pernikahan yang rasmi tidak dapat dilangsungkan.

Umumnya, perkahwinan bertujuan menjalinkan ikatan suci yang halal di antara lelaki dan perempuan. Ia merupakan suatu ibadah yang amat dituntut dalam Islam kerana melaluinya keperluan fitrah manusia dapat disalurkan secara halal selain bertujuan melahirkan zuriat dan keturunan bagi mendapat keredaan Allah SWT.

Rukun nikah terdapat 5 perkara, iaitu pengantin lelaki (suami), pengantin perempuan (isteri), wali, saksi dan lafaz (ijab dan qabul).

Justeru, upacara akad nikah merupakan upacara yang paling penting dalam majlis perkahwinan kerana menerusinya, ikatan antara seorang lelaki dan seorang perempuan akan terjalin dengan sah sebagai pasangan suami isteri dan perhubungan di antara mereka menjadi halal.

Prosedur Pentadbiran Perkahwinan

Kursus Pra Perkahwinan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPPI)

Bagi warganegara Malaysia sebelum bakal pasangan pengantin mengemukakan permohonan kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ mereka perlu mendapatkan kebenaran berkahwin dan telah menghadiri kursus serta memiliki Sijil Kursus Pra Perkahwinan MBKPPI.

Ujian Saringan HIV Di Klinik Kesihatan Kerajaan

Permohonan Kebenaran Berkahwin yang telah mendapat pengesahan dari Penolong Pendaftar hendaklah dihantar semula ke Jabatan Agama Islam ditempat masing-masing bersama-sama dengan keputusan Ujian Saringan HIV yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

Proses permohonan kebenaran berkahwin anda akan diteruskan sekiranya keputusan ujian adalah NEGATIF. Namun, sekiranya keputusan HIV adalah POSITIF, anda perlulah menjalani prosedur di bawah:

  1. Pemohon perlu menjalani sesi khidmat nasihat di Jabatan Agama sebelum meneruskan permohonan kebenaran berkahwin.
  2. Pemohon, pasangan dan keluarga akan diberi pendedahan tentang implikasi HIV.
  3. Pemohon dan pasangan akan diminta membuat keputusan sama ada mahu meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.
  4. Sekiranya pemohon dan pasangan membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan, maka permohonan kebenaran berkahwin akan diproses.
  5. Pemohon dan pasangan perlu merujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga dan Klinik Penyakit Berjangkit untuk penjagaan kesihatan seterusnya.

Permohonan Untuk Kebenaran Berkahwin

Pengesahan Permohonan Berkahwin

  1. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan pemohon yang membuat permohonan kebenaran berkahwin tinggal atau bermastautin di kawasan kariahnya.
  2. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan permohon menggunakan borang permohonan yang ditetapkan.
  3. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan borang permohonan atau borang nikah yang diberikan telah di isi dengan lengkap oleh pemohon.
  4. Penolong Pendaftar hendaklah memastikan borang permohonan kebenaran berkahwin disertakan bersama dokumen-dokumen berkaitan seperti berikut:
    • Salinan Sijil Kelahiran.
    • Salinan Kad Pengenalan.
    • Sijil Kursus Pra Perkahwinan MBKPPI
    • Keputusan Saringan HIV kedua-dua bakal pengantin.
    • Surat akuan teruna yang dikeluarkan oleh majikannnya atau surat akuan sumpah teruna sekiranya beliau tidak mempunyai majikan (jika pemohon seorang lelaki).
    • Surat perakuan cerai (jika pemohon bercerai hidup).
    • Surat perakuan mati (jika pemohon bercerai mati).
    • Surat akuan memeluk agama Islam (jika saudara baru).
    • Surat kebenaran daripada Jabatan polis (jika pemohon anggota polis).
    • Surat kebenaran dari angkatan Tentera (jika pemohon anggota tentera).
  5. Setelah berpuashati dengan dokumen yang disediakan Penolong Pendaftar akan mengesahkan status pemohon di ruang yang disediakan di dalam borang permohonan perkahwinan berkenaan.

Kebenaran Permohonan Berkahwin

  1. Pendaftar hendaklah menerima permohonan yang telah disahkan oleh penolong pendaftar kecuali bagi sub peraturan (iii).
  2. Pendaftar hendaklah memastikan borang perkahwinan diterima selewatnya tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dicadangkan.
  3. Pendaftar boleh menerima borang permohonan perkahwinan bagi kes-kes tertentu.
  4. Setelah berpuashati Pendaftar hendaklah mengeluarkan kebenaran berkahwin melalui catatan dalam borang permohonan bagi perkahwinan dalam negeri.
  5. Manakala bagi permohonan perkahwinan luar negeri dan tempat lain dikeluarkan melalui surat kebenaran.

Tempoh Sah Kebenaran Berkahwin

  1. Pendaftar hendaklah mengeluarkan kebenaran kahwin bagi tempoh sembilan puluh (90) hari dari tarikh dikeluarkan.
  2. Pendaftar boleh dengan permohonan melanjutkan tempoh sah kebenaran berkahwin selama sembilan puluh (90) hari lagi bagi kes-kes tertentu.
  3. Pendaftar hendaklah memastikan bahawa kebenaran berkahwin lanjutan dibuat dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh tamat kebenaran berkahwin kali pertama.
  4. Pendaftar hendaklah memastikan permohonan lanjutan kebenaran berkahwin dibuat di pejabat Pendaftar di mana kebenaran asal dikeluarkan.
  5. Pendaftar hanya boleh menerima permohonan kebenaran berkahwin yang baru setelah tamat tempoh lanjutan kebenaran berkahwin.

Prosedur Pendaftaran Perkahwinan Pendaftaran Perkahwinan Dalam Negeri

  1. Selepas upacara nikah Pendaftar hendaklah mendaftarkan perkahwinan tersebut dengan segera sebagaimana yang ditetapkan oleh undangundang yang sedia ada.
  2. Pendaftar hendaklah mengeluarkan Surat Akuan Nikah dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh pendaftaran perkahwinan.

SUMBER

https://www.sppim.gov.my/pdf/panduan/panduan_akad_nikah-2013

https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/Garis-Panduan-Bagi-Prosedur-Pentadbiran-Perkahwinan-Penceraian-dan-Ruju.pdf

error: Content is protected !!