Now Reading
Buasir Sewaktu Hamil? Ketahui Punca dan Cara Mencegahnya

Buasir Sewaktu Hamil? Ketahui Punca dan Cara Mencegahnya

Buasir Sewaktu Hamil

Buasir sewaktu hamil biasa berlaku terutamanya pada trimester ketiga apabila rahim yang membesar memberikan tekanan pada urat. Buasir adalah urat di dalam dubur dan rektum yang membengkak.

Seterusnya, buasir boleh jadi keadaan yang menyakitkan. Ia juga boleh menyebabkan simptom seperti rasa gatal-gatal, menyengat atau pendarahan semasa atau selepas pergerakan usus (membuang air besar).

Secara umum, badan anda mengalami pelbagai perubahan fizikal semasa hamil dan buasir boleh menjadi satu keadaan yang tidak diingini. Tetapi, berita baiknya adalah ianya tidak berbahaya kepada kesihatan anda atau kesihatan bayi anda. Malah, buasir selalunya merupakan masalah jangka pendek sahaja. Walaupun pergerakan meneran semasa bersalin boleh memburukkan buasir, ia biasanya akan hilang sendiri setelah anda melahirkan bayi.

Sesetengah wanita mengalami buasir buat kali pertama ketika hamil. Namun, anda lebih cenderung mengalaminya lagi ketika hamil jika ia sudah pernah berlaku.

Apa yang boleh menyebabkan buasir sewaktu hamil?

Apabila bayi anda membesar dalam kandungan, rahim anda juga menjadi lebih besar dan menekan pada pelvik anda. Pembesaran ini memberi banyak tekanan pada urat berhampiran dubur dan rektum anda. Akibatnya, urat tersebut mungkin menjadi bengkak dan menyakitkan.

Bukan itu sahaja, peningkatan hormon progesteron sepanjang kehamilan juga boleh menyumbang kepada penyakit buasir. Hormon ini mengendurkan dinding urat anda, menjadikannya lebih mudah untuk membengkak. Selain itu, peningkatan jumlah darah yang melebarkan urat juga boleh menyebabkan buasir sewaktu hamil.

Tiga punca lain yang menyebabkan buasir sewaktu hamil termasuklah:

  • Penegangan dubur atau meneran dengan kuat semasa membuang air besar.
  • Berat badan berlebihan sewaktu hamil.
  • Duduk atau berdiri untuk jangka masa yang lama.

Buasir sering berlaku dalam kalangan wanita hamil yang mengalami sembelit. Menurut penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Clinical Evidence, sebanyak 38 peratus wanita hamil pernah mengalami sembelit (constipation) pada satu ketika sepanjang kehamilan mereka.

Salah satu punca sembelit semasa kehamilan adalah rahim yang semakin membesar menolak dan memberi tekanan kepada usus. Di samping itu, suplemen zat besi yang diambil sewaktu hamil juga boleh menyebabkan sembelit. Jadi, anda digalakkan untuk mengambil zat besi melalui sumber semulajadi seperti sayur bayam dan sebagainya.

Selain itu, hormon kehamilan juga boleh melambatkan pergerakan makanan melalui saluran pencernaan justeru meningkatkan risiko sembelit.

Cara mencegah buasir sewaktu hamil

Mengelakkan salah satu punca utama buasir iaitu sembelit, merupakan kunci untuk mencegah buasir sewaktu hamil. Berikut adalah beberapa petua anda boleh amalkan seperti:

  • Makan banyak makanan yang kaya dengan serat. Terdapat banyak cara untuk menerapkan lebih banyak serat ke dalam diet anda. Makanan yang mengandungi serat termasuklah buah-buahan seperti pir (terutamanya apabila anda memakan kulitnya sekali), avokado, buah beri, sayuran seperti brokoli, articok, kobis Brussel, biji-bijian seperti oat, beras merah dan quinoa. Selain itu, anda juga boleh ambik kekacang termasuklah seperti lentil dan kacang hijau.

  • Minum banyak air. Tetapkan matlamat untuk minum sebanyak 8 hingga 10 gelas air setiap hari.

  • Gunakan tandas sebaik sahaja anda ingin membuang air besar. Elakkan menahan keinginan tersebut kerana ia menyumbang kepada masalah sembelit.

  • Cuba untuk tidak duduk atau berdiri dalam jangka masa yang panjang. Jika anda duduk di tempat kerja, pastikan anda bangun dan berjalan kaki selama beberapa minit setiap jam. Di rumah pula, cuba berehat dengan berbaring secara mengiring ke sisi semasa anda membaca atau menonton TV. Ini boleh melegakan tekanan pada urat rektum anda.

  • Bertanyakan pada doktor tentang penggunaan pelembut najis. Cara ini boleh membantu jika kaedah lain gagal untuk meredakan sembelit anda. Namun begitu, menggunakan pil laksatif (julap) semasa hamil tidak disyorkan kerana boleh menyebabkan dehidrasi dan mungkin merangsang kontraksi uterus.

  • Lakukan senaman ‘Kegel’ setiap hari. Senaman Kegel dapat menguatkan otot lantai pelvik, yang membantu menyokong rektum dan meningkatkan peredaran di kawasan rektum anda. Anda boleh melakukan latihan Kegel di mana sahaja sama ada di rumah, di dalam kereta atau di pejabat. Pastikan anda mengasingkan dan mengecutkan otot yang betul.

  • Kenal pasti otot yang betul dengan berhenti di pertengahan ketika membuang air kecil. Ini bertujuan untuk mengenal pasti otot-otot mana yang terlibat. Tetapi, jangan lakukan latihan Kegel semasa kencing pula, kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan saluran kencing.

Sebaik sahaja anda telah mengenali otot yang digunakan, tegangkan dan tahan pengecutan (contraction) tersebut selama lima saat. Kemudian, berehat selama lima saat. Lakukan teknik ini sehingga anda boleh menahan selama 10 saat. Cuba lakukannya sekurang-kurang 3 set dan 10 ulangan dalam sehari.

Bagaimana untuk mengubati buasir sewaktu hamil?

Buasir biasanya sembuh dengan sendiri selepas kehamilan, tetapi ada juga beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan rasa gatal dan rasa sakit seperti:

  • Rendam kawasan rektum anda dalam air suam beberapa kali sehari. Gunakan mandian ‘sitz’ atau besen kecil yang boleh dimuatkan pada tempat duduk tandas. Peranti ini boleh dibeli di kebanyakan farmasi. Selain itu, anda juga boleh mengisi tab mandi biasa dengan beberapa inci air suam untuk mendapatkan kesan yang sama.

  • Gunakan pek ais atau mampatan sejuk ke kawasan terjejas beberapa kali sehari. Sensasi sejuk ini boleh mengurangkan bengkak dan membantu melegakan kesakitan.

  • Pastikan dubur bersih dan kering. Gunakan tuala basah atau kain lap bayi untuk membersihkan kawasan tersebut selepas pergerakan usus. Ianya adalah lebih  lembut daripada kertas tandas yang kering.

  • Tepuk, jangan lap. Tepuk kawasan dubur yang basah selepas mandi atau membuang air besar untuk mengeringkannya. Kelembapan yang berlebihan boleh menyebabkan kerengsaan.

  • Sapukan ‘baking soda’ (basah atau kering) ke kawasan terjejas untuk meredakan kegatalan.

  • Sapukan ubat/ krim yang mengandungi ‘witch hazel’. Produk sebegini boleh membantu menjaga kebersihan pada kawasan tersebut dan melegakan kesakitan dan gatal-gatal di sekitar dubur.

Sedikit peringatan,

Sebelum anda menggunakan apa-apa produk, pastikan anda meminta nasihat doktor atau penjaga kesihatan anda dahulu. Dapatkan cadangan bagi krim buasir topikal atau pengelap berubat yang selamat untuk diambil semasa kehamilan anda.

Sumber:

https://www.webmd.com/baby/hemorrhoids-during-pregnancy

https://www.medicalnewstoday.com/articles/pregnancy-hemorrhoids

https://www.healthline.com/health/pregnancy/pregnancy-hemorrhoids

https://www.everydayhealth.com/hemorrhoids/guide/pregnancy/

error: Content is protected !!