Bukit Katil terletak di Melaka Tengah. Sejak zaman penjajahan Inggeris lagi, nama Bukit Katil telah digunakan.
Berdasarkan seorang penduduk Kampung Bukit Katil yang berumur 63 tahun iaitu Abdul Ghani Maarof, nama Bukit Katil diperloleh peneroka tempat ini selepas dia tersadung sebuah bekas air yang kelihatan seperti labu sayong di puncak bukit. Bekas air yang juga dikenali sebagai batil ini terbuat dari emas dan ia terletak di atas batu yang kelihatan seperti tempat tidur ataupun katil.
Jadi untuk memperingati tempat bekas air emas tersebut, tempat itu dikenali sebagai Bukit Katil hinggalah ke hari ini. Ini adalah cerita yang diturunkan dari generasi ke genarasi melalui mulut-mulut orang kampung Bukit Katil.
Berhampiran Bukit Katil terdapat beberapa tarikan pelancongan yang akan diterangkan lebih lanjut dalam artikel ini. Selain itu, Bukit Katil juga boleh dianggap sebagai Pusat Pendidikan di Melaka kerana ia terletak berdekatan dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Sekolah Teknik Bukit Katil.
Tarikan Pelancongan Berhampiran Bukit Katil
Bayou Lagoon Bukit Katil Melaka
Bayou Lagoon merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terdiri daripada taman air, hotel perniagaan, kedai-kedai runcit, pusat konvensi dan pangsapuri gaya resort. Selain itu, Bayou Lagoon terletak berdekatan Ayer Keroh dan jarak 15 minit ke Bandar Warisan Dunia Melaka.
- Tempat penginapan
Bagi anda yang datang jauh dari Bukit Katil, mungkin anda ingin menginap di sini. Bayou Lagoon mempunyai bilik tamu yang terdiri daripada 294 pilihan reka bentuk moden dan luas. Para pengunjung boleh memilih daripada 180 unit studio, 70 unit 2 bilik tidur, 44 unit 3 bilik tidur dan 4 unit Penthouse yang mewah.
Bilik-bilik yang ada mempunyai keluasan dari 491 kaki persegi hingga 1007 kaki persegi yang dilengkapi dengan kemudahan dan peralatan mandian.
- Taman Air Bayou Lagoon
Di Taman Air Bayou Lagoon, anda boleh melakukan aktiviti yang disediakan untuk anda sekeluarga. Bagi anda yang membawa kanak-kanak, taman air ini adalah yang terbaik untuk anda kerana di sini terdapat dua gelongsor air dan taman permainan pengembaraan kanak-kanak untuk mereka bermain.
- Magic Art Museum – Karya seni 3D yang menarik perhatian
Magic Art Museum menawarkan kira-kira 55 gambar dengan tema Akuarium, Fantasi, Mesir, Lucu, Budaya, Pengembaraan, Air Terjun & Kuil Angkor. Para pengunjung boleh menyerlahkan kreativiti masing-masing semasa mengambil foto dengan gambar-gambar tersebut.
Muzium seni yang berkeluasan 10,000 kaki persegi ini juga memiliki seni cat tangan 3D yang menarik di dinding rata. Ia membuatkan ada rasa seperti berada di dunia silap mata yang nyata bersama rakan dan keluarga anda.
Keunikan Muzium Seni ini berbanding yang lain ialah pangaruh budaya Melaka yang kuat seperti adanya potret keluarga Baba Nyonya dan beca.
- Memanah
Bayou Lagoon juga ada menawarkan aktiviti rekreasi dan sukan seperti memanah. Datanglah ke sini dan bermain bersama orang-orang baru untuk membina persahabatan baru dengan pengunjung dan keluarga yang lain.
- Dewan & Ruang Konvensyen
Pusat Konvensyen Bayou terdiri daripada 2 dewan iaitu Pusat Konvensyen Bayou 1 gaya teater yang mampu memuatkan sehingga maksimum 800 orang dan Pusat Konvensyen Bayou 1 dengan kapasiti 600 orang pada satu masa. Oleh itu, acara hari keluarga, perkahwinan, persidangan, konsert dan pameran selalunya diadakan di sini.
Selain itu, bilik tarian Bendahara boleh dibahagikan kepada 5 dewan yang lebih kecil masing-masing dari 2280 kaki persegi yang sesuai untuk persidangan, mesyuarat dan seminar kumpulan yang lebih kecil. Bukan itu sahaja, bilik tarian ini juga mampu menampung 1000 orang dalam gaya teater pada satu masa.
Di samping itu, ada juga 5 dewan besar di pusat konvensyen ini iaitu Dewan Laksamana, Seri Bayu, Pavillion Ballroom, Junior Pavillion dan Bayou IV.
MITC Melaka – Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka
Selain menjadi salah satu bangunan mercu tanda di Melaka, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) juga terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang unggul dan sesuai untuk MICE – Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran.
MITC terletak di lokasi yang strategik iaitu di Jalan Konvensyen, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh Melaka. Tempat ini terletak berhampiran dengan kebanyakan agensi kerajaan, bank tempatan, banyak kedai dan banyak restoran untuk makan tengah hari dan makan malam, pasar raya besar, masjid dan hotel Mydin.
Selain itu, pusat perdagangan yang telah dilancarkan secara rasmi pada bulan Jun 2003 oleh YAB Datuk Seri Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka ini mudah diakses dari bandar dan negeri lain di Malaysia melalui lebuh raya Utara-Selatan.
Perkampungan Hang Tuah
Perkampungan Hang Tuah telah dibangun oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2013 untuk menjadikan kampung ini sebagai tempat kelahiran Hang Tuah seperti yang terdapat dalam catatan sejarah. Ia menjadi pusat rujukan baru dan satu kebanggaan bagi negeri Melaka.
Selain itu, terdapat 5 rumah pahlawan di perkampungan ini iaitu rumah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi Hang Lekir dan Hang Lekiu. Tidak lupa juga Muzium hang Tuah dan Perigi Hang Tuah yang dipercayai digali oleh Hang Tuah untuk kegunaannya sendiri.
Akhir sekali,
Bukit Katil sememangnya bukan tarikan pelancongan yang utama di Melaka. Namun, bagi anda yang berada di Bukit Katil boleh lah merancang percutian di tempat-tempat menarik yang ada di sekitarnya. Ia pasti berbaloi masa dan wang anda.
Sumber:
http://www.heritagemalaysia.my/Mlk-BukitKatil.html
https://www.bayoulagoon.com.my/about-us
https://melakacool.com/mitc-melaka-international-trade-center
http://m.newevent.n.my/index.php?ws=showproducts&products_id=944298